Friday, June 5, 2015

5 Mitos 'Simpanan' Perlu Jauhi





SIMPANAN

Saya ada menerima komen daripada seorang 'bekas pelajar' di perkongsian 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP'Saya tidak pasti Firdaus yang mana satu kerana sepanjang pengalaman saya mengajar hampir 10 tahun ramai kalangan pelajar saya yang bernama Firdaus. Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada Firdaus kerana sudi singgah dan memberi komen. Saya secara peribadi sangat hargai dan semoga usaha Firdaus dan mereka yang lain untuk keluar daripada zon 'Gaji Tak Cukup-Cukup' berjaya dan dipermudahkan olehNya.

SIMPANAN DAN PINJAMAN

Secara peribadi, saya sekadar ingin berkongsi pengalaman, ilmu yang sedikit di samping saling berpesan untuk kebaikan. Jika ia berguna dan bermanfaat, semoga menjadi ganjaran yang baik dan menjadi bekalan di SANA nanti. Secara umum, kita sentiasa terdedah dan diingatkan untuk membuat pinjaman. Sebagai contoh, terlalu mudah untuk kita melihat iklan-iklan di tepi jalan, menerima kad-kad pemberi hutang di peti surat rumah dan malahan e-mail kita juga tidak lekang dengan tawaran daripada pelbagai institusi kewangan yang menawarkan pinjaman. 

IKLAN 'SIMPANAN'

Cuba tanya dalam diri, berapa kerap kita terjumpa dengan 'iklan-iklan' yang mengingatkan kita untuk membuat simpanan? Berapa ramai juga yang mengingatkan kita untuk menyediakan 'Dana Kecemasan' sekurang-kurangnya 6 bulan? Pastinya bilangan yang mengingatkan kita berkaitan simpanan, berjimat, dana kecemasan terlalu sedikit jika dibanding dengan iklan-iklan menawarkan pinjaman atau lebih dikenali sebagai HUTANG! Atas sebab itulah boleh dikatakan "pinjaman dan hutang itu PASTI, membayar semula hutang itu BELUM PASTI". Sebagai peringatan buat diri sendiri, saya titipkan perkongsian 'HUTANG MAHU' atau 'HUTANG PERLU' bagi memastikan tidak berterusan membina hutang. Bagi mereka yang berkeluarga seperti saya, perkongsian 'BINA HUTANG' VS 'BINA KELUARGA' boleh juga dijadikan inspirasi. 

5 MITOS 'SIMPANAN' 



Berbalik kepada komen Firdaus sebelum ini, saya tertarik dengan ayat beliau yang seakan tidak percaya bahawa beliau juga boleh membuat simpanan. Ini kerana, ramai di kalangan kita yang telah sebati dengan mitos atau kepercayaan karut berkaitan membuat simpanan. Terdapat 5 MITOS yang biasanya dikenal-pasti. Antaranya:

MITOS #1 - SIMPAN DUIT UNTUK GUNA

Sekiranya kita masih terperangkap dengan kepercayaan karut bahawa duit yang disimpan adalah untuk digunakan. Maka, sampai bila-bila duit simpanan kita tidak akan bertambah. Ini kerana, kita sendiri percaya bahawa duit itu tidak akan bertahan lama dan akan digunakan kelak. Cuba ubah pemikiran ini ke arah 'SIMPAN DAN LUPAKAN'. Anda lupa berapa banyak anda mempunyai simpanan, namun tak lupa untuk berterusan menambah simpanan pada setiap bulan. Barangkali perkongsian 5 CARA SIMPANAN 'TAK TERUSIK' boleh juga dijadikan panduan. 

MITOS #2 - SIMPANAN DUIT UNTUK MUSIBAH

Tidak dinafikan ramai penulis-penulis buku dan mereka yang pakar dalam pengurusan kewangan peribadi mencadangkan untuk setiap orang harus mempunyai 'Dana Kecemasan' yang boleh digunakan di kala di timpa musibah. Bagi saya 'Dana Kecemasan' mengambarkan 'ketenangan' di kala berlaku kecemasan bukannya bersedia untuk musibah. Apabila seseorang meletakkan kepercayaan karut bahawa simpanan sebagai persediaan musibah ia sedikit sebanyak membawa pemikiran negatif dalam diri. Seseorang itu akan merasa gelisah kerana sering berfikir dan khuatir akan di landa musibah. Seharusnya, lagi banyak 'Simpanan' dan 'Dana Kecemasan' semakin 'TENANG DAN MENDAMAIKAN' pemikiran seseorang di masa hadapan. Konsep musibah biasanya di lindungi melalui TAKAFUL. 

MITOS #3- DUIT TAK CUKUP, TAK BOLEH SIMPAN

Sepertimana yang pernah saya kongsikan sebelum ini dalam 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP' ramai yang merasakan gaji bulanan yang diperolehi tidak mencukupi. Jika Firdaus boleh membuat simpanan setelah membuang kepercayaan karut bahawa 'duit gaji sentiasa tidak cukup dan tidak boleh membuat simpanan' kepada percaya bahawa SEMUA ORANG MAMPU MEMBUAT SIMPANAN, maka tiada lagi alasan bahawa kita langsung tiada simpanan. Adalah sangat rugi apabila kita penat berkerja seharian, tetapi langsung tiada simpanan. Sangat rugi jugalah mereka yang berkerja bertahun-tahun, hidup 'sangat bergaya' tetapi langsung juga tiada simpanan. Mereka ini boleh diibaratkan seperti 5 PETANDA KAYA TAK BERHARTA.

MITOS #4- BELANJA DULU, BARU SIMPAN

Belanja dulu baru simpan merupakan kepercayaan karut yang paling mendapat sambutan. Percayalah, selagi kepercayaan karut ini tidak diubah selagi itulah ia menjadi penghalang untuk membuat simpanan. Ubah pemikiran kepada SIMPAN DULU, BARU BELANJA! Jika anda dapat membuang kepercayaan karut tersebut, percayalah anda telah melangkah ke arah untuk mulai membuat simpanan dan seterusnya menambah simpanan.

MITOS #5- BANYAK SIMPAN, LAGI BAGUS

Akhir sekali, mitos BANYAK SIMPAN, LAGI BAGUS juga merupakan pemikiran yang kurang baik dalam pengurusan kewangan. Ini kerana, jika seseorang berterusan beranggapan anda berada dalam zon yang selamat kerana banyak menyimpan, ia akhirnya akan menjadi penghalang besar bagi anda untuk bertambah kaya dan mengembangkan harta. Anda sepatutnya berubah kepada SIMPAN SETAHUN, MELABUR YANG LEBIH. Setahun simpanan dilihat persediaan yang sangat baik dalam menuju destinasi yang dinamakan 'tenang dan mendamaikan', Ini kerana, dengan melibatkan diri dalam pelaburan seperti hartanah, bursa saham, emas dan pelbagai lagi akan meningkatkan lagi kekayaan dan mengembangkan harta yang dimiliki. Tanpa pelaburan, duit yang disimpan dan tidak dilaburkan akan mengalami situasi statik atau tidak berubah. Peringkat permulaan bagi memahami konsep pelaburan, buatlah pelaburan dalam ILMU terlebih dahulu. Melalui ILMU, kita berupaya melihat peluang-peluang pelaburan dan mengurangkan risiko dalam pelaburan. 

Akhir kata, perubahan pemikiran yang bebas daripada segala mitos atau kepercayaan karut berkaitan SIMPANAN dilihat sangat penting dalam aspek pengurusan kewangan. Ini kerana, perubahan pemikiran sangat berkait rapat terhadap perubahan sikap. 

Semoga bermanfaat!

Related Posts

5 Mitos 'Simpanan' Perlu Jauhi
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak