Wednesday, June 3, 2015

'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu'

Hutang Mahu vs Hutang Perlu
Hutang Mahu vs Hutang Perlu

GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP'

Alhamdullilah, tidak disangka tulisan saya yang bertajuk 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP' mendapat reaksi yang positif dan mencatat sebagai artikel Bahasa Malaysia paling 'popular' dalam masa tak sampai sebulan berdasarkan statistik blogspot saya.

Niat utama lebih kepada sekadar perkongsian pengalaman khususnya kepada bekas para pelajar dalam senarai facebook saya. Begitu juga perkongsian cerita dari Jepun 3 KESILAPAN MEMBELI RUMAH (DEPOSIT & KEY MONEY) turut mendapat bacaan tertinggi dalam beberapa hari dan bilangan share yang terbanyak. Suka saya jelaskan bahawa saya bukanlah seorang Certified Financial Planner (CFP) walaupun pernah menjadi pelajar Islamic Financial Planner (IFP) bersama-sama rakan-rakan yang lain dahulu.

Segala tulisan saya lebih kepada untuk 'MENCERDIKKAN' orang lain agar tidak mengikut pengalaman kami dahulu yang boleh diibaratkan sebagai 'KURANG CERDIK'. Saya juga dalam proses belajar yang bukan hanya seorang pelajar di Jepun, malah suka belajar dan membaca tulisan-tulisan berkaitan pengurusan kewangan, pelaburan dan perniagaan serta keusahawanan di kala saya terhenti idea menulis artikel penyelidikan saya. Harapnya dengan ilmu yang sedikit, perkongsian pengalaman saya ini jika ia bermanfaat dan berguna buat orang lain akan menjadi amal jariah yang berterusan.  

KOMEN 'ELAK HUTANG'

Hutang Mahu vs Hutang Perlu
Komen 'Silent Reader'

Saya tertarik dengan satu komen dalam perkongsian 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP'. Terima kasih kepada 'Mai' yang sudi singgah di blog saya dan bertanyakan berkaitan HUTANG. Untuk makluman Mai, saya juga berhutang dan ramai di kalangan kita yang tidak dapat mengelakkan diri daripada berhutang. Saya juga pernah mempunyai hutang kereta, hutang pendidikan (isteri dan saya) dan sehingga kini masih mempunyai 2 hutang rumah.

Namun, salah satu rumah saya telah gunakan kaedah 'menjana pendapatan pasif' atau lebih dikenali sebagai teknik Other People Money (OPM). Manakala hutang pendidikan isteri dan kereta, saya telah melunaskan keseluruhannya lebih awal sebelum kami berlepas ke Jepun. Saya pernah kongsikan berkaitan kisah ini dalam perkongsian BEBAS HUTANG: 'TENANG DAN MENDAMAIKAN'.

'HUTANG MAHU' atau 'HUTANG PERLU'

Jika kita membaca buku-buku berkaitan pengurusan kewangan mahupun pernah menyertai mana-mana kursus-kursus pengurusan kewangan pastinya perkara yang paling asas akan diterapkan adalah berkaitan KEPERLUAN dan KEMAHUAN.

Teringat dahulu, saya pernah membawa pihak AGENSI KAUNSELING DAN PENGURUSAN KREDIT (AKPK) ke organisasi lama saya (sebuah kolej universiti) untuk menerangkan kepada para pelajar berkaitan pengurusan dan pendidikan kewangan. Antara perkara asas yang akan ditekankan adalah memahami konsep keperluan dan kemahuan yang rata-rata masih ramai yang keliru. Sebab itulah dalam konsep memilih hutang dalam kehidupan, saya berharap juga kita dapat membezakan di antara 'HUTANG MAHU' dan 'HUTANG PERLU'. Terima kasih tidak terhingga buat Mohd. Zulkifli Shafie yang mengingatkan saya kembali berkaitan kedua-dua jenis hutang ini dalam bukunya ZERO HUTANG: Bukan Mudah Tapi Tak Mustahil. 

Sebagai contoh, hutang peribadi (personal loan) untuk perkahwinan bukanlah 'HUTANG PERLU' jika hanya semata-mata untuk memastikan majlis yang berlangsung sehari kelihatan gah dan berprestij. Begitu juga bayaran ansuran (hutang) di premis-premis bukanlah 'HUTANG PERLU' jika hanya semata-mata untuk membeli barangan eletrik, perabot  dan sebagainya bagi menghiasi rumah yang PALING MAMPU. Percaya atau tidak, saya pernah mengenali seseorang yang sanggup berhutang dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM40 sebulan bagi tempoh hampir 30 bulan hanya semata-mata untuk membeli kamera DSLR yang dia sendiri jarang gunakan. Jika kamera tersebut digunakan untuk menjana pendapatan, barangkali itu merupakan keputusan yang bijak dan boleh diklasifikasikan sebagai 'HUTANG PERLU'.

Hutang Mahu vs Hutang Perlu
Hutang di Kalangan Penjawat Awam


Saya juga pernah mengenali individu yang sanggup membuat hutang peribadi (personal loan) RM10,000 hanya kerana ingin membuat pelaburan secara dalam talian (on-line) dalam XXX-FUND dan akhirnya duit tersebut 'hangus' apabila syarikat pelaburan tersebut termasuk dalam senarai 'dibekukan'. Adakah situasi tersebut merupakan 'HUTANG PERLU'?

Saya pernah terbaca satu laporan daripada Jabatan Insolvensi yang menyatakan ramai penjawat awam yang diisytiharkan MUFLIS akibat daripada hutang di bank termasuklah hutang kad kredit. Saya secara peribadi menganggap KAD DEBIT lebih baik daripada KAD KREDIT. Malah saya sendiri boleh hidup di luar negara tanpa perlunya KAD KREDIT jika ada mereka yang menggunakan alasan perlunya kad kredit bagi keperluan di luar negara. Sehingga kini saya sekeluarga boleh hidup dan tinggal di luar negara dengan hanya menggunakan KAD DEBIT yang mempunyai fasiliti sepertimana KAD KREDIT. Maka, persoalannya di mana keperluannya KAD KREDIT jika ia dikatakan SANGAT PERLU? Oleh itu, saya yakin jika kita mahu berfikir dan ada rasa mahu berubah setiap orang mampu untuk mengubahnya.

CUKUP BULAN BAYAR HUTANG

Saya sangat simpati dengan mereka yang terpaksa bekerja seteruk-teruknya hanya semata-mata untuk menambah pendapatan bulanan bagi melangsaikan hutang. Tak salah untuk berbelanja sepuasnya jika kita boleh memenuhi segala kemahuan kita secara tunai atau melalui sumber 'pendapatan pasif'. Saya pernah kongsikan dalam BERBELANJALAH SEPUASNYA sebelum ini. Pemahaman yang jelas berkaitan 'HUTANG MAHU' dan 'HUTANG PERLU' adalah sangat penting bagi memastikan diri kita tidak terjebak dengan PERANGKAP HUTANG yang akhirnya akan merugikan diri dan keluarga.

Janganlah terpengaruh dengan kehidupan dan keseronokan yang sementara. Bagi mereka yang baru ingin memulakan kehidupan sebagai suami/isteri barangkali perkongsian AZAMLAH BERKAHWIN TANPA HUTANG! boleh dijadikan panduan. Manakala, bagi mereka yang telah terjebak dengan hutang, berazamlah untuk keluar daripada belenggu hutang. Hentikan diri daripada berterusan mengutamakan 'MEMBINA HUTANG'. Sentiasa ingatkan diri dalam membuat keputusan berkaitan hutang agar dapat membezakan dengan jelas sama ada ia merupakan 'HUTANG MAHU' atau 'HUTANG PERLU'. Jangan nanti kita boleh diibaratkan sepertimana pantun dua kerat yang berbunyi:

Keluar Pagi Balik Petang,
Cukup Bulan Bayar Hutang!

Related Posts

'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak