Ehe...Gaji Awal |
TEMA 'PINK'
Sememangnya sungguh terasa perbezaan yang ketara bagi kami yang menyambut Ramadhan di Sendai, Jepun ini. Kebiasaannya semasa di tanahair, minggu pertama Ramadhan ini saya sendiri sudah membeli baju raya dengan tema sedondon buat kami sekeluarga. Tahun lepas kami memilih warna merah jambu (pink) dan pada tahun ini baju yang sama akan digunakan di pagi hari raya nanti. Sudah tentu suasana bazar Ramadhan bagi membeli juadah berbuka puasa dan membeli-belah di pasaraya dengan dendangan lagu-lagu raya pastinya tidak kelihatan dan dapat didengari di sini. Itulah suasana dan perbezaan yang ketara bagi mereka yang akan atau pernah menghadapi serta menyambut Ramadhan dan juga Aidilfitri di luar negara. Suasana di tanahair bersama sanak keluarga pastinya akan dirindui.
TERIMA GAJI
5 STRATEGI 'RAYA SELEPAS RAYA'
Terdapat 5 Strategi yang boleh diamalkan bagi memastikan anda tetap raya selepas raya dan tidak 'kekeringan' duit belanja khususnya selepas menerima gaji awal serta setelah bercuti lama untuk raya nanti. Antaranya:
STRATEGI #1 - BERSYUKURLAH
Pertamanya bersyukur kita ke hadrat-Nya kerana masih mempunyai pekerjaan dan tidak perlu terlalu pening untuk memikirkan sumber pendapatan bagi membeli keperluan menjelang raya. Bersyukurlah kerana masih ramai di luar sana masih 'samar-samar' membayangkan suasana raya berikutan hasil jualan yang tidak memberangsangkan. Masih ramai juga di luar sana yang 'tercari-cari' sumber untuk berbelanja kerana terpalit kesan kehilangan pekerjaan atau diberhentikan. Masih ramai juga di luar sana yang masih lagi 'bertatih' kerana berada di fasa percubaan setelah berhijrah dari dunia 'makan gaji' kepada bekerja sendiri ataupun menjadi usahawan. Juga masih ramai lagi di luar sana yang mengharapkan ihsan dan bantuan orang lain untuk menceriakan suasana raya yang bakal menjelang tiba. Oleh itu bersyukur dan usahlah berkeluh-kesah sekiranya gaji bakal diterima lebih awal atau agak lewat. Pastikan juga mereka khususnya yang berada dalam kelompok 'makan gaji' tidak menghadapi situasi yang pernah saya kongsikan dalam 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP'.
STRATEGI #2 - UJIAN ATAU RAHMAT
Tukar persepsi terhadap gaji awal bahawa ia adalah satu 'UJIAN' dan bukannya 'RAHMAT' untuk anda menghabiskan gaji awal dengan berjoli sakan. Apabila dianggap sebagai 'ujian', maka seseorang akan beringat untuk membuat perancangan dengan teliti terhadap gaji-gaji yang bakal di terima pada bulan-bulan berikutnya. Kealpaan dan sikap sambil lewa dikhuatiri mengundang masalah di kemudian hari. Oleh itu, sentiasalah beringat bahawa gaji awal boleh menjadi ujian untuk kita sentiasa beringat dan berhati-hati dalam berbelanja.
STRATEGI #3 - BUAT SENARAI
Bagi memastikan anda tidak terlebih belanja membeli barang-barang keperluan menjelang raya nanti dicadangkan untuk membuat senarai perbelanjaan. Berbincanglah dengan ahli keluarga senarai barang-barang yang difikirkan sangat-sangat diperlukan. Barangkali masih ada barang-barang pada tahun lepas yang masih boleh digunakan semula. Sebagai contoh, songkok, butang baju Melayu, samping atau barangkali kain-kain pelikat yang tidak dibuka bungkusan masih tersimpan rapi di dalam almari dek kerana terlupa untuk dijengok. Senarai keperluan awal ini juga mampu mengelakkan kita daripada terbeli barang-barang yang hanya bersifat kemahuan dan bukannya keperluan. Sentiasalah beringat, "biar papa, asalkan bergaya" bukanlah cara hidup orang yang bijak. Janganlah juga kita terpalit dengan 5 PETANDA KAYA TIDAK BERHARTA.
STRATEGI #4 - UTAMAKAN HUTANG
Tidak kiralah sama ada anda ingin berbelanja awal apabila mendapat gaji pada 25 Jun nanti atau mengatur strategi membeli-belah di saat akhir apabila menerima gaji pada 9 Julai kelak perlu meletakkan PEMBAYARAN HUTANG sebagai prioriti yang paling utama. Anda boleh membayar hutang secara lebih awal (advanced) atau kekal membayar mengikut kaedah biasa. Bagi mereka yang khuatir terguna atau terlebih berbelanja sebaiknya membuat pembayaran lebih awal bagi hutang-hutang untuk bulan Jun dan Julai. Sebaiknya juga dibuat pengasingan terlebih dahulu untuk segala pembayaran hutang hakiki yang semestinya perlu dilangsaikan bagi setiap bulan. Elakkan daripada membuat hutang semata-mata untuk kelihatan gah di hari raya ini. Diharapkan juga perkongsian 'HUTANG MAHU' ATAU 'HUTANG PERLU' juga boleh dijadikan panduan.
STRATEGI #5 - BONUS DI LUAR BAJET
Manakala bagi mereka yang bakal menerima bonus daripada pihak majikan anggaplah bonus tersebut sebagai 'DI LUAR BAJET' dan bersyukurlah serta gunakanlah sebaiknya. Sebagai contoh, sebahagian bonus boleh dijadikan sebagai tambahan simpanan dan sebahagian yang lain digunakan untuk menampung kos perjalanan apabila pulang ke kampung kelak. Bagi mereka yang sering menjadikan alasan 'ketidakcukupan' untuk memberi sumbangan bulanan kepada kedua orang tua di kampung barangkali sedikit daripada duit bonus tersebut boleh 'diniatkan' untuk diberikan kepada mereka. Percayalah pastinya ada keberkatan rezeki di sebalik pemberian yang sedikit itu.
SELEPAS RAYA
Berdasarkan 5 strategi tersebut, bersamalah kita menguruskan gaji-gaji yang bakal diperolehi dengan sebaiknya. Sentiasa ingatkan diri sememangnya kegembiraan di hari raya itu penting khususnya bagi meraikan Syawal atas kemenangan mengharungi medan Ramadhan selama sebulan. Namun. perlu juga diingatkan kegembiraan selepas menyambut hari raya juga lebih penting kerana tempohnya lebih lama. Biarlah hari-hari beraya dan janganlah hanya ceria di hari raya tetapi hiba selepas raya. Lebih malang lagi apabila tertekan dek kerana menanti gaji yang hanya akan masuk pada 25 Ogos 2015 kelak.
Salam Ramadhan dan semoga bermanfaat.
Salam Ramadhan dan semoga bermanfaat.
5 Strategi 'Raya Selepas Raya'
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsPerkongsian yang menarik. Terima kasih kerana ingatkan saya.
ReplyTerima kasih juga kerana sudi singgah di blog saya ini.
Reply