Friday, June 19, 2015

'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian'


PEMBINAAN RUMAH 

Baru-baru ini sebelah rumah sewa kami di sini membuat pembinaan sebuah bangunan.  Pada asalnya kami ingatkan, bangunan tersebut merupakan stor untuk kedai yang terletak berhampiran dengan rumah kami. Namun, jangkaan kami meleset rupa-rupanya bangunan tersebut merupakan rumah pemilik kedai tersebut. Di Jepun, kebiasaannya rumah-rumah yang dibina kelihatan agak kecil. Namun, segenap tanah dan ruang dalaman rumah digunakan sepenuhnya. Saya tak pasti rumah ke berapa milik pemilik kedai tersebut, memandangkan kini dia menetap di tingkat atas bangunan 3 tingkat kedai miliknya. 

Menariknya semasa proses pembinaan bangunan tersebut, proses kerja yang dilakukan begitu teliti dan tersusun rapi. Boleh saya simpulkan pembinaan bangunan di sini dirancang rapi, aplikasi pengkhususan kemahiran dan menggunakan kos yang paling efektif. Sebagai contoh, bagi pemasangan lantai rumah tersebut hanya melibatkan seorang pekerja dan mengambil masa 2 hari. Manakala, bagi pemasangan saluran air juga hanya melibatkan seorang pekerja dan selesai dalam tempoh 1 hari sahaja. Terdetik dihati berapalah agak-agaknya kos untuk membina rumah seperti ini jika di Malaysia kerana hampir kesemua material yang digunakan adalah kayu. 

RUMAH IMPIAN 

Tidak dinafikan semua orang mempunyai hasrat untuk membeli 'RUMAH IMPIAN' mereka. Jika disebut 'RUMAH IMPIAN' pastinya setiap orang mempunyai impian yang menggunung tinggi. Malah, orang yang kini telah mempunyai 'RUMAH IMPIAN' masih lagi mempunyai impian untuk memiliki rumah lagi dan lagi. Bagi mereka yang baru berumahtangga, pasti terdetik di hati alangkah indahnya 'RUMAH IMPIAN' nanti mempunyai tanah luas untuk anak-anak bermain di waktu petang atau berkebun di hari minggu. Terbayang juga kabinet dapur yang gah dan tempat letak kenderaan yang luas menanti pulang pasangan dari tempat kerja. 

KURANG CERDIK BELI RUMAH

Teringat pengalaman kami yang KURANG CERDIK sebelum kami memiliki 'RUMAH IMPIAN' kami. Sudah banyak juga buku berkaitan pembelian rumah dan hartanah yang kami baca serta sudah juga bertanya pada orang-orang yang berpengalaman membeli rumah. Namun, menyedari bahawa perancangan-Nya juga yang terbaik kami pernah melakukan kesilapan dalam proses membeli 'RUMAH IMPIAN'. Kisah tersebut pernah saya kongsikan dalam 3 KESILAPAN BELI RUMAH. Diharapkan perkongsian pengalaman kami yang KURANG CERDIK itu dapat MENCERDIKKAN orang yang membacanya. 

'RUMAH PERTAMA' ATAU 'RUMAH IMPIAN'



Berdasarkan pengalaman mereka yang memiliki lebih daripada sebuah rumah, mereka tidak membeli 'RUMAH IMPIAN' sebagai 'RUMAH PERTAMA'. Ini kerana, 'RUMAH PERTAMA' tidak semestinya 'RUMAH IMPIAN' yang diimpikan bagi mereka. Umumnya, mereka yang ke arah kebebasan kewangan dan berupaya untuk memiliki rumah lebih daripada sebuah adalah di kalangan mereka yang membeli 'RUMAH PERTAMA' yang MAMPU dan bukannya yang PALING MAMPU. Meletakkan mentaliti untuk memiliki 'RUMAH IMPIAN' akan turut mempengaruhi cara berfikir seseorang.

TERTANGGUH BELI RUMAH

Untuk memiliki 'RUMAH IMPIAN', seseorang akan membeli yang PALING BAIK, PALING MAMPU, PALING LUAS dan PALING SELESA. Pastinya, untuk memiliki 'RUMAH IMPIAN' seperti ini memerlukan tempoh masa yang agak panjang bagi mengumpul modal dan mencapai pendapatan yang memungkinkan seseorang untuk membayar komitmen bulanan. Akhirnya, keputusan untuk membeli 'RUMAH IMPIAN' tersebut tertangguh dan duit simpanan bagi keperluan membeli rumah dikhuatiri terguna. Realitinya, harga rumah dari tahun ke tahun tidak pernah turun. Penangguhan ada kalanya menyebabkan seseorang itu mungkin terlepas peluang untuk membeli rumah dikala harga masih dikira rendah dan MAMPU milik.

TAK RUGI BELI RUMAH



Ramai mereka yang pakar dalam bidang pelaburan HARTANAH melihat memiliki rumah lebih daripada sebuah di lokasi yang strategik merupakan pelaburan yang tidak merugikan. Strategi mereka, membeli 'RUMAH PERTAMA' dan bukannya 'RUMAH IMPIAN' bagi permulaan pelaburan hartanah.

RUMAH PERTAMA jika dijual boleh dijadikan modal untuk membeli 'RUMAH IMPIAN'. Selain itu, boleh juga disewakan untuk menjana pendapatan pasif bagi menampung komitmen bayaran bulanan 'RUMAH IMPIAN'. Strategi terakhir, 'RUMAH PERTAMA' juga boleh dibuat pembiayaan semula (refinance). Walaupun tindakan pembiayaan semula akan meningkatkan tempoh dan bayaran bulanan, tiada masalah besar kerana rumah tersebut telahpun disewakan dan komitmen bulanan di bank di bayar oleh penyewa. Bukan itu sahaja, rumah tersebut turut dilindungi takaful.

CARA BERFIKIR MILIKI RUMAH

Akhir kata, diharapkan perkongsian 'RUMAH PERTAMA' atau 'RUMAH IMPIAN' ini dapat mengubah cara kita berfikir dalam memiliki 'RUMAH IMPIAN' pada masa hadapan. Bagi yang masih menyewa, tiada salahnya untuk menyewa dahulu. Pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, tahniah diucapkan dan janganlah terlalu 'gopoh' untuk membeli 'RUMAH IMPIAN'. Tak salah untuk membeli, jika kita benar-benar mampu. Jika mampu, belilah rumah yang MAMPU dan bukannya yang PALING MAMPU. Kehidupan baru bermula, masih jauh lagi perjalanan dan adakah kita akan mengakhiri zaman persaraan kita di lokasi 'RUMAH IMPIAN' dan PALING MAMPU yang bakal kita beli nanti.

HARTANAH DAN RUMAH

Kini, pelaburan hartanah bukanlah satu pilihan tetapi merupakan satu KEPERLUAN khususnya bagi mereka yang berumahtangga. Kesilapan membeli rumah dikhuatri menjadi sebab kepada satu-satunya rumah yang kita MAMPU MILIK dan menjadi penghalang untuk seseorang mengambil peluang yang lebih baik bagi diri dan juga keluarga pada masa hadapan. 

Related Posts

'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak