Monday, May 18, 2015

5 Teknik Menimba Kemahiran Berniaga


MENJADI USAHAWAN

Anda berminat untuk menjadi usahawan. Namun, langsung tiada sebarang kemahiran untuk berniaga. Jangan risau! Ada cara dan kaedahnya untuk dijadikan panduan. Bak kata pepatah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Jika kita rasa tidak mampu tetapi ada kemahuan, maka belajar dan berusahalah, Allah pasti akan membantu dan menunjukkan jalan pada hamba-Nya yang suka berusaha, Insya-Allah. Berikut 5 Teknik Timba Kemahiran Berniaga.


TEKNIK 1: MULAKAN PERNIAGAAN

Mereka yang berminat untuk menjadi seorang usahawan tidak hanya cukup dengan ilmu perniagaan. Ini kerana ramai graduan di dalam bidang perniagaan yang masih di luar sana tidak memulakan perniagaan atau menjadi usahawan. Oleh demikian, apabila seseorang telah mempunyai minat untuk menjadi usahawan perlulah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Pendedahan awal dalam mengendalikan perniagaan akan memberikan kefahaman sebenar tentang dunia realiti sesebuah perniagaan.

TEKNIK 2:  LIBATKAN DIRI DALAM PROGRAM

Program keusahawanan kini telah menjadi agenda nasional. Malah di IPT dan juga di sekolah-sekolah pelbagai program yang menjurus ke arah perniagaan dan keusahawanan turut diadakan. Oleh itu, dalam menimba kemahiran berniaga perlulah seseorang melibatkan diri dalam program seperti seminar, bengkel, kelas dan pelbagai lagi bagi meningkat pengetahuan serta kemahiran. Ini secara tidak langsung, memberikan pendedahan dan kemahiran baharu kepada para peserta khususnya kemahiran dalam berniaga. 

TEKNIK 3:  BERGAUL DENGAN USAHAWAN
Banyak mehnah dan tribulasi sebagai seorang usahawan. Perjalanan sebagai seorang usahawan tidaklah semudah yang kita sangka. Oleh itu, bagi menimba kemahiran berniaga adalah sangat digalakkan untuk kita bergaul dengan ramai orang khususnya mereka yang bergelar ahli perniagaan atau usahawan. Melalui pergaulan, kita akan belajar daripada pengalaman mereka yang pernah melalui perjalanan sebagai seorang usahawan. Kita juga berpeluang menemui mentor yang boleh berkongsi tip atau membimbing kita untuk menjadi usahawan yang berjaya kelak. Selain itu, kita juga boleh memperluaskan jaringan perniagaan kita kelak.

TEKNIK 4:  BINA PERNIAGAAN DARIPADA KEMAHIRAN


Baru-baru ini saya telah menggunakan perkhidmatan menterjemah bahan kajian saya daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa English. Tanpa disangka, iklan di internet mengenai perkhidmatan menterjemah merupakan syarikat yang dimiliki oleh salah seorang bekas pelajar saya dahulu. Beliau sendiri memperkenalkan diri dan memaklumkan saya yang beliau merupakan bekas pelajar saya. Sebagai menghargai saya sebagai pensyarah, beliau telah memberikan saya diskaun sebanyak 80%. Saya hanya perlu bayar RM560 bagi perkhidmatan yang ditawarkan hanya dari rumah. Oleh itu, bagi menimba kemahiran berniaga anda boleh bina perniagaan melalui kemahiran yang kita miliki.

TEKNIK 5:  MEMBACA DAN TINGKATKAN ILMU

Perlu disedari pendekatan perniagaan juga senantiasa berubah mengikut masa. Sebagai contoh, dahulu agar sukar untuk kita memahami pendekatan perniagaan yang hanya dari rumah dan menggunakan internet. Kini pendekatan tersebut telah menjadi perkara biasa malah ada yang menggunakan laman sosial seperti facebook untuk menjalankan perniagaan. Oleh itu, bagi menimba ilmu berniaga seseorang itu perlulah rajin membaca bagi meningkatkan ilmu keusahawanan. Banyak blog, rencana, buku-buku dan bahan bacaan sama ada yang perlu dibeli atau boleh didapati secara percuma melalui internet. Pendekatan ini tidak dinafikan akan turut membantu kita dalam menimba kemahiran berniaga. 

***Penulisan ini pernah diterbitkan dalam Majalah HALUAN. 

Related Posts

5 Teknik Menimba Kemahiran Berniaga
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak