Thursday, June 4, 2015

Merekalah 'Anak-Anak'

Ke Sekolah di Jepun
Ke Sekolah di Jepun

SEKOLAH DARJAH 1

Di Jepun sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak seusia 7 tahun (darjah 1) sudah mulai berjalan kaki ke sekolah tanpa di temani ibu bapa atau penjaga mereka. Semasa minggu pertama sesi persekolahan disini, ibu bapa diminta untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah. Setelah itu, pada minggu ke dua guru-guru akan terlibat dalam membimbing dan menunjuk-ajar kanak-kanak ini khususnya mereka yang darjah 1 berkaitan laluan perjalanan, peraturan lalu-lintas dan bergerak dalam kumpulan. Umumnya, para pelajar darjah 1 akan dibahagikan dalam kumpulan mengikut lokasi tempat tinggal mereka. 

SENSEI DI SEKOLAH 

Teringat lagi pesanan Miyazaki sensei merupakan guru di sekolah anak yang berupaya berkomunikasi dalam Bahasa English yang baik untuk kami mengambil anak-anak kami di Tohoku Fukushi University. Ia tidak jauh dari rumah dan merupakan 'check point' terakhir anak-anak akan dihantar pada minggu ke dua. Selepas ini, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil anak-anak di sekolah atau membiarkan mereka pergi/ pulang sendiri ke sekolah. Maka, bermulalah episod baru pada minggu ke tiga di mana-mana kanak-kanak darjah 1 sudah mulai berjalan sendiri ke sekolah dan sangat sedikit kelihatan ibu bapa mahupun penjaga yang menghantar anak-anak mereka.

JALAN KAKI KE SEKOLAH

Secara peribadi, saya kagum melihat reaksi kanak-kanak di sini yang telah dilatih berdikari ke sekolah sejak diawal usia. Kami yang baru menyesesuaikan diri dengan sistem disini masih 'agak sukar' pada peringkat awal untuk 'melepaskan' anak-anak walaupun kelihatan mereka seakan 'meronta-ronta' mahu ke sekolah bersendirian. Setelah minggu ke 4, barulah kami boleh memberikan kebenaran kepada anak-anak untuk berjalan kaki pulang dari sekolah sendirian tanpa ditemani.

PERJALANAN KE SEKOLAH

Kami tidak nafikan persekitaran juga mempengaruhi dalam membuat keputusan membenarkan anak-anak ke sekolah sendirian tanpa ditemani. Jalanraya yang tidak terlalu sibuk, tiada banyak kenderaan, kurangnya motosikal dan laluan khas untuk pejalan kaki turut menjadi faktor pendorong utama dalam kami membuat keputusan. Persekitaran yang selamat dan sangat sedikit ancaman kepada anak-anak memberikan kami sinar keyakinan untuk akur dengan permintaan anak-anak bagi berjalan kaki pulang dari sekolah. Setakat hari ini, kami hanya membenarkan anak-anak untuk berjalan kaki sendiri bagi perjalanan pulang dari sekolah sahaja kerana kami sendiri tidak mahu rasa 'kekurangan' untuk mendengar dan bersembang dengan anak-anak. Bagi saya dikala berjalan kaki ke sekolah inilah kami dapat bersembang dan berbual dengan anak-anak secara santai. Selain itu, perjalanan berjalan kaki selama 15 minit sekurang-kurangnya juga menjadi senaman (exercise) buat kami di waktu pagi. 

BERBUAL-BUAL KE SEKOLAH

Saya teringat pesanan rakan saya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam tulisan beliau di Abah.My yang bertajuk Sunnah Berbual Dalam Pendidikan Anak-Anak. Satu perkongsian yang sangat menarik dalam mengingatkan saya agar 'azam dan berusaha' mencari masa untuk berbual dengan anak-anak. Memang susah untuk mendengar celoteh anak-anak di kala kita penat pulang dari universiti setelah seharian 'bergelumang' dengan kerja-kerja penyelidikan. Selalunya, setelah menghantar anak-anak ke sekolah saya akan terus ke lab atau perpustakaan sehingga bila pulang di rumah anak-anak sudah mulai mengantuk dan ada kala sudah tertidur.

Situasi yang sama juga bagi ibu/ bapa yang seharian bekerja ada di kalangan mereka yang langsung tidak berkesempatan untuk berbual dengan anak-anak. Sungguhpun saya bertuah kerana ada isteri yang dapat mengisi keperluan anak-anak yang teruja mahu dan suka bercerita. Namun, kadang-kala terasa 'tersentap' adakah tugas bapa hanya mencari rezeki dan pulang lewat? Bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ayah/abi/abah/papa atau apa sahaja panggilan yang merujuk kita sebagai seorang bapa dalam mendidik anak-anak? Sudahkah kita cuba sedaya upaya mendidik anak-anak dan berbual-bual dengan mereka? Saya masih ingat lagi perkongsian ringkas saya sebelum ini iaitu Jadilah Seorang Bapa, Ganbatte! Diulang-ulang 'video' tersebut dan dibiarkan ia berbicara. 

MASA DENGAN ANAK-ANAK

Terima kasih Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, rakan lama melalui Abah.My kerana ingatkan kami sedaya-upaya mencari masa untuk bersembang dengan anak-anak. Kami tidak mahu rasa 'kekurangan' dan 'penyesalan' sehingga sukar nanti mencari jalan 'U-Turn'. Khuatir juga sekiranya anak-anak mencari 'teman sembang' mereka bagi menggantikan diri kita yang tenggelam dengan alasan 'penat dan kesibukan' kepada orang lain yang lebih mesra dengan mereka.

Merekalah Anak-anak
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Terima kasih juga ingatkan bahawa sayangilah anak-anak tanpa syarat! Suka mereka di kala bayi yang comel, suka juga mereka di kala membuat 'perangai'. Suka juga mereka dikala tidak banyak ragam, suka juga mereka di kala bergaduh dan membuat 'bingit'. Suka di kala mereka menghiburkan dan juga perlu suka di kala mereka 'memeningkan'. Inilah anak-anak kita yang akan menginjak usia ke alam dewasa.

Bersedia Ke Sekolah di Jepun
Bersedia Ke Sekolah di Jepun

Saya juga diingatkan:

Sejak dilahirkan, mereka adalah anak-anak.

Semasa bayi comel, juga anak-anak.

Semasa kanak-kanak, mereka anak-anak.

Semasa mereka remaja, mereka anak-anak.

Apabila dewasa, mereka juga anak-anak.

Dikala mereka sudah berkeluarga dan menjadi ibu bapa serta telahpun mempunyai anak-anak, mereka tetap menjadi anak-anak.

Terima kasih sekali lagi tidak terhingga buat rakan lama yang memberikan sentuhan di hati dalam tulisan beliau Apabila Anak Bukan Lagi Kanak-Kanak agar mematangkan diri kami sebagai ibu/bapa seiring dengan proses kematangan anak-anak. Tidak salah seorang ibu/bapa menyedari kesilapan dan sentiasa muhasabah serta memperbaiki diri untuk menjadi seorang ibu/bapa sebenar. Atas sebab itu saya ingatkan diri dalam perkongsian 'Bina Keluarga' vs 'Bina Hutang' agar memberikan keutamaan terhadap keluarga. Sentiasa juga ingatkan diri dalam 'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu' agar masa yang ada turut diperuntukkan untuk anak-anak dan bukannya leka berterusan membina hutang atau alpa mengejar harta.

Sentiasa juga ingatkan diri ini untuk belajar dan mencari identiti terbaik sebagai seorang IBU/BAPA kerana mereka adalah anak-anak kita yang merupakan HARTA yang paling utama!

Related Posts

Merekalah 'Anak-Anak'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

6 comments

Write comments
avatar
Ani
June 5, 2015 at 7:32 PM

Saya terharu. Perkongsian yang baik. Biar seimbang keluarga mahupun harta. Anak-anak harta yang utama.

Reply
avatar
June 5, 2015 at 7:49 PM

Terima kasih Ani kerana sudi singgah di blog ini. Sekadar perkongsian untuk ingatan buat diri saya dan semoga ia juga bermanfaat untuk yang membaca. Sememangnya anak-anak merupakan harta yang paling utama.

Reply
avatar
December 21, 2015 at 2:27 AM

Anak-anak dididik untuk berdikari sejak usia mereka begitu muda lagi! :0

Reply
avatar
December 21, 2015 at 6:37 AM

Ya.

Memang terhibur dengan telatah anak.

Ohh..tinggal di jepun ke?

Reply
avatar
December 21, 2015 at 6:40 AM

Terima kasih Adik Yun Sing kerana sudi singgah di blog ini. Betul tu di sini anak-anak mereka telah dididik berdikari sejak dari kecil. Saya pernah tengok sendiri ada ibu yang memerhati dari jauh anak mereka yang berusia 6 tahun (kindergarden) jalan kaki ke sekolah sendirian. Biasanya, apabila sudah 7 tahun (darjah 1) mudah kelihatan anak-anak kecil ini berjalan kaki ke sekolah tanpa ditemani penjaga. Namun, perlu difahami juga faktor keselamatan dan bilangan kenderaan juga mempengaruhi situasi di sini untuk anak-anak berjalan kaki sendirian. Salam perkenalan dari kejauhan Sendai, Jepun.

Reply
avatar
December 21, 2015 at 10:04 AM

Betul tu Cikgu, saya kini berada di Sendai, Jepun. Berpeluang merasai pengalaman di negara orang. Sememangnya anak-anaklah penyeri hidup kami di sini. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Salam perkenalan dari kami di perantauan.

Reply

Tudung kanak-kanak