Saturday, June 13, 2015

10 Info Mengenai 'Jepun'

WAKTU JEPUN

Semalam sensei memaklumkan kepada kami untuk diadakan satu perjumpaan di lab pada jam 7:00 pagi. Sepanjang pengalaman berada di sini, inilah kali pertama permintaan sensei untuk jumpa seawal jam 7:00 pagi kerana dimaklumkan banyak perkara yang hendak dibincangkan sebelum beliau perlu menghadiri mesyuarat lain pada jam 9:00 pagi. Ini bermakna kami hanya mempunyai masa 2 jam untuk sesi perbincangan. 

Oleh kerana jarak daripada tempat penempatan kami lebih kurang 20-30 minit ke universiti (menaiki kereta), maka kami perlu keluar rumah selewat-lewatnya jam 6:20 pagi. Memandangkan kami keluar awal pagi, kami berjaya sampai di lab pada jam 6:40 pagi dan alangkah terkejutnya kami sensei telah menunggu kami di lab lebih awal daripada masa yang telah ditetapkan. Kagum dengan pengurusan masa sensei walaupun kelihatan beliau sangat sibuk dan keletihan dengan jadual yang padat. 

JADUAL BAS JEPUN 

Tidak dapat dinafikan sememangnya 'majoriti' orang Jepun sangat menjaga MASA mereka. Sebagai contoh, jadual bas yang disediakan di setiap tempat menunggu bas biasanya akan menepati waktu yang telah ditetapkan. Jarang sekali sangat terlewat dan ini menjadikan penggunaan pengangkutan awam lebih efektif berbanding menggunakan kenderaan sendiri. Atas sebab itu, sebelum membeli kereta di Jepun sebaiknya baca dahulu perkongsian saya dalam BELI KERETA ATAU TIDAK DI JEPUN?

10 INFO JEPUN

Selain berkaitan MASA, terdapat 10 INFO lain yang boleh dikongsikan berkaitan tentang Jepun berdassrkan pengalaman kami di sini. Antaranya:

INFO JEPUN #1 - MATAHARI TERBIT

10 Info Mengenai 'Jepun'
Negara Matahari Terbit


Tahukah anda bahawa Jepun yang juga dikenali sebagai 'Negara Matahari Terbit' sebenarnya bukan sahaja kerana waktu siangnya lebih awal. Sebagai contoh, menjelang seminggu sebelum bulan puasa di sini, waktu solat subuh kami di sini adalah pada jam 2:13 pagi. Namun perlu diketahui juga, nama asal Jepun yang berasal daripada perkataan æ—¥æœ¬ NipponNihon yang bermaksud 'Asal Matahari' menjadikan nama Jepun sinonim dengan istilah 'Negara Matahari Terbit'. 

INFO JEPUN #2 - INKAN

10 Info Mengenai 'Jepun'
Hanko/ Inkan


Tahukah anda bahawa tanda tangan jarang digunakan bagi urusan rasmi di Jepun. Ini kerana, kebanyakan urusan rasmi inkan atau hanko merupakan pengenalan diri rasmi bagi mengantikan tanda tangan. Hanko merupakan alat mengecop (cop), manakala inkan merujuk kepada bentuk tulisan yang terhasil daripada hanko tersebut. Di Sendai, kebanyakan bank sudah boleh menerima tanda tangan bagi mengantikan inkan/ hanko. Walau bagaimanapun, bagi urusan pembelian kereta masih memerlukan inkan. Saya pernah kongsikan maklumat berkaitan dalam perkongsian saya di KEPERLUAN 'HANKO'. 

INFO JEPUN #3 - BERSEMBANG

Tahukah anda masyarakat Jepun jarang bersembang semasa di dalam pengangkutan awam. Kebiasaanya mereka akan membaca buku atau melihat gajet/ smartphone mereka. Baru-baru ini anak saya mengikut lawatan ke luar anjuran sekolah rendah dan dia tidak terlupa membawa buku untuk dibaca kerana menyatakan apabila di dalam keretapi nanti kebanyakan rakan-rakannya akan membaca buku. Walaupun kini smartphone atau gajet lain telah mengantikan buku, membaca masih menjadi cara orang Jepun apabila berada di dalam bas atau keretapi daripada bersembang-sembang sesama mereka. 

INFO JEPUN #4 - RAMALAN CUACA

Tahukah anda bahawa 'Ramalan Cuaca' banyak digunakan oleh masyarakat Jepun bagi keperluan dan urusan harian. Anak saya sendiri akan bertanya mengenai cuaca esok hari atau menggunakan sendiri aplikasi 'Ramalan Hujan' bagi menentukan sama ada perlu atau tidak membawa payung atau baju hujan ke sekolah pada keesokan hari. Oleh itu, bagi mereka yang tinggal lama di Jepun barangkali aplikasi 'Ramalan Cuaca' dapat turut membantu anda merancang urusan harian anda. 

INFO JEPUN #5 - RAMEN

10 Info Mengenai 'Jepun'
Ramen


Tahukah anda ramen atau sup mee merupakan salah satu makanan popular di Jepun. Perlu diketahui walaupun ramen tersebut tidak kelihatan sebarang daging atau hanya sekadar sayur-sayuran, kebiasaannya bahan asas sup tersebut menggunakan daging khinzir. Oleh demikian, pastikan terlebih dahulu atau sebaiknya elakkan daripada memakan ramen yang meragukan.

INFO JEPUN #6 - GUNUNG


70% permukaan bumi Jepun merupakan pergunungan
70% Permukaan Bumi Jepun Merupakan Pergunungan 


Tahukah anda hampir 70% permukaan bumi Jepun merupakan pergunungan. Oleh itu, Jepun mempunyai banyak tempat tarikan pelancong yang terletak di kawasan pergunungan termasuklah Gunung Fuji. Atas sebab itu juga, dikatakan Jepun sukar menghadapi masalah kekurangan air yang kritikal.

INFO JEPUN #7 - SAKURA

10 Info Mengenai Jepun
Sakura


Tahukah anda walaupun bunga sakura merupakan bunga kebanggaan Jepun, dikatakan bahawa bunga tersebut hanya dapat bertahan selama 2 minggu sahaja. Oleh itu, bagi melihat dan merasai sendiri pengalaman 'hanami sakura' perlu dibuat perancangan masa sebaiknya bagi memastikan bunga sakura mekar, tidak layu dan gugur. Bagi masyarakat Jepun, bunga sakura mengambarkan lambang kebahagian, kedamaian dan ketenangan setelah menempuh musim sejuk. Saya pernah kongsikan dalam BEBAS HUTANG: 'TENANG DAN MENDAMAIKAN'.

INFO JEPUN #8 - ONSEN

10 Info Mengenai Jepun
Onsen Popular di Jepun

Tahukah anda 'onsen' atau merujuk kepada kolam atau tempat mandi air panas popular di kalangan masyarakat Jepun. Dikatakan amalan onsen boleh menghilangkan tekanan, baik untuk kulit dan juga kesihatan. Namun, perlu diketahui juga salah satu daripada peraturan dan etika onsen adalah anda tidak dibenarkan berpakaian (perlu berbogel) ketika berendam dengan pengunjung yang lain terutama bagi onsen awam.

INFO JEPUN #9 - TEKSI

Teksi di Jepun
Teksi di Jepun


Tahukah anda pintu teksi di Jepun akan terbuka atau ditutup secara automatik sekiranya anda ingin masuk atau keluar daripada teksi. Oleh itu, anda tidak perlu untuk membuka dan menutup serta harus memberikan ruang dengan menjauhi pintu teksi bagi membolehkan ia dibuka oleh pemandu teksi untuk membolehkan anda memasuki teksi.

INFO JEPUN #10 - JITENSHA (BASIKAL)

Info di Jepun
Mama-Chari


Tahukah anda basikal atau juga dikenali sebagai 'jitensha' merupakan pengangkutan popular di Jepun. Di sini sangat mudah kelihatan basikal malah di kampus tempat saya belajar bilangan basikal tidak terkira banyaknya. Terdapat juga basikal yang popular bagi kegunaan ibu-ibu di sini yang dikenali sebagai 'mama-chari'.  

Related Posts

10 Info Mengenai 'Jepun'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak