Saturday, May 30, 2015

3 Kesilapan Beli Rumah (Deposit & Key Money)











MENULIS DI RUMAH

Pada hari minggu apabila tiada perancangan, saya lebih suka untuk duduk di rumah atau menulis blog. Hasrat hati untuk betulkan semula artikel yang semalam email pada sensei jam 9:30 malam, jam 11:00 pm sensei sudah balas untuk penambahbaikan. Rasa macam tak boleh tidur dek terkenang-kenang komen-komen dan cadangan penambahbaikan sensei malam tadi. Namun, oleh kerana hari ini merupakan 'hari minggu' saya cuba alihkan fikiran saya daripada kerja-kerja belajar dan di lab. Walau bagaimanapun, petang ini saya berhasrat untuk berjumpa rakan lab bagi mendapatkan pendapat orang ke dua (second opinions) berkaitan penyelidikan kami.  Sememangnya, dalam proses belajar ada masa minda perlu berehat sebentar walaupun kadang-kadang di kala berehat, seakan-akan komen dan cadangan sensei dok berlegar dalam fikiran. Oleh kerana petang nanti anak-anak saya dan isteri akan menghadiri program belajar Bahasa Jepun (nihongo), maka saya lebih suka berada dan membantu urusan-urusan isteri di rumah. Untung isteri saya! 

RUMAH UNIVERSITI (KAIKAN)

Baru-baru ini rakan baik saya dari Indonesia yang juga satu lab bertanya mengenai pengalaman kami menyewa rumah di Sendai, Jepun. Beliau tiada pengalaman kerana setiba sampai di sini, beliau sekeluarga terus memasuki rumah universiti (kaikan). Pada bulan Jun ini, beliau sekeluarga bercadang untuk keluar dari kaikan dan tinggal di rumah sewa. Ini kerana kebiasaanya pelajar di Tohoku Universiti hanya dibenarkan untuk tinggal di kaikan selama 1 tahun sahaja. Setelah itu, pelajar perlu mencari rumah sewa di luar. 

RUMAH SEWA

Pengalaman saya berbeza sedikit kerana saya sekeluarga merancang untuk tinggal di kaikan pada tahun ke 3 iaitu pada tahun akhir. Keputusan untuk menyewa terlebih dahulu dibuat kerana dengan perancanganNya salah seorang rakan kami di sini akan pulang ke Malaysia di kala saya sampai ke Sendai. Memandangkan kadar sewa bulanan rumah tersebut sangat berpatutan dan kondisinya sangat selesa bagi kami sekeluarga serta tidak dilupakan juga nasihat-nasihat berguna daripada rakan-rakan disini, maka saya mengambil keputusan untuk menyewa terlebih dahulu. 

MENCARI RUMAH SEWA

Untuk memudahkan urusan menyewa rumah di Jepun, sebaiknya seseorang itu perlu mempunyai asas Bahasa Jepun atau jika tidak, cuba dapatkan bantuan rakan-rakan yang berupaya berkomunikasi dalam Bahasa Jepun. Pencarian rumah sewa juga perlu dimulakan awal kerana fudousan (tuan rumah/ agen) agak cerewet. Ada mereka yang tidak beberapa mesra untuk menjadikan gaijin (orang luar) menyewa di rumah mereka. Jika pencariaan dimulakan lewat, dikhuatiri tidak dapat mencari rumah yang terbaik untuk menyewa nanti. Selain itu, barangkali dikhuatiri kesukaran berkomunikasi di antara bakal penyewa dan fudousan menjadi faktor penyebab kepada 'kurang mesra gaijin

Sekadar perkongsian pengalaman, kadar sewa rumah saya adalah sebanyak 58,000 yen sebulan dan ia di kira sangat berpatutan dengan status rumah sebuah atau saya lebih suka sebut sebagai 'Banglo Jepun'. Kos yang perlu saya tanggung bagi menyewa rumah di sini adalah sebanyak 274,390 yen bersamaan hampir RM8,097.00! Kalau di Malaysia pastinya tidak sebanyak itu dan barangkali boleh dijadikan deposit untuk membeli rumah di bawah harga RM100,000. 

BAYARAN RUMAH SEWA: 'DEPOSIT' DAN 'KEY MONEY'


Jika dilihat dalam resit pembayaran di atas, terdapat 3 komponen pembayaran:

1.    Deposit Rumah (termasuk elektrik, gas dan air) = 174,000 yen
2.    Sewa yang perlu dibayar sebab masuk rumah awal pada 10 Oktober 2014 = 37,750 yen
3.    'Key Money' = 62,640 yen

Jika di Malaysia, dalam perjanjian sewa rumah biasanya menggunakan konsep (2+1). Ini bermaksud, deposit 2 bulan kadar sewa rumah  dan 1 bulan bagi bil air dan elektrik. Sebagai contoh, jika sewa bulanan rumah tersebut RM700, maka deposit yang perlu dibayar adalah = (RM700 x 2 bulan + RM100) = RM1500. Kebiasaannya, RM100 dikira sebagai deposit bagi air dan elektrik. Menarik di Jepun ini bukan sahaja DEPOSIT yang perlu dibayar, malah satu lagi yang perlu bakal penyewa sediakan adalah 'KEY MONEY' atau duit saguhati kepada fudousan (pemilik rumah atau agen rumah tersebut) . 

'KEY MONEY' UNTUK SEWA RUMAH

'Key Money' atau Reikin ç¤¼é‡‘ merupakan pemberian 'hangus' kepada pemilik rumah sebagai tanda penghargaan memberi kemudahan tinggal di rumah tersebut. Saya dimaklumkan, istilah reikin ini wujud setelah Perang Dunia Ke 2 semasa Tokyo dibangunkan dengan bilangan tempat tinggal yang terhad. Walaupun peristiwa Perang Dunia Ke 2 telah berlalu beberapa dekad yang lalu dan Tokyo kini pesat membangun, istilah dan perlaksanaan 'key money' masih kekal sehingga kini dan tetap juga diguna pakai buat kami yang tinggal di Sendai. Oleh itu, bagi mereka yang bakal menyewa rumah di Jepun perlu juga bersedia dengan bayaran 'key money' yang mana saya dimaklumkan 'tiada standard harga' yang di tetapkan. Maka, pemberian saguhati boleh jadi 'mahal' dan boleh jadi juga 'murah' atau rendah. 

3 KESILAPAN KAMI BELI RUMAH

Teringat pengalaman kami semasa mula-mula hendak membeli rumah dahulu. Terdapat 3 KESILAPAN yang kami belajar daripada pengalaman tersebut. Harga yang perlu kami bayar bagi pengalaman ini bukanlah murah. Kesilapan pertama adalah pada masa itu kami masih kurang ILMU dalam selok-belok membeli rumah. Kesilapan kedua, bayar DEPOSIT dahulu baru cari BANK. Kesilapan ketiga, berjumpa dengan PEGUAM PENIPU dan tidak bertanggungjawab!

KESILAPAN #1 - ILMU

Sebagai peringatan buat diri sendiri dan nasihat buat mereka yang berhasrat untuk membeli rumah idaman pertama sebaiknya dapatkan ILMU berkaitan pembelian rumah. Sekarang ini mudah, ramai yang sudi berkongsi pengalaman melalui laman web secara percuma malah sudah banyak buku-buku berkaitan pembelian dan pelaburan hartanah di pasaran. Melalui ILMU, kita mampu buat keputusan yang bijak dan mengelakkan diri daripada membuat kesilapan yang sama sepertimana yang pernah saya dan isteri lalui.

KESILAPAN #2 - BAYAR DEPOSIT BARU CARI BANK

Oleh kerana kami tersilap langkah dan kurangnya ILMU membeli rumah maka kami telah membuat pembayaran DEPOSIT terlebih dahulu dan setelah itu baru mencari BANK untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan kami. Ya, bayaran DEPOSIT dan bukannya 'BOOKING FEE' atau duit tempahan! Pengalaman kami yang 'KURANG CERDIK' ini diharap dapat 'MENCERDIKKAN' orang lain. Sepatutnya sesiapa yang ingin membeli rumah seharusnya merujuk terlebih dahulu bank sama ada kita layak untuk membeli rumah idaman tersebut dengan pendapatan dan komitmen seseorang (suami/isteri). Jangan buat sebarang bayaran DEPOSIT jika pinjaman perumahan masih belum pasti diperolehi. Buat sahaja bayaran tempahan (booking fee) yang rendah dan kita benar-benar tidak ralat sekiranya bayaran tersebut tidak dipulangkan semula. 

KESILAPAN #3 - JUMPA 'PEGUAM PENIPU' 

Setelah peristiwa ini, kami banyak belajar dan berjumpa dengan peguam-peguam yang jujur. Namun, di luar sana masih lagi wujud PEGUAM PENIPU yang tidak bertanggungjawab. Kenapa PENIPU? Sebab peguam tersebut menyatakan kepada kami untuk memudahkan urusan pembelian rumah tersebut sebaiknya gunakan khidmat peguam yang sama dengan penjual rumah. Oleh kerana pada masa itu kami berhasrat untuk membeli rumah daripada pemilik rumah (sub-sale) atau ada juga sebut rumah 'second-hand' kesan daripada kurang ILMU maka kami bersetuju. Rupa-rupanya, peguam tersebut merupakan saudara-mara kepada penjual rumah. Pastinya wujud 'conflict of interest'! Bukan itu sahaja, PEGUAM PENIPU langsung tidak memberikan kami nasihat dek kerana TAMAK untuk perangkap pembeli dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Dijelaskan sekali lagi, masih ramai peguam-peguam yang JUJUR diluar sana. Malah, ramai bekas-bekas pelajar saya yang kini telah menjadi PEGUAM JUJUR dan mempunyai firma guaman yang beretika serta boleh dipercayai. 

CARILAH ILMU

Akhir kata, dalam apa sahaja keputusan yang hendak dibuat dalam kehidupan ILMU merupakan prioriti yang perlu ada bagi setiap orang. ILMU boleh diperolehi melalui pembacaan dan sebaiknya dapatkan GURU, MENTOR, MURABBI, SIFU yang boleh membimbing kita dalam membuat keputusan. Sekurang-kurangnya apabila kita BERILMU, kita tidak mudah tertipu dan ditipu. Melalui ILMU juga kita dapat mengurangkan RISIKO dalam setiap keputusan yang kita buat dalam kehidupan.

Sekadar perkongsian pengalaman. Salam mesra dari saya di bumi Sendai, Jepun!

Related Posts

3 Kesilapan Beli Rumah (Deposit & Key Money)
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak