Hutang dan Panas |
GROUP WHATSAPP
Pagi tadi saya telah menerima pesanan dalam salah satu group WhatsApp dari rakan-rakan di tanahair. Walaupun berada di kejauhan group-group ini masih aktif dalam memastikan kami di sini tidak ketinggalan dengan maklumat terkini di Malaysia. Sebagai contoh, group Taman, Tempat Kerja, Surau dan sebagainya dapatlah serba sedikit mengurangkan kerinduan kami di sana.
PERKONGSIAN MENARIK
Saya tertarik dengan dengan satu perkongsian yang sangat menarik dan boleh dikongsikan bersama agar menjadi panduan kepada kita semua. Saya begitu tertarik dengan cerita ini kerana ia bukan hanya berkaitan dengan aspek keusahawanan dan perniagaan, bahkan turut 'memandu' kita dalam kehidupan seharian.
HASSAN AL-BASRI
Kisah ini berkaitan Hassan Al-Basri yang merupakan seorang ulama dan terkenal sebagai ahli perniagaan. Beliau mempunyai 2 orang anak lelaki dan sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memanggil ke dua-dua anak lelakinya dan lalu berpesan:
"Apabila ayah telah tiada lagi di dunia ini, kami hendaklah meneruskan perniagaan ayah. Cuma 2 perkara ayah ingin berpesan. Pertama, bila kamu berniaga, jangan kutip hutang. Kedua, bila kamu berniaga, jangan kena matahari".
Itulah pesanan Hassan Al-Basri kepada kedua-dua anaknya sebelum beliau meninggal dunia dan kedua-dua anaknya mendengar dengan baik dan berazam untuk mengikut pesanan ayahanda mereka.
MASA BERLALU
Masa berlalu dan selang beberapa tahun, perniagaan si adik semakin merosot dan terus merosot. Manakala, perniagaan si abang semakin maju dan terus maju. Pada suatu hari, si ibu (balu Hassan Al-Basri) memanggil anaknya (si adik) dan lalu bertanya:
Si Ibu: Wahai adik, kenapa perniagaanmu semakin hari semakin merosot?
Jawab si adik: Saya ikut pesanan ayah.
Si Ibu: Apa pesanan ayahmu adik?
Jawab si adik: Ayah berpesan, sekiranya berniaga jangan kutip hutang. Jadi, semua yang berhutang dengan saya tidak pernah saya meminta bayaran. Kalau mereka ingin bayar, mereka bayar. Namun, jika mereka tidak bayar, saya tidak akan kutip bayaran daripada mereka. Ayah berpesan lagi, kalau berniaga janganlah kena matahari. Jadi saya kalau ke mana-mana mesti membawa payung. Oleh itu, saya tidak terkena matahari sebagaimana pesanan ayah.
JAWAPAN BERBEZA
Kemudian, si ibu pergi berjumpa dengan si abang pula dan lalu bertanya.
Si Ibu: Wahai abang, ibu lihat perniagaan kamu semakin hari semakin maju, apakah yang telah kamu lakukan?
Jawab si abang: Saya ikut pesanan ayah.
Si Ibu: Apa pesanan ayahmu anak?
Jawab si anak: Ayah berpesan, kalau berniaga jangan kutip hutang. Jadi, semua jualan saya dijual dengan cara tunai tiada hutang. Atas sebab itu, tiada orang yang berhutang dengan saya. Saya ikut pesanan ayah dan saya tidak perlu kutip hutang dengan membuat jualan dalam bentuk bayaran tunai. Kedua, ayah juga berpesan agar jangan kena matahari. Oleh itu, saya keluar ke kedai awal pagi selepas waktu subuh. Selepas waktu subuh, saya tidak tidur dan terus ke kedai. Di kala waktu malam baru saya pulang ke rumah. Oleh demikian, saya tidak terkena matahari.
PENGAJARAN
Berdasarkan kisah tersebut, perbezaan seseorang melihat dan mentafsir dari sudut pandangan yang berbeza turut mempengaruhi serta menjadikan arah hidup seseorang turut berbeza. Sebagai contoh, jika kita beranggapan beribadah hanyalah di tikar sembahyang semata-mata, dikhuatiri nanti kita akan meninggalkan kewajipan untuk mencari nafkah terhadap keluarga, kewajipan terhadap negara dan ummah keseluruhannya. Begitulah juga dalam aspek pengurusan kewangan, jika memilih hidup di bawah kemampuan dan ke arah menjana aset dan bukannya hutang. Maka, segala pengorbanan dan usaha yang dibuat untuk kebaikan diri dan keluarga pada masa hadapan. Cara kita berfikir dan mentafsir sesuatu juga mempengaruhi hala tuju kehidupan kita secara langsung.
CARILAH GURU DAN ILMU
Oleh itu, belajarlah dengan ramai guru dan banyakkanlah membaca untuk menambahkan ilmu dan jangan lupa mintalah petunjuk daripada Allah SWT. Mohon juga padaNya agar dibimbing kehidupan kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberikan taufik serta hidayahNya kepada kita semua. Mudah-mudahan dengan kefahaman yang betul, kita dimuliakan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat. Rasullulah SAW pernah bersabda:
"Sesiapa yang Allah SWT mahukan kebaikan bagi dirinya, akan difahamkan pada agamanya dengan sebenar-benar kefahaman".Maklumat asal daripada:
Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin
Persona D'Zahrah
IKIMfm.
Hutang dan Panas
4
/
5
Oleh
Unknown