Monday, May 11, 2015

Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!

Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!
Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!

MAJLIS PERKAHWINAN

Semenjak berada di Jepun terasa rindu pula dengan suasana majlis perkahwinan yang pastinya meriah di kala musim cuti sekolah. Teringat dahulu semasa di tanahair hampir 5 jemputan kenduri yang sempat kami pergi dalam sehari. Kesannya, rumah terakhir tak mampu untuk kami sekeluarga menjamah makanan kerana terlalu kekenyangan. Tumpang gembira melihat majlis perkahwinan yang berlangsung. Teruja juga bila melihat majlis yang meriah dan dengan set pelamin yang bergemelapan. Anak-anak saya yang paling seronok kerana dapat mengumpul 'door gift' dan dibawa balik. Bagi anak-anak saya 'door gift' merupakan stok dan peluang mereka untuk memakan 'makanan ringan' atau 'gula-gula' yang tidak mungkin akan dibeli oleh abah dan mama mereka.

SIMPANAN UNTUK KAHWIN

Saya kadangkala tertanya-tanya macamana pasangan pengantin ini boleh mengumpul duit sebanyak itu bagi majlis perkahwinan yang begitu meriah sekali. Ada yang sudah berupaya membeli kereta sebelum majlis pernikahan malah ada juga yang langsung 'honeymoon' di luar negara sejurus majlis perkahwinan selesai. Jika kesemua perbelanjaan ditanggung oleh ibu bapa syukur Alhamdullilah dan sepatutnya mengucapkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga buat ibu bapa kerana sudi menanggung segala perbelanjaan untuk kenangan manis yang mungkin hanya sekali dalah hidup. Tahniah juga diucapkan bagi mereka yang telah menyimpan dengan bersungguh-sungguh sebelum tiba hari bahagia yang ditunggu-tunggu.

DUIT BELANJA KAHWIN

Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!
Bersederhana Bagi Majlis Perkahwinan
Saya sangat memahami betapa payah dan erti pengorbanan yang perlu dilalui bagi menyimpan untuk majlis perkahwinan. Pastinya banyak simpanan yang perlu dibuat sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Simpanan untuk hantaran, gubahan hantaran, bayaran juru nikah, 'duit minyak' untuk sedara yang menghantar, 'duit tol' di pintu masuk rumah pengantin, majlis perkahwinan dan pelbagai perbelanjaan lain yang boleh diklasifikasi kepada sebelum, semasa dan selepas majlis perkahwinan. Bahasa yang mudah, pastinya banyak duit yang diperlukan!

RAHSIA MAJLIS KAHWIN MERIAH

Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar saya mengenai rahsia beliau berupaya menyimpan duit sebanyak itu bagi perbelanjaan perkahwinannya. Peringkat awal beliau agak segan mendedahkan rahsia beliau. Namun, saya katakan saya nak kongsikan dalam ceramah Kursus Perkahwinan yang saya dijemput untuk memberikan slot berkaitan pengurusan kewangan. Akhirnya, beliau memberitahu saya agar menyampaikan pesanan beliau agar jangan ikut langkahnya. Saya bertanya kenapa tidak boleh ikut langkah yang baik? Beliau menjelaskan bahawa beliau menyesal dan jika boleh jangan ikut langkah beliau kerana tidak menyimpan seawal mungkin sebelum majlis perkahwinan. Beliau turut memaklumkan kepada saya bahawa segala kemeriahan majlis tersebut hanyalah 'kosmetik' daripada pinjaman peribadi yang dibuat oleh pasangan tersebut. Belum setahun usia perkahwinan, mereka kini menyedari bahawa tindakan mengambil pinjaman peribadi bukanlah tindakan yang bijak. Mereka menyesal, tapi apa yang boleh dibuat sekadar terus untuk melunaskan pinjaman peribadi dalam tempoh 10 tahun. Ya, 10 tahun!

Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!
Kegembiraan Selepas Majlis Juga Penting

SELEPAS MAJLIS KAHWIN

Saya sahaja bertanya kenapa rasa menyesal membuat pinjaman peribadi bagi perkahwinan tersebut? Jawapannya begitu mudah kerana terasa sempit dan terbeban lebih-lebih lagi apabila surat daripada PTPTN sudah sampai bagi menuntut bayaran dan yang lebih mendukacitakan apabila pinjaman untuk pembelian rumah pertama mereka kini menghadapi masalah. Ini kerana, apabila pendapatan kedua-dua mereka dikira oleh pihak bank ia diklasifikasikan sebagai tidak layak untuk membeli rumah idaman mereka kerana terlebih liabiliti. Kini, mereka dihimpit dengan hutang belajar, hutang peribadi setiap orang dan juga hutang kereta. Mujur hanya membeli sebuah kereta dan bukannya setiap mereka mengambil peluang membeli kereta dengan promosi tanpa deposit yang menjadi 'gimik popular' dalam penjualan kereta.

NASIHAT BAKAL BERKAHWIN

Akhirnya mereka minta saya menyampaikan kepada bakal pasangan dalam Kursus Perkahwinan nanti untuk membuat simpanan seawal mungkin bagi menuju gerbang perkahwinan. Atau berbincang dan bersepakat dengan bakal pasangan masing-masing untuk melangsungkan majlis perkahwinan tersebut secara seberhana. Sebaiknya cubalah sedaya-upaya dan berazam untuk tidak membuat pinjaman peribadi bagi majlis perkahwinan. Kegembiraan sebenar bukanlah sekadar majlis meriah yang berlangsung dalam tempoh paling lama 2 - 3 hari. Kegembiraan dan kebahagiaan sebenar adalah selepas perkahwinan dan perjalanan yang perlu ditempuhi sepanjang bergelar 'suami dan isteri'. Masih terngiang-ngiang pesanan mereka agar khabarkan 'Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!'

Jika dilema diantara Kahwin dan Kereta barangkali perkongsian 2K (Kahwin atau Kereta) boleh dijadikan panduan.

Related Posts

Azamlah Berkahwin Tanpa Hutang!
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak