KECEMASAN
Situasi menghadapi kecemasan bukan sahaja merujuk kepada aspek pengurusan kewangan yang memerlukan 'Dana Kecemasan'. Malah, dalam kehidupan kami di Jepun 'Beg Kecemasan' juga diperlukan terutama dalam menghadapi situasi luar jangka iaitu gempa bumi (jishin) yang tiada siapa tahu bila akan berlaku. Akhir-akhir ini Jepun sering dilanda gegaran yang agak kuat. Pada 30 Mei 2015 yang lalu gegaran berskala 8.1 (Japantoday.com) di wilayah Jepun telah berlaku sehinggakan kami yang berada di Sendai turut merasainya. Untuk rekod, pada 2011 Sendai pernah menerima impak Tsunami sehinggakan lapangan terbang Sendai terjejas teruk dan turut mengorbankan nyawa. Kesan gegaran yang kerap berlaku kali ini, ada kalangan senior (senpai) yang mencadangkan kepada kami agar menyediakan beg kecemasan. Kami sendiri telah menyediakan beg kecemasan ini sejak awal lagi. Cuma pada kali ini kami melihat semula beg tersebut bagi menambah beberapa barang keperluan dan memastikan makanan yang disimpan dalam beg kecemasan tersebut masih boleh dimakan. Kami juga menambah beberapa item bagi keperluan beg kecemasan. Berikut antara senarai barang-barang yang dicadangkan perlu ada di dalam 'beg kecemasan'.
SENARAI BARANG DALAM 'BEG KECEMASAN'
- Passport/dokumen pengenalan diri
- Kad insurans
- Air mineral (1 botol besar)
- Lampu suluh (torch light) beserta bateri tambahan.
- Wang tunai (kami sediakan hampir 15000 yen)
- Penutup mulut
- Foto keluarga (bagi keperluan mencari anggota keluarga yang hilang atau sesat)
- Wisel
- Tisu tandas (jika perlu)
- Tisu kertas
- Baju hujan/ payung kecil
- Blanket/ Selimut
- Sarung tangan (bergantung kepada musim)
- Tuala
- Radio
- Bantal kecil
- Pembuka tin/ pisau pelbagai guna
- Ubat-ubatan yang biasa digunakan
- Stokin bersih/ keperluan solat bagi perempuan
- Powerbank/ Charger telefon bimbit
- Makanan untuk tenaga (biskut/ coklat)
- Lilin (jika perlu)
- Mancis/ pemetik api
- Plastik sampah
- Pampers (jika ada anak kecil/ bayi)
- Baju/ pakaian untuk (sekurangnya 2 pasang dan sebaiknya lengan panjang)
- Sediakan beg tidur
* Sebaiknya beg kecemasan diletakkan berhampiran pintu masuk rumah atau mana-mana tempat yang mudah kelihatan dan diambil.
PERINGATAN UNTUK ISTERI/ ANAK-ANAK YANG SERING BERADA DI RUMAH (SEMASA GEMPA BERLAKU)
Bertenang dan jangan panik. Apabila berlaku gempa, isteri dan anak-anak dinasihatkan untuk (semasa di rumah):
- Jangan berada dekat dengan perabot besar dan juga peti sejuk
- Jika mempunyai meja, berlindung di bawah meja
- Jauhi pintu kaca atau tempok yang tinggi
- Tutup paip gas utama
- Keluar dari rumah
- Jika ada kebakaran, lari ke arah lawan angin
- Tutup langsir untuk elakkan kaca bertabur
- Buka pintu dan laluan keluar masuk (sendal pintu)
- Menuju ke kawasan lapang atau tempat perpindahan (padang sekolah)
Jika di luar rumah:
- Hindari kawasan sungai, lurah dan juga pantai
- Jika sedang memandu, jangan berhenti mengejut
- Jika ingin meletakkan kereta di bahu jalan, pastikan tidak menghalang lalu lintas yang boleh menganggu misi menyelamat
- Jika berada di tepi pantai, lari ke kawasan yang tinggi
- Elakkan berada di kawasan tebing/ tembok tinggi
Beg Kecemasan (Emergency Bag)
4
/
5
Oleh
Unknown