1 Dinar Emas |
PELABURAN
Ramai yang ingin menjadikan emas sebagai pelaburan bagi matlamat kewangan pada masa hadapan. Saya secara peribadi menggunakan emas sebagai salah satu pendekatan untuk saya mendapatkan modal bagi pelaburan hartanah. Sebagai contoh, untuk membeli sebuah apartment bagi tujuan pelaburan bernilai RM150,000 - RM200,000 deposit yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya 10% daripada nilai hartanah tersebut. Jumlah tunai yang diperlukan ditangan pastinya melebihi 10% kerana kos-kos lain dalam pembelian sesebuah hartanah perlu diambil kira. Sebagai contoh, kos guaman, takaful, duti setem dan penilaian. Tidak termasuk lagi dengan kos untuk membaiki rumah tersebut sebelum bersedia disewakan bagi matlamat menjana 'pendapatan pasif' setiap bulan melalui penyewaan hartanah. Secara umum, pembelian rumah bagi tujuan pelaburan juga masih memerlukan tunai di tangan yang agak banyak sebelum hartanah tersebut bersedia untuk dijadikan pelaburan jangka panjang.
SYARIKAT MENJUAL EMAS
Terdapat banyak pilihan syarikat yang menawarkan konsep simpanan dan pelaburan emas. Tidak kurang juga, saya yakin ramai juga diantara kita yang pernah menerima promosi-promosi pembelian, simpanan dan pelaburan emas secara peribadi daripada rakan-rakan di media-media sosial. Antara syarikat-syarikat tersebut seperti:
- Sri Ayu
- Public Gold
- Power Gold
- Amsyiq Gold
- Al-Rajhi Bank
- KFH Malaysia
- Kelantan Gold
- Kijang Emas (Maybank)
- Gold Silver Resources (GSR)
- Golden Misk Sdn. Bhd (GCP)
EMAS FIZIKAL, AKAUN EMAS DAN SKIM CEPAT KAYA EMAS
Secara mudah terdapat 3 jenis simpanan/ pelaburan emas:
#1 - Emas Fizikal
Secara ringkas, pelaburan emas fizikal merupakan situasi dimana kita memiliki EMAS FIZIKAL YANG TULEN ditangan. Melalui cara ini seseorang itu simpan sendiri emas tersebut atau dimana-mana tempat yang selamat. Apabila sudah tiba masa dan memerlukan wang tunai bagi keperluan matlamat kewangan yang lain seseorang itu akan menjualnya semula. Emas ditangan, maka mudahlah untuk membuat transaksi penjualan semula dikala tiba masanya. Secara peribadi lebih mengemari kaedah ini kerana saya menguasai sepenuhnya emas tersebut.
#2 - Akaun Emas
Akaun Emas atau juga dikenali sebagai Gold Investment Account (GIA). Sebagai contoh, KFH Malaysia dan Al-Rajhi Bank turut menawarkan produk seperti ini. Namun, saya sangat menggalakkan khususnya umat Islam sebelum melibatkan diri dalam akuan emas ini seharusnya membaca tulisan Ustaz Dr. Zaharrudin dalam ulasan beliau berkaitan Hukum Akaun Pelaburan Emas di Bank Malaysia. Menurut beliau, kebanyakan akuan pelaburan emas di Malaysia masih belum patuh syariah. Oleh itu, tulisan dan kupasan beliau dilihat sangat baik untuk memberikan kefahaman kepada kita terhadap GIA ini.
#3 - Skim Cepat Kaya Emas
Secara umum Skim Cepat Kaya Emas lebih mirip memberikan pulangan daripada pelaburan emas sama ada secara bulanan, setiap 6 bulan atau setiap tahun. Melalui skim ini, emas tidak berada ditangan tetapi dimaklumkan duit pelaburan di gunakan dalam pelaburan emas. Saya tiada pengalaman dapat skim-skim seperti ini. Namun, saya lebih cenderung menggunakan Emas Fizikal atau Akaun Emas bagi tujuan simpanan/ pelaburan emas.
7 PERSOALAN UTAMA
Sebelum melibatkan diri dengan mana-mana simpanan/ pelaburan, sebagai panduan boleh membaca perkongsian sebelum ini dalam 7 LANGKAH BIJAK SEBELUM MENYIMPAN EMAS. Umumnya, terdapat juga 7 persoalan utama yang perlu dijawab sebelum seseorang membuat simpanan/ pelaburan emas di mana-mana syarikat. Persoalan-persoalan ini bagi memastikan seseorang itu benar-benar memahami konsep membuat simpanan/ pelaburan emas.
PERSOALAN #1 - Adakah Syarikat Berdaftar di SSM?
Ini bagi memastikan syarikat tersebut benar-benar berdaftar dan menjalankan perniagaan secara sah. Secara mudah boleh layari laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendapatkan maklumat berkaitan syarikat tersebut. Dapatkan juga maklumat berkaitan pemilik syarikat tersebut. Sering berlaku, lokasi dan pemilik sebenar syarikat tidak diketahui dengan jelas. Jika ia meragukan sebaiknya pilihlah syarikat yang benar-benar yakin walaupun syarikat tersebut tidak menjanjikan pulangan yang terlalu lumayan.
PERSOALAN #2 - Adakah Syarikat Berpengalaman?
Sila lihat latar-belakang syarikat, pemilik dan perkembangan syarikat tersebut. Adakah syarikat ini telah lama dalam industri emas ini dan bagaimana penerimaan masyarakat pula terhadap produk-produk yang ditawarkan? Sebagai contoh, kita boleh melihat liputan berita berkaitan syarikat tersebut di akhbar-akhbar, laman web syarikat dan melalui media massa yang lain. Sekurang-kurangnya kita benar-benar mengetahui keupayaan sesebuah syarikat sebelum kita membuat sebarang simpanan/ perlaburan.
PERSOALAN #3 - Adakah Mempunyai Cawangan Yang Banyak?
Bagi memudahkan urusan pembelian atau menjual semula emas yang dimiliki, sebaiknya kita mendapatkan maklumat berkaitan cawangan-cawangan yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Syarikat yang kukuh umumnya mempunyai banyak cawangan yang bukan hanya di seluruh Malaysia malah lebih baik jika syarikat juga mempunyai cawangan di luar negara. Adakah berbaloi semata-mata untuk membeli emas dan menjual emas kita perlu untuk berjalan atau memandu jauh?
PERSOALAN #4 - Adakah Harga Ditawarkan Rendah?
Bagi menjawab persoalan ini, sebaiknya juga dapatkan maklumat terkini harga yang ditawarkan di laman web syarikat. Jika ingin membuat perbandingan dan melihat harga semasa yang ditawarkan oleh kedai emas, anda boleh lihat di Federation of Goldsmiths and Jewellers Associations of Malaysia (FGJAM). Perlu diingatkan harga yang rendah juga mungkin disebabkan hanya memaparkan harga semasa dan tidak termasuk kos perkhidmatan dan caj upah emas. Pastikan harga yang dipaparkan telah termasuk segala kos-kos lain.
PERSOALAN #5 - Adakah susut nilai (spread value) rendah?
Pastikan juga susut nilai (spread value) juga tidak tinggi berbanding syarikat lain. Harga emas rendah dan susut nilai yang tinggi akan merugikan pelabur-pelabur emas. Bahasa yang mudah, lagi rendah susut nilai (spread value) semakin baik dan menguntungkan pembeli. Ini memerlukan sedikit pengiraan bagi membuat perbandingan. Sebagai contoh:
Berdasarkan website harga yang PG jual kepada pelanggan mereka adalah RM636. Manakala, harga yang PG beli sekiranya kita menjual semula kepada PG adalah RM585. Ini bermakna susut nilai (spread value) adalah sebanyak RM51 atau bersamaan 8% atas harga PG jual. Bahasa yang mudah, (spread value) tersebut bermaksud jika harga emas naik 10%, pembeli 1 Dinar PG masih boleh untung 2% (10%-8%).
Harga Emas Public Gold (PG) pada 25 Mei 2015 jam 11:00 pagi |
Terdapat syarikat yang mengenakan spread sehingga 10%-15% dan jika pembeli. Jika tidak membuat perbandingan terlebih dahulu, dikhuatiri pembelian 1 Dinar (perbandingan yang sama) tersebut akan mengalami kerugian. Sebagai contoh, sekiranya spead value 10% dan harga emas naik 10%, maka langsung tiada untung kepada pembeli. Lagi rendah spread value adalah semakin baik. Ini bermakna, harga emas yang tinggi tidak semestinya menguntungkan pembeli jika spread value juga tinggi.
PERSOALAN #6 - Adakah stok/ pembelian emas terhad?
Pastikan juga stok/ pembelian bagi emas tersebut tidak terhad dan boleh dibeli secara konsisten. Umumnya, apabila harga emas turun mendadak, ramai pelabur atau mereka yang menyimpan emas akan membeli dalam kuantiti yang banyak. Jika syarikat tidak berupaya menyediakan kuantiti yang banyak dikala pembeli memerlukan, maka ia juga akan merugikan mereka yang berminat untuk membuat pelaburan emas. Pastikan syarikat tersebut kukuh dan mampu untuk menyediakan stok yang banyak pada bila-bila masa.
PERSOALAN #7 - Adakah syarikat memberikan jaminan beli balik yang tidak cerewet?
Terdapat situasi syarikat yang tidak akan membeli semula atau mengenakan spread di antara 20-25% jika emas yang ingin dijual telah dibuka bungkusan (seal), calar, kemek, bergaris atau rosak. Pastikan syarikat tersebut membeli emas tersebut dalam apa jua keadaan emas yang ingin dijual. Terdapat juga situasi dimana pembelian boleh dibuat daripada mana-mana wakil, namun untuk proses menjual semula syarikat menetapkan syarat pembeli perlu berurusan hanya di syarikat induk yang mungkin berada di negeri lain atau jauh dari lokasi pembeli. Ini akan menyukarkan pembeli untuk menjual semula dan transaksi urusan yang cerewet ini kadang-kala menjadikan pembeli seakan 'hilang sabar'.
Perlu difahami, kebiasaannya emas yang ingin dipajak sama ada bagi tujuan mendapatkan tunai atau mengoptimumkan strategi pelaburan akan dibuka bungkusan (seal) emas tersebut. Ini bagi memastikan emas tersebut benar-benar tulen dan perlu melalui proses timbangan. Oleh itu, pastikan emas tersebut akan dibeli semula oleh syarikat yang menjual dan spread value yang ditawarkan adalah rendah.
PERSOALAN #7 - Adakah syarikat memberikan jaminan beli balik yang tidak cerewet?
Keadaan Emas Yang Kemek dan Calar |
Plastik bungkusan emas (seal) biasanya dibuka sekiranya digadaikan bagi ujian ketulenan dan proses timbangan |
Public Gold (PG) juga mengenakan spread value 10-15% bagi emas yang telah dibuka |
Apabila 7 persoalan ini dapat dijawab oleh bakal pembeli, saya yakin keputusan seseorang untuk membuat simpanan/ pelaburan merupakan keputusan yang meyakinkan. Dapatkan juga maklumat dan ILMU simpanan/ pelaburan emas daripada buku-buku dan sumber-sumber lain. Sebab itulah pelaburan yang terbaik adalah PELABURAN ILMU. Sebaiknya dapatkan juga guru atau mentor yang boleh membimbing dan memberikan nasihat berkaitan simpanan/ pelaburan emas ini.
Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat. Salam hormat.
7 Persoalan Sebelum Emas Jadi Simpanan/ Pelaburan
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsAssalamualaikum encik isma, nice writing indeed. Sgt membantu sy yg berhasrat nk beli emas utk pelaburan jgk mse panjang. Thank utk ilmu. Fyi, sy siti salwa basar student encik isma sesi akademik 2011/2012 usim utk subject entrepreneurship. Sy sgt suke penulisan blog encik isma, doakan sy utk sukses dimasa hadapan,
ReplyTerima kasih Siti Salwa Basar aka Hebat Arsenal kerana sudi singgah di blog ini. Diharapkan sangat agar Siti Salwa tidak terjebak dengan mana-mana skim pelaburan emas yang 'cepat lingkup'. Pastikan simpanan emas dapat emas tulen. Terima kasih juga kerana masih mengenali saya dan doa Siti Salwa. Saya turut doakan Siti Salwa berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
Reply