Tuesday, June 16, 2015

5 Rahsia 'Kaya Dalam Senyap'



PENGISIAN DI JEPUN 

Berada di perantauan khususnya di luar negara memerlukan kita mencari pengisian bagi mengisi 'kekosongan'. Alhamdullilah sepanjang berada di Sendai ini banyak pengisian yang boleh diikuti anjuran pelbagai pihak. Sebagai contoh, masjid di Sendai (juga dikenali sebagai ICCI) dan komuniti Islam di sini juga aktif menganjur program-program pengisian. Oleh kerana kesibukan dengan kerja-kerja sebagai pelajar, saya secara peribadi sangat menggalakkan isteri dan anak-anak untuk melibatkan diri dalam program-program ini agar tidak terasa 'jauh' dengan persekitaran islamiah. 

Selain itu, terdapat juga pengisian secara on-line yang melibatkan ibu-ibu di seluruh Jepun turut aktif diadakan pada setiap minggu. Syukur ke hadrat-Nya kerana dengan perancangan-Nya kami diberi peluang untuk berada di bumi Sendai ini. 

WARGA ASING DI JEPUN

Di sini mudah kelihatan warga asing (gaijin) yang menjalankan perniagaan khususnya yang berkaitan dengan menjual bahan mentah dan juga restoran makanan halal. Sebagai contoh, berhampiran rumah kami terdapat warga Bangladesh yang menjual bahan mentah dan membuka restoran makanan halal. Manakala warga Pakistan kebanyakan mereka terlibat dalam perniagaan menjual dan lelongan kenderaan. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, kebanyakan warga Pakistan yang menjalankan perniagaan di sini saya boleh gelarkan mereka sebagai 'Kaya Dalam Senyap' (Rich in Silent). 

5 RAHSIA KAYA

Berdasarkan pengalaman berbual, pemerhatian dan bergaul bersama dengan usahawan Muslim ini, saya simpulkan terdapat 5 RAHSIA mereka ini menjadi 'Kaya Dalam Senyap'.  

RAHSIA #1 - KAYA DENGAN ILMU 


Majoriti usahawan Pakistan di sini mereka merupakan golongan terpelajar dan berilmu. Mereka pernah bekerja dalam pelbagai bidang sebelum datang ke sini. Mereka juga pernah jatuh dan bangun dalam perniagaan serta mengakui bukanlah mudah untuk berada dalam dunia perniagaan di negara matahari terbit ini. Pengalaman yang mereka miliki inilah merupakan ILMU DUNIAWI yang paling berguna untuk mereka menghadapi mehnah dan trabulasi dunia perniagaan di sini. 

Bukan itu sahaja, terdapat sebuah masjid yang terletak hampir 1 jam lebih perjalanan dari rumah kami turut aktif dengan pengisian ILMU UKHRAWI dan ramai warga Pakistan yang hadir khususnya majlis yang dianjurkan pada setiap hari Ahad. Pelbagai pengisian dan tazkirah dalam bahasa urdu disampaikan dan kami juga turut dijemput untuk ke majlis tersebut. Apabila tiba, kami ditempatkan dalam satu kumpulan kecil bersama rakan-rakan daripada Indonesia untuk mendengar pengisian ILMU dalam bahasa yang kami semua fahami. 

RAHSIA #2 - AKHIRAT DI HATI, DUNIA DI GENGGAMAN 



Isteri saya kini mengikuti program belajar Bahasa Jepun dan juga kelas belajar agama bersama komuniti Islam di sini. Program ini dirangka khusus bagi golongan muslimat dan juga kanak-kanak. MasyaAllah, rupa-rupanya penganjur program ini merupakan muslimah warga Jepun yang telah memeluk Islam dan kini berkahwin dengan warga Pakistan. Saya dimaklumkan, suami muslimah ini merupakan ahli perniagaan di Jepun. Program-program yang dianjurkan untuk komuniti Islam disini ditaja sepenuhnya oleh muslimah Jepun tersebut dan segala kos makan-minum ditanggung serta disediakan olehnya. Begitu juga masjid yang saya kata dalam Rahsia #1 juga dibina di atas tanah yang dibeli oleh usahawan Pakistan. Inilah yang saya katakan 'AKHIRAT DI HATI, DUNIA DI GENGGAMAN'. 

RAHSIA #3 - HIDUP DI BAWAH KEMAMPUAN

Saya masih ingat pesanan usahawan Pakistan ini semasa perjalanan kami ke pusat lelongan kenderaan. Banyak yang diceritakan dan saya tertarik dengan nasihat beliau agar tahu menguruskan kewangan. Walaupun sebagai penjual kereta lelong beliau turut menjual kereta mewah tetapi beliau hanya pilih untuk hidup berserdahana. Rumah yang beliau tinggal bersama keluarganya terletak bersebelahan masjid tersebut. Saya pernah kongsikan nasihat beliau sebelum ini di TIP BERBELANJA SEPUASNYA. Perkongsian berkaitan HIDUP DI BAWAH KEMAMPUAN pernah juga saya kongsikan dalam 6 SEBAB GAJI TAK 'CUKUP-CUKUP'. 

RAHSIA #4 - PELBAGAIKAN SIMPANAN & PELABURAN

Terdapat usahawan Muslim ini yang telah menjadi penduduk tetap disini dan berkahwin dengan warga tempatan Jepun. Hasil keuntungan yang diperolehi dalam perniagaan digunakan untuk mengembangkan perniagaan, dana pendidikan anak-anak, perlindungan insurans/ kesihatan, pelaburan jangka masa panjang dan pelbagai lagi. Malah, terdapat mereka yang membeli tanah yang besar untuk dijadikan masjid serta tempat meletakkan kenderaan-kenderaan yang dibeli melalui lelongan kereta. Saya dimaklumkan sendiri oleh usahawan Muslim ini bahawa tanah yang dibeli beliau boleh menempatkan lebih 500 buah kenderaan! Terbukti, duit yang diperolehi bukan hanya untuk disimpan tetapi mempunyai kepelbagaian dalam bentuk simpanan dan pelaburan. Perkongsian LEBIH BAIK 'LABUR' DARIPADA 'LEBUR' barangkali juga boleh dijadikan panduan. 

RAHSIA #5 - BINA JARINGAN




Perjumpaan yang kerap di kalangan mereka juga saya lihat merupakan Rahsia Besar untuk terus mampu bertahan dan mengembang perniagaan mereka di Jepun. Ukhuwah yang terbina menjadikan mereka saling tolong-menolong dalam memberikan sokongan dalam perniagaan dan cabaran kehidupan di sini. Ada dikalangan rakan kami yang fasih berbahasa Jepun turut dipelawa untuk bersama mengembangkan perniagaan keretanya malah beliau bersedia untuk mengajar rakan kami jika berminat untuk menjalankan perniagaan sendiri. Jaringan dalam perniagaan dengan mempamerkan akhlak yang mulia dalam bermuamalah memberikan kepercayaan dalam menjana kekayaan di bumi yang asing ini. 

Diharapkan perkongsian 5 RAHSIA 'KAYA DALAM SENYAP' bermanfaat dan boleh dijadikan pengajaran serta panduan. Kejayaan mereka di sini boleh diibaratkan seperti "resmi padi, makin berisi semakin tunduk". 

Sayonara! Matane... (sampai jumpa lagi).   

Related Posts

5 Rahsia 'Kaya Dalam Senyap'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak