Kenali 8 Ciri 'Perangkap Pelaburan Emas' |
HOBI BARU
Ramai yang berminat untuk memulakan simpanan atau pelaburan emas secara kecil-kecilan bagi memastikan baki duit di tangan tidak terbelanja atau terjebak dengan penyakit 'gatal tangan'. Ada yang melihat simpanan emas boleh dijadikan 'hobi' atau mengumpul koleksi baru yang boleh menjana keuntungan pada masa hadapan. Ramai juga yang menyedari kesan inflasi memerlukan kepelbagaian dalam pelaburan seperti melibatkan diri dalam pelaburan hartanah dan juga emas. Bagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam simpanan/pelaburan emas dicadangkan untuk membaca perkongsian saya di 7 LANGKAH BIJAK SEBELUM MENYIMPAN EMAS.
SYILING DAN KEPINGAN EMAS
Secara peribadi saya melihat mengumpul emas fizikal lebih kepada 'hobi' baru kerana suka melihat syiling dan kepingan emas bertambah dari semasa ke semasa. Sehingga hari ini, saya masih belum membuat sebarang tindakan atau memulakan langkah dalam pelaburan emas daripada emas yang saya miliki. Ini kerana, saya menggunakan EMAS FIZIKAL sebagai salah satu pendekatan SIMPANAN dan menghalang duit lebihan saya terbelanja dengan perkara yang sia-sia. Pada masa hadapan saya berhasrat untuk menukarkan kesemua syiling dan kepingan emas yang saya miliki untuk dijadikan modal bagi pelaburan hartanah pula. Atas sebab itulah, selalu saya ingatkan diri untuk membuat simpanan EMAS FIZIKAL TULEN dan katakan TIDAK kepada mana-mana 'SKIM PELABURAN/CEPAT KAYA EMAS'. Bagi saya, kesemua skim-skim ini bak 'PERANGKAP EMAS' yang menjadikan logam emas pula sebagai 'nilai dagangan' untuk tujuan pelaburan.
Pastikan Emas Fizikal Baru Beli |
8 CIRI 'PERANGKAP EMAS'
Secara umum terdapat 8 CIRI 'PERANGKAP EMAS' yang perlu dijauhi setiap orang bagi mengelakkan duit mereka lebur begitu sahaja. Antaranya:
CIRI #1 - UNTUNG TINGGI
'Perangkap Emas' biasanya akan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi. Kadang-kala peringkat awal lagi kelihatan tidak logik dengan menjanjikan keuntungan sehingga 35% setahun. Bahkan, boleh turut memberikan jaminan duit pelaburan tidak akan terusik (tiada risiko) kerana pelaburan adalah dijamin oleh pihak syarikat. Perlu disedari dalam mana-mana pelaburan termasuklah emas, tiada siapa yang boleh menjanjikan keuntungan yang tinggi dan tiada risiko!
CIRI #2 - EMAS TIADA DITANGAN
Elakkan pendekatan 'perangkap emas' yang mana pelabur tidak mendapat emas fizikal. Pelabur diberikan alasan, emas yang dibeli akan dilaburkan dalam pasaran emas dunia. Sebagai pulangan, pendapatan bulanan akan diberikan kepada setiap para pelabur. Pastikan juga hanya emas TULEN yang dipegang di tangan.
CIRI #3 - PULANGAN BERTERUSAN
Kebiasaannya para pelabur bagi skim 'perangkap emas' juga akan dijanjikan pendapatan atau pulangan yang berterusan. Kepercayaan diberikan sepenuhnya kepada syarikat tersebut bagi menjalankan pelaburan emas. Seperti biasa, hasil pulangan akan dimasukkan sama ada setiap bulan, setiap 3 bulan atau setiap 6 bulan secara konsisten. Pada satu masa dan ketika, tiba-tiba syarikat akan mulai menggunakan pelbagai alasan untuk menangguh pemberian pulangan kepada para pelabur atau secara tiba-tiba syarikat 'dibekukan' atau 'ghaib' tanpa khabar berita.
CIRI #4- SYARIKAT SIMPAN EMAS
Syarikat 'perangkap emas' akan meletakkan syarat untuk mendapat pulangan emas yang berterusan dan tinggi perlu menyerahkan kesemua atau sebahagian emas fizikal yang dimiliki kepada pihak syarikat untuk disimpan atau dilaburkan. Sebaiknya hanya pilihan syarikat yang menawarkan EMAS FUZIKAL TULEN ditangan dan urus niaga emas berdasarkan harga semasa.
CIRI #5- HARGA EMAS MELAMBUNG TINGGI
Syarikat 'perangkap emas' menjanjikan pelaburan tiada risiko dan pulangan yang berterusan yang tinggi dengan alasan harga emas sentiasa melabung tinggi. Perlu disedari pelaburan emas tetap ada risiko dan harga pasaran emas sesebuah syarikat juga sangat bergantung kepada harga pasaran emas dunia. Maka jangan mudah terpengaruh dengan istilah 'tiada risiko' dan 'harga emas melambung tinggi'.
CIRI #6 - LEBIH NILAI EMOSI
Jauhi Perangkap Emas |
Syarikat 'perangkap emas' lebih suka memainkan sentimen atau nilai emosi seperti agama, bangsa dan sebagainya. Sebaiknya syarikat menumpukan lebih kepada MENCERDIKKAN para pelabur dengan ILMU daripada hanya menumpukan lebih kepada NILAI/SENTIMEN EMOSI.
CIRI #7 - BONUS DAN TAJAAN
Skim 'Perangkap Emas' juga sering menjanjikan bonus bagi mereka yang berjaya menaja atau membawa lebih ramai orang di bawah mereka. Lebih ramai pelabur di bawah seseorang bererti lebih banyak pulangan atau pendapatan bulanan yang bakal diperolehi. Dikhuatiri pendekatan ini merupakan strategi untuk membuat pusingan wang bagi terus memberikan pulangan dan keuntungan kepada setiap pelabur.
CIRI #8 - TIADA PEMBELIAN TERUS
Bagi memastikan 'orang tengah' sentiasa mendapat untung dan pemilik sebenar syarikat yang menawarkan skim 'perangkap emas' ini tidak kenali, syarikat kebiasaannya tidak menawarkan untuk pembelian emas secara terus. Syarikat akan mengenakan syarat untuk membeli emas hanya daripada 'orang tengah' atau 'agen-agen' yang dilantik sahaja. Hasilnya, para pelabur tidak pernah mengenali pemilik sebenar syarikat dan kesemua transaksi hanya melalui 'orang tengah'. Jika pemilik sebenar syarikat 'menghilangkan diri', maka 'orang tengah' yang akan menjadi mangsa dan akan dicari.
BERHATI-HATI
Akhir kata, perlu disedari dan sentiasa berhati-hati dalam mana-mana Skim Pelaburan/ Cepat Kaya atau saya namakan sebagai 'PERANGKAP EMAS'. Skim-skim ini juga bersifat seperti 'sesumpah' yang boleh berubah mengikut situasi semasa. Mereka boleh menggunakan emas, mata wang, silver, hartanah, dan sebagainya bagi memerangkap bakal pelabur. Semoga perkongsian 8 ciri ini boleh dijadikan panduan untuk tidak terjebak dalam 'PERANGKAP EMAS'.
Kenali 8 Ciri 'Perangkap Pelaburan Emas'
4
/
5
Oleh
Unknown