MIDORI (HIJAU) ATAU AOI (BIRU)
"Abah tahu tak orang Jepun sebut apa kalau warna HIJAU?", soal kakak semasa saya sedang memandu."Mestilah (midori) 緑 (みどり), macamlah abah tak tahu", jawab saya.
"Tapi kalau lampu isyarat warna HIJAU orang Jepun sebut apa abah?", soal kakak lagi.
Belum sempat saya menjawab, Anis mencelah "mestilah (midori) 緑 (みどり) juga!", telahan Anis.
"Tak! Orang Jepun tak sebut (midori) 緑(みどり) untuk warna HIJAU bagi lampu isyarat", tegas kakak.
"Habis tu, warna apa kakak?", tanya Humairah pula.
"Orang Jepun sebut aoi shingou. Aoi 青 (あお) itu maksudnya BIRU", jelas kakak lagi.
"Ooooo!", serentak Anis dan Humairah seakan mula memahami.
SOALAN DEMI SOALAN
Saja sengaja ajak anak-anak berbual dengan bertanya soalan demi soalan.
"Kakak, kenapa orang Jepun tak kata (midori) 緑 (みどり) untuk warna HIJAU?", saya bertanya pula.
"Tak tahu", jawab ringkas kakak.
"Mana kakak tahu orang Jepun cakap aoi 青 (あお) (BIRU) untuk lampu isyarat?", soal saya lagi.
"Masa lawatan ke Ibu Pejabat Polis Sendai tempohari", jelas kakak lagi.
"Kenapa kakak tak tanya polis tu sebab apa tak sebut (midori) 緑 (みどり)?", saya bertanya lagi.
"Kakak nak tanya, tapi kakak tak tahu macamana", jelas kakak lagi.
"Oooo, agak-agak siapa tahu kenapa orang Jepun tak sebut midori untuk lampu isyarat?", saya meneruskan perbualan.
"Entah!", jawab Humairah yang kurang cakna.
"Anis agak mereka 'buta warna' kot", telahan Anis.
"Haha", kami semua gelak.
PELIK TAPI BENAR
Memang benar orang Jepun tidak sebut (midori) 緑 (みどり) untuk hijau bagi lampu isyarat. Jika belajar memandu di sini turut diajar warna lampu kuning (kiiro) 黄 (き), merah (aka) 赤(あか) dan bukannya hijau (midori) 緑 (みどり) tetapi BIRU (ao) 青 (あお). Maka anak-anak turut diajar di sekolah untuk menyeberangi jalan apabila lampu isyarat bertukar kepada warna BIRU (ao) 青 (あお).
Ini kerana dikatakan orang Jepun zaman dulu tidak mengenali warna HIJAU (midori) 緑 (みどり). Mereka mengkategorikan HIJAU dan BIRU dalam kumpulan yang sama. Istilah HIJAU hanya dikenali pada zaman Heian (794 - 1185). Sehingga sekarang warna BIRU dan HIJAU sedikit keliru di kalangan masyarakat Jepun. Saya dimaklumkan, buah epal (apple) hijau juga disebut ao ringo (青りんご), daun hijau pula disebut ao ba 青葉 (あおば), rumput hijau juga disebut ao shiba 青芝 (あおしば).
Menurut satu kajian yang dibuat oleh Francis Conlan, bagi memastikan rakyat Jepun tidak keliru dengan warna HIJAU dan BIRU pada lampu isyarat maka pada tahun 1973 pihak Jepun mengarahkan untuk lampu isyarat HIJAU ditukar kepada menghampiri BIRU. Maka tidak perlu di tukar daripada (ao) 青 (あお) kepada (midori) 緑 (みどり). (Sumber: The Japan Times).
Sehingga kini kekallah disebut BIRU dan bukannya HIJAU bagi lampu isyarat walaupun warnanya benar-benar HIJAU!
Sehingga kini kekallah disebut BIRU dan bukannya HIJAU bagi lampu isyarat walaupun warnanya benar-benar HIJAU!
Keliru Hijau Atau Biru di Jepun
4
/
5
Oleh
Unknown