Sunday, January 31, 2016

Biasiswa KPT: Nasihat Senpai Buat Kouhai

Biasiswa KPT
Biasiswa KPT

BIASISWA KPT

Sebelum pengumuman dan maklumat rasmi berkaitan Biasiswa KPT diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, telah 'viral' dan kedengaran beberapa berita yang kurang enak kemungkinan berlaku penarikan biasiswa pendidikan dan beberapa tajaan yang lain. Disebabkan penyebaran berita yang 'tidak pasti' ini ada yang seakan beremosi sehinggakan kata-kata, jari-jemari dan bait-bait kata ditulis lebih pantas daripada pemikiran yang rasional. Atas sebab itu suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan kita semua untuk menghayati sedalam-dalamnya firmanNya (Al-Hujurat: 6) yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti" 

BIASISWA KPT DITERUSKAN

Setelah pembentangan semakan semula Bajet 2016 diumumkan, Alhamdullilah ramai yang menarik nafas lega akan keputusan ini. Pengumuman rasmi yang dibuat bukan sahaja mengekalkan peruntukan sebelum ini, bahkan turut dimaklumkan terdapat tambahan pelajar tajaan baru bagi tahun 2016 iaitu 5000 orang (MyPhD), 15,000 orang (MyMaster) dan Skim Latihan Akademik IPT (SLAI) seramai 300 orang. Menurut maklumat yang diberikan keseluruhan pelajar yang sedia ada adalah seramai 25,000 orang dan akan bertambah lagi pada tahun 2016. Diharapkan kesemua hampir 23,500 orang yang bakal melanjutkan pengajian pada tahun 2016 ini benar-benar memperolehi dan menggunakan peluang tersebut sebaiknya.

Biasiswa KPT
Biasiswa KPT di teruskan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016

EKONOMI DAN BIASISWA KPT

Ramai sudah maklum, gelombang dan pukulan ombak ekonomi kali ini tiada siapa yang dapat menduga bila surutnya. Atas sebab itu sememangnya tidak dinafikan strategi yang terbaik dalam menghadapi limitasi sumber kewangan dan situasi ekonomi yang mencabar adalah dengan menggunakan pendekatan 'potong dan berhemah'. Sebagai contoh, jika saya tidak mampu untuk membuat tambahan pendapatan, kaedah yang terbaik adalah dengan saya membuat pemotongan perbelanjaan yang tidak perlu dan juga berbelanja secara berhemah. Untuk makluman adik-adik 'junior' (kouhai) yang bakal melanjutkan pengajian, terdapat pelajar-pelajar 'senior' (senpai) yang duit biasiswa mereka dipotong hampir 50% kerana keputusan peperiksaan yang kurang membrangsangkan. Sudah tentu jika kita melihat dari satu sisi lain seakan kesian dan simpati dengan situasi yang berlaku terhadap pelajar-pelajar ini. Namun, dari satu sisi pandangan yang lain pula tindakan ini seakan perlu dilaksanakan sebagai langkah 'memotivasikan' mereka semula bagi menamatkan pengajian dengan segera disamping dalam menangani limitasi sumber kewangan yang kian meruncing.

IKAT PERUT

Apabila duit biasiswa yang diperolehi semakin berkurangan, ada senpai yang terpaksa untuk 'ikat perut' seketat-ketatnya. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pelajar 'U', bekerja di 'U' dan kini melanjutkan pengajian di nihon dilihat istilah 'ikat perut' merupakan perkara biasa bagi pelajar 'U' ini. Malah ada rakan saya nihonjin (orang Jepun) yang hanya makan sekali sehari dalam usaha untuk berjimat-cermat dan 'ikat perut'. Ramai juga dikalangan mereka yang mengisi masa hari minggu dengan arubaito (kerja 'part-time') bagi mencari sumber tambahan. Bagi saya situasi ini tidaklah menghairankan kerana pelajar 'U' di tanahair juga turut menghayati dan pernah merasai istilah 'ikat perut' serta kerja 'part-time' ini. 

SARA HIDUP

Namun, sudah dijangkakan kenaikan kos sara hidup saban tahun tidak dapat dibendung. Begitu juga tanda-tanda kegawatan ekonomi telah menyebabkan semua pihak sama ada pengeluar mahupun penjual 'terpaksa' atau 'beralasan' untuk turut menaikkan harga produk jualan mereka .Malah, ada kedengaran ibubapa pelajar 'U' yang telah kehilangan pekerjaan di kala kegawatan ini menjadikan derita 'ikat perut' semakin memilukan. 

LAGU 'BANGAU OH! BANGAU'

Biasiswa KPT
Lirik Bangau Oh Bangau
Jika dicari 'salah' berlakunya peningkatan kos sara hidup ini bagi saya ia boleh diibaratkan kita menyanyikan semula lagu "Bangau Oh! Bangau" dalam versi yang berbeza. Sudah pasti semua orang akan dipersalahkan kerana lagu tersebut turut melihat faktor luar kawalan yang menjadi punca atau asbab 'bangau itu kurus'. Apabila sumber kewangan semakin berkurangan, ada yang beranggapan ia bukanlah masalah kerana boleh mencari pendapatan tambahan atau membuat arubaito. Perlu disedari bukan semua pelajar 'U' berkesempatan untuk membuat kerja 'part-time' atau mencari duit lebih. Ada kalangan mereka yang perlu menghadiri kelas hingga ke malam, jadual yang padat dengan latihan amali dan tugasan yang bertali-arus menjadikan cadangan menambah pendapatan sama ada berniaga mahupun kerja 'part-time' barangkali kurang relevan buat mereka. Maka, pilihan yang masih ada hanyalah dengan terus fokus kepada pengajian di 'U' dan berusaha menutup 'lubang-lubang' yang menyebabkan duit pelajar 'U' terus bocor. 

PUNCA DAN SOLUSI 

Berikut perkongsian dan nasihat 6K 'Punca dan Solusi' daripada senpai dalam memastikan duit adik-adik kouhai tidak bocor sehingga di'viral'kan sekali lagi sebagai 'kelaparan'. 

Punca dan Solusi #1: Keputusan Peperiksaan
Antara punca yang menyebabkan duit senpai bocor dan terpaksa 'ikat perut' adalah disebabkan keputusan peperiksaan yang merosot. Jika ditanahair, ramai pelajar yang saya kenali pembiayaan PTPTN mereka terpaksa ditahan kerana keputusan peperiksaan Purata Nilai Gred (PNG)/ Grade Point Average (GPA) pada semester sebelum itu kurang 2.00. Begitu juga terdapat pelajar tajaan di luar negara yang saya kenali terpaksa berdepan dengan pemotongan biasiswa hampir 50% kerana keputusan peperiksaan yang merosot. Oleh itu, bagi mereka yang masih menikmati keseluruhan pinjaman mahupun biasiswa pastikan keputusan peperiksaan yang akan datang tidak merundum bagi mengelakkan sama ada pembiayaan ditahan atau dipotong.  

Punca dan Solusi #2: Kurang Komunikasi
Terdapat juga mereka yang menghadapi masalah kewangan kurang berkomunikasi sama ada bersama penasihat akademik (PA), mentor ataupun rakan-rakan. Ini menyebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh pelajar tersebut tiada siapa yang mengetahui dan akhirnya bantuan tidak dapat dihulurkan. Terdapat situasi dimana pihak 'U' mempunyai bantuan-bantuan seperti pengecualian atau penangguhan yuran, bantuan zakat dan juga bantuan lain daripada individu-individu tertentu tidak dapat disalurkan kerana ketiadaan maklumat. Oleh itu, jika perlukan bantuan janganlah dibiarkan pendam seribu bahasa sehingga tiada siapa yang langsung mengetahuinya. Jika segan dengan rakan-rakan, berjumpalah dengan PA atau mentor anda untuk mendapatkan pandangan daripada mereka.  

Punca dan Solusi #3: Kehilangan Identiti
Berlaku juga situasi dimana ada pelajar 'U' yang kehilangan identiti sebenar diri mereka kerana terikut-ikut dengan rakan-rakan sekeliling. Pergaulan di kampus melibatkan pelbagai latar-belakang keluarga yang berbeza. Ada mereka yang bernasib baik dan dilimpahkan rezeki daripada keluarga yang agak berada. Ada juga mereka yang merupakan anak bongsu dan abang serta kakak mereka turut memberikan sedikit sumbangan duit bulanan. Begitu juga ada dikalangan pelajar 'U' yang merupakan anak sulung dan harapan keluarga mereka serta daripada latar-belakang keluarga yang susah atau sederhana. Tiada apa yang perlu dimalukan jika kita sememangnya bukan berasal daripada keluarga senang sepertimana rakan-rakan yang lain. Oleh itu, kenali diri, janganlah malu dengan asal-usul dan terus tenggelam dalam dunia 'U' sehingga kehilangan identiti.

Punca dan Solusi #4: Kenalpasti 'Sara Hidup' dan 'Gaya Hidup'
Biasiswa KPT Senpai kepada Kouhai
'Gaya Hidup' Tingkat 'Sara Hidup' 
Pengalaman sebagai tenaga pengajar di 'U', selalu saya melihat ada pelajar yang 'Gaya Hidup' mereka telah turut menyumbang ke arah peningkatan kos 'Sara Hidup'. Contohnya, ada pelajar yang memiliki telefon pintar dan gajet-gajet lain yang lebih mahal daripada pensyarah mereka. Terdapat juga mereka yang ke kelas dengan baju berjenama dan fesyen terkini seolah-oleh pelajar di depan kami merupakan 'model fesyen' dan golongan yang telah lama berkerja. Bukan itu sahaja, ada pelajar 'U' yang lebih mahir tentang 'port-port' tempat makan yang terbaik dan eksklusif untuk disinggah dikala menghadapi 'stress' belajar kononnya. Begitu juga pemilihan restoran-restoran makanan segera sebagai tempat diskusi untuk 'group study' mereka. Kesannya, bilik perbincangan di perpustakaan yang percuma terus dipandang sepi dan dibiar kosong. Ini secara tidak langsung telah menjadikan kos 'Sara Hidup' terus meningkat disebabkan terpengaruh dengan 'Gaya Hidup'. Solusinya, kenalpasti sesuatu impak sebelum keputusan dibuat sama ada ia akan meningkatkan kos 'Sara Hidup' atau tidak. Usah dibiarkan diri terbiasa mengamalkan 'Gaya Hidup' yang boleh meningkatkan kos 'Sara Hidup'.

Punca dan Solusi #5: Kemampuan
Jika masih ramai pelajar 'U' yang boleh bertahan tanpa pendapatan tambahan atau bekerja 'part-time', ini menunjukkan pinjaman/ biasiswa yang diperolehi masih boleh dikategorikan sama ada mencukupi atau 'cukup-cukup'. Oleh itu, bagi mereka yang berada di dalam kategori ini bolehlah memikirkan untuk 'hidup dibawah kemampuan'. Jika sebelum ini berkemampuan untuk membeli sehelai baju berharga RM50, barangkali boleh mencari baju yang harganya lebih rendah. Jika jenama sabun basuh yang digunakan sebelum ini agak mahal, barangkali boleh beralih kepada produk atau jenama yang lebih murah. Sememangnya kita mampu, namun dengan 'hidup dibawah kemampuan' banyak lagi penjimatan yang boleh kita lakukan. 

Punca dan Solusi #6: Kembali PadaNya
Sering juga saya perhatikan kesibukan pelajar 'U' ada yang menyebabkan mereka seakan jauh daripadaNya. Ada mereka yang solat di hujung waktu dan ada juga meninggalkan solat dengan sengaja kerana beralasan sibuk dan tidak berkesempatan. Namun, saya juga mampu tersenyum apabila melihat ada juga pelajar 'U' yang mendekatkan diri padaNya. Mereka yang kembali dan mendekatkan diri kepada Maha Pemberi Rezeki selalunya akan dilimpahkan dengan rezeki dan dapat membantu ke arah penjimatan. Sebagai contoh, ada mereka yang berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan, bahkan menyumbang ke arah penjimatan. Seringkali juga mereka yang mengimarahkan 'rumahNya' dijamu oleh pihak masjid/ surau. Ini secara tidak langsung membuktikan orang yang menjaga hubungan dan kembali padaNya sentiasa akan dijamin rezeki buat mereka.   

AZAM DAN KAWAL DIRI

Akhir kata, tanamkan azam untuk kita menjadi pemangkin dalam mengubah nasib dan masa depan diri serta keluarga. Apalah guna kita mencari salah orang lain atau berterusan menyanyikan lagu "Bangau Oh! Bangau" dalam versi yang baru. Selalu juga ingatkan diri sendiri bahawa kita sahaja yang dapat mengubah nasib dan kehidupan ini sepertimana firmanNya dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya"
Sekadar perkongsian dan nasihat daripada senpai buat kouhai.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Friday, January 29, 2016

KWSP Turun 3%: Arigatou Sensei!

Caruman KWSP Turun Sebanyak 3 Peratus
Caruman KWSP Turun Sebanyak 3 Peratus

KWSP DAN BAJET BARU

Semalam YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 bagi menghadapi senario ekonomi semasa yang dijangka lebih mencabar bakal dihadapi bagi tahun 2016 dan mendatang. Sudah pasti seperti biasa sesuatu pengubahsuaian, perubahan dan pelaksanaan dasar yang baru akan ada yang menerima secara positif ataupun sebaliknya. 

KWSP TURUN 3% 

Berdasarkan salah satu intipati ucapan pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 tersebut, antara solusi yang bakal dilaksanakan adalah berkuatkuasa Mac 2016 sehingga Disember 2017, sumbangan atau caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikurangkan sebanyak 3 peratus (3%). Manakala, sumbangan daripada pihak majikan masih kekal atau tiada perubahan. 

CARUMAN KWSP

Apabila berita penurunan caruman KWSP ini diumumkan, saya terfikir-fikir apakah impak perlaksanaan ini terhadap individu khususnya kepada mereka yang dalam kategori 'makan gaji' dan tiada skim pencen atau yang memilih untuk caruman KWSP. Perlu difahami, perubahan caruman KWSP ini bukanlah suatu perkara yang baru bahkan sebelum ini pernah beberapa kali dilaksanakan. Sebagai contoh, caruman syer pekerja pernah turun sebanyak 3 kali semenjak tahun 1952 ia diperkenalkan. Ini bermakna, perlaksanaan pada Mac 2016 sehingga Disember 2017 yang bakal dibuat 2 bulan lagi merupakan kali ke empat dalam lipatan sejarah KWSP. Walaupun KWSP ini telah diperkenalkan 64 tahun yang lalu, ada yang cakna, tetapi ada pula masih 'tertanya-tanya'.  
Caruman KWSP Turun 3 Peratus
Kadar Caruman KWSP

KIRAAN KWSP

Caruman KWSP secara umum dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu (1) caruman syer majikan dan (2) caruman syer pekerja. Bermula Januari 2012 hingga sekarang, caruman syer majikan adalah 12-13% daripada gaji pekerja (tertakluk kepada upah/ gaji bulanan RM5000), manakala 11% pula merupakan caruman syer pekerja. Sebagai contoh mudah, sekiranya gaji kasar anda adalah RM3000, ini bermakna pihak majikan akan memberikan sumbangan caruman sebanyak (RM3000 x 12% = RM360), bagi syer caruman pekerja pula (RM3000 x 11% = RM330). Oleh itu, simpanan yang dijana di KWSP setiap bulan dan tidak dikenakan cukai adalah sebanyak (RM360 + RM330 = RM690 sebulan). Namun, apabila dilaksanakan mulai Mac 2016 ini, caruman syer pekerja akan menjadi 8% (11% - 3%) dan potongan gaji pekerja semakin sedikit iaitu hanyalah RM240 sebulan (RM3000 x 8% = RM240). Sudah tentu gaji yang diterima mulai Mac 2016 bagi mereka yang bergaji RM3000 akan meningkat sebanyak RM90 sebulan (RM330 - RM240 = RM90). 

GAJI SELEPAS KWSP

Caruman KWSP Turun 3 Peratus
Good Service Tax (GST)
Berdasarkan contoh tersebut, ada pekerja yang 'tersenyum seketika' kerana melihat duit gaji mereka meningkat sedikit berbanding sebelum ini. Malah mungkin ada yang sudah 'berkira-kira' ke mana duit lebihan tersebut akan dibelanjakan. Hentikan 'angan-angan' jika ingin membuka 'lubang hutang' yang baru! Gelombang dan pukulan ombak ekonomi kali ini tiada siapa yang dapat menduga bila akan surutnya. Sebaiknya, duit lebihan tersebut digunakan untuk menutup hutang lama dengan kadar segera atau dibuat penambahan kepada simpanan. Sebelum ini caruman yang seakan 'membisu' di KWSP tidak dikenakan GST, namun duit lebihan yang bakal diperolehi berupaya menyumbang kepada peningkatan kutipan GST kali ini. Oleh itu, berbelanjalah secara bijak dan terus 'istiqamah' ke arah penjimatan. Jika boleh, fikir-fikirkan untuk 'hidup di bawah kemampuan'. Jangan lupa juga untuk membuat 'kira-kira' cukai pendapatan bagi tahun 2016 dan 2017 khususnya bagi mereka yang dalam kategori wajib dikenakan cukai.

KWSP Turun 3 Peratus
Sumber : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

INFLASI DAN KWSP

Kebiasaannya, kegawatan ekonomi akan turut mengundang kepada peningkatan kadar inflasi dan kenaikan harga barangan. Teringat analogi yang diberikan oleh bekas sensei saya, peningkatan kadar inflasi diibaratkan seperti kuantiti barangan yang dibeli dalam troli masih sama seperti dulu, tetapi kos yang perlu dibayar kali ini lebih tinggi. Jika kadar inflasi juga meningkat sebanyak 3% dan kadar penurunan caruman kadar KWSP juga 3%, maka hasil yang diperolehi oleh kita semua adalah 0% (3%-3% = 0%). Kesannya, bukan sahaja kutipan GST akan terus bertambah, sangat 'digeruni' lebihan duit KWSP tadi menjadi penyumbang kepada peningkatan 'hutang keliling pinggang'. Sudahlah simpanan di KWSP semakin kurang, hutang pula sudah berada di 'paras hidung'. Jangan situasi kita nanti boleh diibaratkan 'sudah jatuh, ditimpa tangga'. Akhir kata, bekas sensei saya berpesan lagi sebaiknya lebihan wang KWSP tadi disimpan untuk masa hadapan atau membayar hutang yang sedia ada. Selalu juga ingat kata-kata sensei, "money saved is the money earned". Kali ini, sensei tak beri nasihat dalam nihongo (Bahasa Jepun), tetapi eigo (English) dan marégo (Bahasa Malaysia). Arigatou sensei!

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Wednesday, January 27, 2016

Tabung Haji: Tabung Untuk Pergi Haji!

Dividen dan Bonus Tabung Haji
Tabung Haji: Tabung Untuk Pergi Haji

TABUNG HAJI

Beberapa hari kebelakangan ini isu berkaitan Tabung Haji (TH) semakin mendapat perhatian dan menjadi perbualan semua pihak. Ramai yang memberikan komen dan ada juga yang bersatira disebalik isu TH ini. Hampir kebanyakan orang sama ada terlibat mahupun tidak berkaitan langsung dengan isu TH ini turut bersuara di media sosial atas alasan kebebasan bersuara. Sekejap sahaja, pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif telah dilemparkan terhadap institusi Lembaga Tabung Haji ini. Malah, ada yang memberikan komen negatif dan mencemuh institusi ini sedangkan mereka sendiri tidak langsung menepati syarat wajib untuk menunaikan haji sebagai salah satu rukun Islam dan juga seorang Muslim. 

BERHARAP NAK PERGI HAJI

Apabila isu ini semakin diviralkan dan 'sembang kencang' dari bandar sampailah ke kampung, yang paling panik adalah orang-orang tua di kampung yang terlalu berharap sehinggakan 'bermimpi-mimpi' menunaikan haji. Ada pula 'penasihat tidak bertauliah' yang seakan menangguk di air yang keruh dengan mencadangkan supaya dikeluarkan kesemua duit simpanan di TH kerana dikhuatiri akan lesap kononnya akan dikebas oleh 'si penyamun tarbus'. Kesian orang-orang tua ini kerana telah mendapat nasihat yang salah daripada mereka yang merasakan diri mereka cukup ilmu dan maklumat.

MENUNAIKAN HAJI

Bak tajuk lagu Nirwana Band, 'cukup-cukup sudah' daripada berterusan menyebarkan berita yang tidak pasti, dan 'cukup-cukup sudah' memberikan nasihat yang akan merugikan semua orang. Bagi mereka yang berada dalam kategori 'orang senang' barangkali tiada masalah untuk mengeluarkan kesemua simpanan di TH dan menunaikan haji dengan memilih Pakej Haji Swasta. Bagaimana pula dengan orang kampung yang susah, mengharapkan muassasah dan tiada pilihan lain? Harapkan anak, anak sendiri pun selalu beralasan tidak cukup dan kekeringan setiap bulan. Jangan berterusan dibiarkan mereka panik dan dimomokkan dengan cerita ngeri yang penuh fantasi. Sangat dikhuatiri, atas nasihat yang salah ini impian orang tua di kampung yang ingin menunaikan haji hanyalah menjadi mimpi ngeri. Akhirnya, langsung tidak berpeluang menunaikan haji!

IBU AYAH NAK PERGI HAJI

Tabung Haji dividen dan bonus
Ingin sangat pergi menunaikan haji

Bagi ibu ayah, pakcik-pakcik, makcik-makcik dan datuk serta nenek yang telah lama menanti hendak pergi menunaikan haji, janganlah panik untuk dikeluarkan kesemua duit di TH. Manakala, bagi anak-anak sama ada di kalangan generasi X,Y, Z dan alpha yang masih ada orang tua di kampung serta mengetahui mereka juga ternanti-nanti untuk menunaikan haji, berikanlah maklumat dan nasihat yang betul buat mereka. Nasihatkan juga jangan dek kerana isu ini ada pula yang terjebak dengan skim-skim mahupun pelaburan yang akhirnya meleburkan duit mereka. Sedari ramai diluar sana yang sedang memerhati dan menanti untuk menangguk di air yang keruh. Jangan juga dikeluarkan kesemua simpanan di TH dan disimpan pula di bawah bantal. Dikhuatir ada yang cuba lari daripada 'penyamun tarbus' disonglap pula oleh 'si toyol berambut hitam'. Jangan kelak dek kerana isu ini dengan harapan hendak keluar daripada mulut harimau, masuk pula mulut buaya.  

TABUNG UNTUK PERGI HAJI

Bonus Tabung Haji
Dividen dan Bonus Tabung Haji (Sumber: Astro Awani)

Sudah terang lagi bersuluh, namapun pun 'Tabung Haji' tentulah tabungan untuk menunaikan haji. Mana mungkin duit simpanan akan hilang dan yang paling teruk boleh berlaku sama ada tiada bonus dan juga dividen. Situasi di TH telah menjadi isu tabdir urus dan bukannya kesalahan menetapkan matlamat kewangan bagi menunaikan haji. Biarkan duit simpanan yang diniatkan untuk pergi menunaikan haji terus berada di TH. Berdoa agar urusan TH dapat ditadbir urus dan ditanggani sebaiknya oleh mereka yang telah diberikan amanah. Serahkan juga pada Maha Pencipta yang menanti kita di 'sana'. Teringat pesanan emak, kita simpan di TH sebab berniat untuk pergi menunaikan haji dan bukan kerana dividen mahupun bonus. Jika diberikan dividen dan bonus kita bersyukur, yang paling penting kita telah berniat dan membuat simpanan. Didoakan semoga dimakbulkan olehNya untuk kita semua berpeluang menunaikan haji. Selalu juga ingatkan diri, jika hendak melabur dan mengembangkan harta, TH bukanlah tempatnya.  

Sekadar pandangan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Monday, January 25, 2016

Futon dan Toto

Futon dan Toto
Futon/ Tilam Tradisional Jepun

TILAM JEPUN

Semenjak berada di sini, futon sentiasa menjadi peneman setia kami sekeluarga di kala tidur. Futon merupakan tilam tradisional masyarakat Jepun yang digunakan untuk beristirehat mahupun melelapkan mata. Walaupun masyarakat Jepun sudah ramai yang telah menggunakan tilam dan katil, namun penggunaan futon masih mendapat pemintaan yang tinggi di kalangan mereka di sini. Berdasarkan pengalaman, penggunaan futon ini sangat praktikal bagi masyarakat Jepun memandangkan rumah-rumah mereka yang boleh digambarkan sebagai 'cute and compact'.

3 DALAM 1

Futon dan Toto
Futon: 3 Dalam 1

Secara umumnya, ketebalan futon yang biasanya digunakan dalam 5-6 cm. Ia biasanya dijual dalam pakej 3 dalam 1 iaitu bersama dengan (1) makura (bantal), (2) shikibuton (alas futon/selimut) dan (3) kakebuton (tilam/ futon). Set futon ini dijual di antara 5000 - 10,000 yen dan harga tersebut berbeza bergantung kepada material serta kualiti futon tersebut.

MAKURA, SHIKIBUTON DAN KAKEBUTON

Terdapat 2 jenis makura (bantal) yang biasanya digunakan di sini. Pertama makura yang berisi manik-manik atau biji-bijian yang diperbuat daripada plastik. Saiz makura ini biasanya kecil dan seakan-akan direka hanya untuk 'muat-muat' belakang kepala. Bagi mereka yang tidak biasa dan selesa, boleh memilih untuk membeli bantal yang agak besar yang diisi kapas atau bulu angsa. Makura yang diisi bulu angsa biasanya lebih selesa dan agak mahal. Shikibuton pula merupakan lapisan nipas yang boleh dijadikan selimut dan sangat selesa digunakan dikala musim sejuk (fuyu). Bahan yang digunakan bagi lapisan dalam shikibuton ini biasanya kapas untuk atau kapas sintetik yang agak ringan agar mudah dijadikan selimut. Manakala kakebuton pula merupakan struktur utama tilam Jepun ini yang juga diperbuat daripada bulu angsa atau kapas sintetik yang lebih tebal. Berdasarkan perbandingan harga, kakebuton merupakan bahagian yang termahal dan perlu dijaga rapi bagi memastikan ia boleh digunakan lebih lama. 

TATAMI

Tatami and Oshiire
Tatami dan Oshiire

Futon biasanya digunakan di atas permukaan lantai tatami yang diperbuat daripada jerami. Dikatakan tatami ini telah digunakan oleh masyarakat Jepun lebih 600 tahun yang lalu. Standard ukuran tatami adalah 910mm x 1820mm dan atas sebab itu juga ukuran lantai sesebuah rumah di Jepun turun dikira berdasarkan bilangan tatami. Futon yang telah digunakan biasanya akan disimpan di dalam oshiire (almari) dua pintu yang biasa kita lihat dalam cerita Doreamon. Masyarakat Jepun percaya tidur di atas futon baik untuk kesihatan dan dapat membantu mereka yang mengalami sakit pinggang dan punggung.

TOTO

Futon dan Toto
Toto Narita Bukan 'Sport Toto'

Jika di tanahair, barangkali boleh saya samakan futon dengan 'toto'. Apabila memperkatakan tentang toto, masih segar dalam ingatan semasa di awal perkahwinan yang hampir 12 tahun yang lalu di mana tiada katil dan tilam 'dunlop' yang menanti isteri di rumah sewa. Kami mulakan dengan barang yang asas seperti dapur, peralatan memasak, peti ais yang paling murah (satu pintu) dan mesin basuh. Berazam dan berusaha untuk penuhkan kediaman sewa kami berdikit secara tunai dan sedaya-upaya menggelakkan diri daripada ansuran mudah. Masih segar diingatan kami membeli peti ais paling murah (satu pintu) dikala isteri sudah mulai bekerja dan sehingga kini peti ais tersebut yang berusia hampir 11 tahun masih boleh digunakan. Terasa sayang untuk kami menukar yang baru walaupun mampu memiliki peti ais yang lebih besar dengan rekabentuk serta teknologi terkini. Begitu juga toto, ia masih boleh digunakan walaupun kelihatan usang.

MENGAMIT MEMORI

Oleh itu, bagi mereka yang baru memulakan 'alam berumahtangga' tidak salah untuk memenuhkan segala keperluan rumah jika mampu atau ada yang sudi menjadi penaja. Jika ada penaja, nak dapatkan set tidur serba-serbi 'pink' pun tiada salahnya. Namun, bagi mereka yang dalam kategori 'biasa-biasa' dan tidak dilimpahi dengan harta, mulakan sedikit demi sedikit bersama pasangan dan berusahalah mengelakkan diri daripada berhutang. Tidak perlulah mengambil pinjaman peribadi mahupun terlibat dengan ansuran mudah hanya kerana mahu memenuhi keperluan rumah atau memiliki set bilik tidur yang indah. Percayalah, pengalaman susah bersama pasangan inilah yang akan mengeratkan lagi kasih sayang hidup berumahtangga. Begitu juga kami, banyak kenangan lalu yang mengamit memori di kala susah dahulu termasuklah di waktu menggunakan futon di sini.

Sekadar perkongsian dan pengalaman. Sayonara! Sampai berjumpa lagi.

Credit pictures:

Tuesday, January 19, 2016

Rumah Paling Mampu (RPM): 3 Kerugian RPM

Rumah Paling Mampu
Rumah Paling Mampu (RPM)

NAGANO DAN RUMAH

Saya masih teringat pertemuan bersama salah seorang rakan di Nagano tempohari yang telah menetap di Jepun lebih 10 tahun. Beliau kini sedang memohon untuk status penduduk tetap (PR) dan tidak terfikir untuk pulang ke tanahair. Bukanlah beliau tiada pekerjaan di Malaysia, malahan sanggup melepaskan peluang pekerjaan dan kini dalam tahun terakhir membuat bayaran balik hutang (kontrak) belajar beliau satu ketika dulu di salah sebuah universiti awam. Saya sendiri tidak mahu bertanya lanjut sebab kenapa beliau membuat keputusan sedemikian. Pastinya beliau ada alasan tersendiri dalam membuat keputusan tersebut yang turut melibatkan anaknya yang sedang menginjak usia remaja.

MEMILIKI RUMAH

Cuma saya tertanya-tanya kenapa beliau bersungguh-sungguh sangat untuk memohon sebagai PR di Jepun. Apakah kelebihan jika mempunyai status PR di Jepun ini? Apabila ditanya, rupa-rupanya beliau berhasrat untuk memiliki hartanah (rumah) di Jepun. Perkenalan tersebut seakan semakin mesra sehinggakan topik perbualan berlanjutan membicarakan tentang pengurusan kewangan dan pembelian hartanah turut disentuh. Saya teruja mendengar perkongsian dan pengalaman beliau dalam menempuh 'mehnah dan tribulasi' hidup di negara orang ini.

Rumah Paling Mampu (RPM)
Maksimum Rumah Paling Mampu (RPM)

RUMAH PALING MAMPU (RPM)

Beliau juga sempat berkongsikan kepada saya berkaitan 3 KERUGIAN apabila membeli 'Rumah Paling Mampu' (RPM). Barangkali perkongsian beliau ini boleh juga dijadikan panduan khususnya buat golongan muda yang baru mendirikan 'mahligai cinta' mereka.  

Kerugian #1: Rugi Usia
Apabila seseorang berhasrat untuk membeli RPM, kebiasaannya mereka akan tertunggu-tunggu tahun yang sesuai untuk memiliki rumah tersebut. RPM biasanya disinonimkan dengan 'rumah impian'. Hakikatnya sudah mampu memiliki rumah pada masa ini, tetapi ternanti-nanti untuk memiliki RPM atau rumah impian. Saya pernah kongsikan sebelum ini di 'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian'. Oleh kerana tertunggu-tunggu tahun yang sesuai untuk memiliki RPM, individu tersebut telah kerugian dari sudut usia. Perlu diketahui apabila usia semakin meningkat, kebiasaannya jangkamasa pinjaman yang boleh diberikan oleh pihak bank juga semakin pendek. Apabila semakin pendek tempoh pinjaman, maka komitmen bulanan yang perlu dibayar kepada pihak bank juga adalah tinggi.

Kerugian #2: Rugi Peluang Pelaburan
Seringkali juga apabila kita membicarakan RPM, seseorang akan membeli rumah dengan komitmen bulanan 'paling maksimum' yang boleh dibayar kepada pihak bank. Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai lebihan duit RM2000, maka dia akan memaksimumkan jumlah tersebut untuk membeli RPM. Kesannya, mereka yang memilih RPM akan rugi peluang pelaburan yang lain kerana lebihan gaji tadi telah digunakan sepenuhnya untuk membeli rumah tersebut. Maka, peluang-peluang lain untuk membuat pelaburan akan terlepas. Bukan itu sahaja, ada di kalangan kita yang membuat keputusan RPM menghadapi masalah dikemudian hari kerana tiadanya simpanan dan tidak berupaya menyediakan 'dana kecemasan' bersamaan 6 bulan gaji/ pendapatan dalam menghadapi situasi di luar jangka. Pernah saya kongsikan sebelum ini berkaitan 'dana simpanan' di Simpanan Kecemasan: Hutang dan Tidak Berkemampuan.

Kerugian #3: Rugi Majukan Diri
Menurut rakan saya lagi, mereka yang membeli RPM akan juga kerugian kerana tersangkut untuk memajukan diri. Ini kerana, apabila membeli RPM mereka juga akan tersangkut dengan emosi untuk menjual atau menyewakan rumah tersebut kepada orang lain. Sebagai contoh, saya juga pernah menghadapi dilema situasi yang sama semasa mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik tetapi jauh dari rumah yang saya beli sebelum ini. Alhamdullilah, setelah difikir-fikirkan, saya dikira masih bertuah kerana rumah yang dibeli masih boleh menjana aliran positif tunai (positive cashflow) jika disewakan atau mendapat keuntungan jika berhasrat untuk menjual rumah tersebut. Bayangkan jika seseorang membuat keputusan membeli RPM di lokasi yang kenaikan harga rumah agak mendatar atau jika disewakan, kadar sewa yang bersesuaian dikenakan masih dibawah paras komitmen bulanan yang perlu dibayar kepada pihak bank. Sudah tentu jika situasi ini berlaku akan merugikan pemilik RPM tersebut.

BELI RUMAH

Sebagai solusi dan panduan bagi mereka yang masih muda barangkali perkongsian ini dapat membantu:

Akhir kata, sebelum terlibat dengan mana-nama pelaburan mahupun membeli sebuah rumah dapatkan ILMU dalam pelaburan dan juga membeli rumah. Teringat pesanan guru saya, perkembangan harta berkadar langsung dengan peningkatan ILMU seseorang. Oleh itu, harta juga tidak akan berkembang apabila pemilik harta tidak berusaha untuk mendapatkan ILMU dalam mengembangkan harta yang dimiliki. Bagi muslim, janganlah lupa juga untuk berzakat kerana zakat itu juga sendiri menyucikan, bersih, subur, berkat dan berkembang. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Friday, January 15, 2016

Subarashii! Hebat! Tapi Tak Berisi.

Motivasi Kewangan dan Perjalanan di Jepun
Subarashii! Hebat Tapi Tak Berisi.

SUBARASHII

Tempohari sewaktu anak-anak pulang dari sekolah, saya terdengar perkataan 'subarashii' dari mulut mereka. Apabila bermain, mereka juga sebut istilah 'subarashii' ini berulang-ulang. Saya tidak pasti sama ada perkataan 'subarashii' tersebut tepat digunakan pada situasi tersebut ataupun tidak. Namun, yang pasti anak-anak lebih banyak menguasai kosa kata dan cepat penguasaan Bahasa Jepun mereka berbanding kami. Kebiasaannya, perkataan 'subarashii' disebut bagi mengambarkan 'hebat' (great, superb). Barangkali istilah ini biasanya digunakan di sekolah oleh guru mereka dalam merangsang dan memotivasikan anak-anak di sekolah. Atas sebab itu istilah 'subarashii' ini turut menjadi kata-kata yang anak-anak saya gunakan di rumah. 

RAKAN JEPUN

Pertama kali saya mendengar perkataan 'subarashii' ini daripada salah seorang rakan Jepun yang berkunjung ke Malaysia sebelum kami berhijrah ke Jepun. Beliau menyebut perkataan 'subarashii' apabila saya berpeluang membawanya melihat-lihat pemandangan di Putrajaya. Pada fikiran saya, barangkali apa yang dilihat beliau di Malaysia tidak sama sepertimana beliau fikirkan sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia. Ini kerana, itulah pertama kali beliau berkunjung ke Malaysia!

SUBARASHII (HEBAT)

Sumber: http://joleneeeeeeeeee.tumblr.com
Jika dilihat dari aspek positif, perkataan 'subarashii' ini boleh mendorong dan memotivasikan diri untuk menjadi lebih baik dan hebat. Anak-anak yang dirangsang dengan perkataan yang positif akan berusaha dengan lebih gigih untuk membuktikan bahawa mereka juga hebat, atau boleh lakukan! Namun, ada perbezaan yang ketara yang perlu difahami untuk jadi 'hebat' iaitu 'tidak mahu kalah untuk menjadi hebat' atau 'tidak mahu kalah untuk mahu kelihatan hebat'.

KELIHATAN HEBAT

Apabila memperkatakan tentang 'kehebatan', ada yang sanggup 'kelihatan hebat' sehinggakan mengamalkan sikap tidak mahu kalah dalam hidup mereka. Sebagai contoh, tidak mahu kalah dengan adik-beradik, tidak mahu kalah juga dengan rakan-rakan sekerja, tidak mahu kalah dengan jiran-jiran dan sebagainya. Disebabkan tidak mahu kalah dan untuk terus 'kelihatan hebat', ada juga yang sanggup terjebak dengan 'hutang mahu'. Saya pernah kongsikan sebelum ini di 'Hutang Mahu' vs 'Hutang Perlu'.

KAYA TIDAK BERHARTA

Akhir kata, bersamalah kita berusaha mengelakkan diri daripada mahu 'kelihatan hebat' berbanding orang lain sehingga terjebak dalam 5 Petanda Kaya Tidak Berharta. Apa guna kelihatan hebat, hakikatnya duit gaji atau pendapatan bulanan langsung tidak boleh dijadikan simpanan. Perlukah kelihatan hebat, sehinggakan duit buat orang tua pun beralasan tidak mampu untuk dihulurkan. Apa guna juga kelihatan hebat dan tidak mahu kalah dengan orang lain sedangkan 'kad kredit' dan 'pinjaman peribadi' hanya sebagai 'kosmetik' dan penghias diri untuk kelihatan hebat. Apalah gunanya juga kelihatan hebat, sedangkan rumah yang besar sering terasa sempit. Jika ada mereka yang berada dalam situasi ini, mungkin sesuai kita digambarkan "Subarashii! Hebat! Tapi Tak Berisi".

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Wednesday, January 13, 2016

Pengalaman Bersama ONEXOX

Pengalaman Bersama ONEXOX
Pengalaman Bersama ONEXOX di Jepun

ONEXOX DI JEPUN

Sebelum ini pernah saya kongsikan pengalaman kami berada di Jepun yang menukar kepada perkhidmatan ONEXOX di ONEXOX Jelajah Jepun. Sebelum saya bertukar kepada ONEXOX, hampir setahun saya seakan menemui jalan buntu untuk menukar kepada pelan atau syarikat telekomunikasi yang lain lebih-lebih lagi saya telahpun berada di Jepun. Namun, saya tetap mencari dan sangat yakin "dimana ada kemahuan, disitu ada jalan".  Pada Oktober 2014 saya telah berada di Jepun dan pada akhir September 2015 pertama kali saya mendengar ONEXOX daripada salah seorang rakan kami yang baru tiba di sini. Namun, beliau sendiri kurang pasti sama ada saya boleh bertukar ke syarikat telekomunikasi yang lain dan saya masih boleh terus kekal dengan nombor telefon yang sama atau tidak kerana pengalaman beliau sendiri telah bertukar ke ONEXOX sebelum berhijrah ke sini. Akhirnya, perbualan kami berkaitan ONEXOX ini terhenti begitu sahaja tanpa solusi.

GOOGLE 'ONEXOX'

Pengalaman Bersama ONEXOX
Carian di Google 'Syarikat Telefon Jimat'
Disebabkan saya bertekad untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan ke arah penjimatan bagi melangkah tahun 2016. Akhirnya, saya membuat carian di Google dengan menaip 'syarikat telefon jimat' dan menemukan saya dengan ONEXOX. Berdasarkan carian saya, ONEXOX sangat sinonim dengan konsep penjimatan. Walau bagaimanapun, diperingkat awal agak merisaukan memandangkan kami kini berada di luar negara dan dikhuatiri perkhidmatan yang ditawarkan oleh ONEXOX tidaklah sepertimana yang kami harapkan. Lebih-lebih lagi saya sendiri tidak pernah menukar ke mana-mana pelan atau syarikat lain semenjak memiliki telefon bimbit buat kali pertama dalam hidup iaitu lebih 15 tahun yang lalu! Namun, dek kerana matlamat saya dan isteri ingin sangat mengurangkan beberapa perbelanjaan bagi tahun 2016 dan termasuklah bil telefon, maka kami tetapkan juga pendirian untuk beralih ke perkhidmatan ONEXOX walaupun namanya kurang dikenali berbanding syarikat telekomunikasi yang lain.

TAWARAN ONEXOX

Sepertimana perkongsian saya sebelum ini, tawaran yang diberikan oleh ONEXOX boleh diibaratkan seperti "orang mengantuk, disorongnya bantal". Ia bukan sahaja menawarkan penjimatan dan saya masih boleh kekal bersama nombor telefon yang sama (MNP). Bahkan, tawaran ONEXOX yang membolehkan kredit dibawa kehadapan dengan tempoh sah sehingga 28 bulan (2 tahun 4 bulan) bagi mereka yang MNP telah berjaya menambat hati kami.

SEBULAN BERSAMA ONEXOX

Pengalaman Bersama ONEXOX
Di Terima Pada 15 Disember 2015
Tarikh 15 Januari 2016 akan datang genaplah tempoh sebulan kami menggunakan ONEXOX di sini. Namun, secara rasmi kami telah membuat proses MNP dan penamatan syarikat telekomunikasi yang lama serta telah menjadi pelanggan ONEXOX bermula pada 3 Disember 2015. Walau bagaimanapun, disebabkan kami berada di luar negara simkad ONEXOX tersebut perlu dipos kepada kami di sini. Saya bertuah kerana dalam pencarian syarikat telekomunikasi yang menjimatkan, saya bertemu dengan agen ONEXOX yang sah, bertanggungjawab dan sudi membantu sehinggakan saya boleh menggunakan talian ONEXOX di sini tanpa sebarang masalah. Saya juga yakin kebanyakan agen sah ONEXOX sudi membantu jika anda memerlukan maklumat dan bantuan daripada mereka.

Pengalaman Bersama ONEXOX
Tarikh Rasmi Sebagai Pelanggan ONEXOX

ONEXOX KE GUNUNG FUJI

Baru-baru ini kami berpeluang ke Tokyo semasa Fuyu Yasumi (Cuti Musim Sejuk). Sepanjang berada di Tokyo dan perjalanan kami dari Sendai yang hampir 5 jam dengan menaiki kereta, kami tidak menghadapi masalah dengan liputan ONEXOX. Ini kerana ONEXOX turut mengguna pakai prasarana CELCOM. Untuk makluman semua, di Jepun CELCOM bekerjasama dengan Softbank bagi perkhidmatan talian 'roaming' atau panggilan antarabangsa di sini. Oleh itu, selagi ONEXOX menggunakan prasarana yang sama dengan CELCOM, maka pengguna ONEXOX juga tidak akan menghadapi masalah liputan sepanjang berada di sini. Bukan itu sahaja, jika anda berada di '5th Station', Gunung Fuji anda juga tidak akan menghadapi masalah talian ONEXOX. Untuk makluman semua, 5th Station merupakan stesyen tertinggi sebelum pendaki memulakan pendakian ke puncak Gunung Fuji. Walaupun terdapat sedikit gangguan talian dalam perjalanan mendaki ke 5th Station Gunung Fuji, namun setibanya di 5th Station talian ONEXOX tidak menghadapi masalah.

Pengalaman Bersama ONEXOX
Sejuk dan Berkabus di 5th Station, Gunung Fuji

5 KELEBIHAN ONEXOX

Setelah saya dan isteri bertukar kepada ONEXOX, kami membuat kesimpulan bahawa terdapat 5 kelebihan yang kami perolehi.

Kelebihan #1: Berbaloi, Hanya RM30
Pengalaman Bersama ONEXOX
Hanya RM10 Untuk Simkad ONEXOX

Kos untuk kami bertukar ke ONEXOX dari luar negara hanya RM30 sahaja bagi 2 simkad yang berharga RM10 setiap satu dan RM10 untuk kos penghantaran. Bagi saya, ia sangat berbaloi kerana sebelum ini saya tidak pernah terfikir boleh membuat penukaran ke syarikat telekomunikasi yang lain dengan hanya menghubungi agen ONEXOX hanya melalui aplikasi WhatsApp dari Jepun. Saya juga tidak perlu ke pusat khidmat pelanggan syarikat sebelum ini bagi proses penukaran ke ONEXOX. Bukan itu sahaja, dengan pembelian simkad yang berharga RM10, saya juga memperolehi nilai kredit RM5 di dalam simkad tersebut. Tidak dinafikan, ONEXOX sememangnya berbaloi dan sangat berbaloi!

Kelebihan #2: 1800 SMS Percuma


Pengalaman Bersama ONEXOX
Tawaran 1800 SMS Percuma

Kini jumlah SMS terkumpul yang saya perolehi adalah sebanyak 300 SMS (untuk 2 bulan). Nilai SMS ini tidak akan berkurangan selagi tidak digunakan bahkan setiap bulan akan bertambah sebanyak 150 SMS selama 12 bulan. Bagi saya, SMS percuma ini ibarat 'dana kecemasan' yang boleh digunakan dikala memerlukan. Lagi pun benda percuma, bukan perlu dibayar pun!

Kelebihan #3: Jimat Lagi Menjimatkan
Sebelum ini setiap bulan kami perlu membayar hampir RM80 ++ bagi kedua-dua bil telefon yang saya dan isteri gunakan (pakej RM50 untuk saya dan RM30 bagi isteri saya). Oleh kerana, kami jarang sekali membuat panggilan dan hanya menggunakan telefon bimbit ini untuk urusan Transaction Authorisation Code (TAC) bagi urusan perbankan internet dan juga terus kekal dalam 'group' sosial (WhatsApp) di tanahair. Maka, sehingga kini saya tidak perlu membuat sebarang penambahan kredit. saya juga telah menikmati penjimatan kerana sebelum ini hampir setahun kami di sini perlu membayar RM80++ setiap bulan. Namun, setelah bertukar ke ONEXOX saya tidak perlu lagi membuat sebarang bayaran setinggi itu setiap bulan. Jika saya dan isteri membuat penambahan kredit RM10 setiap bulan sekalipun, kami masih boleh berjimat sebanyak RM60++ sebulan. Bagi kami "sudah terang, lagikan bersuluh" terbukti pemilihan ONEXOX boleh dikatakan jimat, lagi menjimatkan!

Kelebihan #4: Kadar Voice Mail Lebih Rendah


Pengalaman Bersama ONEXOX
Lebih Penjimatan Tanpa Caji Tersembunyi

Sebelum bertukar ke prepaid ONEXOX, seringkali lagi juga saya 'terkena' dengan caj-caj tersembunyi di penyata bil telefon (post-paid) saya sebelum ini. Sebagai contoh, pernah saya dicaj sebanyak RM1.50 bagi setiap panggilan yang tidak dijawab disebabkan saya mengaktifkan perkhidmatan 'roaming' di sini. Kini, kadar voice mail bagi ONEXOX yang kami nikmati lebih rendah berbanding sebelum ini.

Kelebihan #5: Kelebihan Kadar Istimewa Family & Friends (F&F)


Pengalaman Bersama ONEXOX
Kadar Istimewa Family & Friends (F&F)
Kadar istimewa bagi 10 nombor F&F dari semua rangkaian termasuk talian tetap dengan kadar istimewa menjadikan saya lebih teruja untuk mempromosikan ONEXOX kepada ahli keluarga saya di tanahair. Kini, hampir kesemua adik-beradik dan ibu bapa saya merupakan pengguna ONEXOX. Sebelum ini, ibu bapa saya perlu membuat penambahan kredit setiap bulan bagi memastikan nombor telefon mereka aktif atau masih terus boleh digunakan. Kini, ibu bapa saya tidak perlu lagi membuat penambahan kredit setiap bulan kerana sememangnya mereka jarang sekali membuat panggilan. Alternatif lain, 150 SMS yang diberikan percuma oleh ONEXOX setiap bulan turut boleh digunakan sepenuhnya oleh mereka.

ONEXOX DAN PENJIMATAN

Sememangnya selama sebulan lebih kami menggunakan ONEXOX sehingga kini terbukti ia merupakan syarikat telekomunikasi yang menawarkan 'penjimatan berganda'. Sebagai contoh, kami sendiri dapat berjimat sebanyak RM80++ sebulan. Satu nilai penjimatan yang besar bagi kami. Boleh dikatakan keputusan kami menukar ke ONEXOX merupakan keputusan yang sangat tepat dan tidak mengecewakan. Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur 'Contest SOE' ini iaitu Saudara Muhamad Anuar Marsib yang juga merupakan penulis dan pemilik blog Coretananuar.com.

Pengalaman Bersama ONEXOX
Banner Contest SOE Terbaik 2015
Tidak dilupakan juga penghargaan terima kasih diucapkan kepada para penaja yang berbesar hati menaja Contest SOE ini iaitu:
coretananuar.com | dicount-hari2.blogspot.my | aktifmykad.com | tipsexamspa.com |  kartun-online.blogspot.my | ajumohit.com | Hamba Allah | Hamba Allah | Hamba Allah | ciktom.com | vitamin-cerdik.com
Akhir kata, terima kasih tidak terhingga buat ONEXOX atas tawaran penjimatan berganda dan juga kepada syarikat penyedia rangkaian kepada ONEXOX iaitu XOX Berhad yang turut berusaha untuk 'Patuh Syariah' dalam perjalanan perniagaan mereka sepertimana tertera dalam link http://www.sc.com.my.


Pengalaman Bersama ONEXOX
Syarikat XOX Bhd Senagai Penyedia Rangkaian ONEXOX

Sekadar perkongsian 'Pengalaman Bersama ONEXOX' dari kejauhan di Sendai, Jepun.

Sayonara! Sampai berjumpa lagi.

Monday, January 11, 2016

Periuk Nasi Jepun, Tiada Keraknya

Periuk Nasi Jepun
Sumber: http://www.japanesericecookers.net

BESAR PERIUK, BESAR KERAKNYA

Selalunya apabila memperkatakan tentang periuk seringkali kita mendengar peribahasa "besar periuk, besarlah keraknya". Namun, periuk nasi di Jepun sedikit berbeza kerana tidak kelihatan kerak walaupun periuk tersebut dihidupkan (on) sepanjang masa. Berbeza dengan periuk nasi yang kami gunakan sebelum ini di tanahair, jika dibiarkan beberapa jam akan meninggalkan kerak. Akhirnya, kerak nasi tersebut dibuang kerana tiada siapa yang mahu memakannya. Jika di kampung, barangkali kerak nasi tersebut boleh diberikan ayam makan. Sudah tentu peribahasa Melayu tersebut mengingatkan kita supaya tidak membazir dan bukanlah 'berjoli sakan' merupakan perkara biasa bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, ada yang beranggapan "biasalah, banyak berbelanja sebab gaji dia pun besar". Jika tanggapan ini dibiarkan, maka ramailah yang tersasar daripada falsalah sebenar peribahasa tersebut.

PERIUK NASI

Bagi mereka yang pernah merasai kehidupan di dunia asrama, sudah pasti dapat merasakan betapa pentingnya periuk nasi ini. Pelbagai menu boleh disediakan apabila periuk nasi bersama kita. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk memasak nasi, malah boleh juga digunakan untuk memanaskan makanan, memasak maggi, menggoreng telur, nasi goreng dan pelbagai lagi. Mudah kata, bila periuk nasi bersama kita banyaklah boleh diusahakan dikala lapar. Salah satu persiapan dan persediaan kami apabila berjalan jauh di daerah Jepun ini adalah dengan memastikan periuk nasi tidak ditinggalkan. Ia membantu kami untuk memasak atau memanaskan makanan lebih-lebih lagi apabila berada di daerah yang sukar mendapatkan makanan halal. Ia bukan sahaja memudahkan kami, bahkan yang penting membantu ke arah penjimatan. Namun, bagi mereka yang datang melancong ke sini tidak perlulah membawa periuk nasi dari tanahair. Ini kerana watt elektrik di Jepun berbeza dengan Malaysia.

EMOSI DAN SOLUSI

Kehadiran periuk nasi Jepun yang tiada 'kerak' ini dan juga periuk-periuk lain dengan teknologi terkini yang dapat mengelakkan 'kerak' mengingatkan saya akan pengurusan kewangan peribadi. Sebagai contoh, dalam mengatur dan menguruskan kewangan jika kita tidak terikut dengan emosi dan memberikan fokus kepada solusi barangkali kerak (pembaziran) akan dapat dielakkan. Apabila dilihat daripada perspektif yang lain, jika benar-benar kita ada keazaman dan memberikan tumpuan kepada solusi sudah pasti pembaziran atau 'kebocoran wang' dapat ditangani. Namun, tanpa kita sedari tindakan kita banyak dipengaruhi oleh emosi dan bukannya solusi. Sebagai contoh, gaji tahunan meningkat sudah mula fikirkan model kereta baru. Belum lagi peningkatan gaji tahunan diperolehi sudah merancang untuk 'cuti-cuti' di luar negara. Ada juga apabila ditawarkan periuk 'ajaib' berharga ribuan ringgit dengan bayaran ansuran bulanan, ter'emosi' untuk memilikinya. Kesannya, periuk 'ajaib' yang dibeli dibiarkan berhabuk dek alasan kesibukan.

5 KERAK

Umumnya, terdapat 5 petanda atau 'kerak' yang bakal dihasilkan apabila mereka yang membiarkan "besar periuk, besarlah keraknya". Antaranya:

Kerak #1: Gaji Naik, Simpanan Tiada
Apa guna gaji naik setiap tahun, 10% daripada gaji/ pendapatan pun tidak dapat dijadikan simpanan. Ramai mereka yang berpengalaman dalam pengurusan kewangan mencadangkan agar setiap individu perlu mempunyai simpanan yang boleh dijadikan sebagai 'dana kecemasan'. Sebaik-baiknya dana ini bersamaan 6 bulan gaji/ pendapatan yang diperolehi setiap bulan.

Warren Buffet
Pesanan Warren Buffet

Kerak #2: Saguhati 'Orang Tua' Selalu Beralasan
Seringkali berlaku mereka yang berbelanja dan membiarkan 'keraknya' besar selalu beralasan untuk memberikan saguhati buat 'orang tua' mereka di kampung. Kesannya, beberapa bulan atau mujur  jika setahun sekali pulang ke kampung barulah duit buat orang tua dapat dihulurkan. Alasannya, duit tidak mencukupi sedangkan memandu pulang model kereta baru ke kampung dan iphone plus boleh sahaja bergaya ditangan.

Adab Ibu Bapa
Adab Ibu Bapa

Kerak #3: Kad Kredit, Sumber Pendapatan
Jika gaya hidup tidak diubah, seringkali berlaku nilai hutang melebihi pendapatan yang diperolehi. Apabila emosi menguasai diri, kesannya ada yang menggunakan kad kredit sebagai sumber pendapatan tambahan dan ada pula yang menjadikan 'personal loan' untuk terus memenuhi kehendak dan emosi mereka.

Kerak #4: Baki Hutang Tidak Berubah
Apabila hutang melebihi pendapatan, hutang baru pula terus dijana. Maka, baki hutang tahun lepas tidak berganjak kerana 'interest' terus bertambah dan caj penalti turut dikenakan.

Kerak #5: Biar Menyesal Membeli, Jangan Menyesal Tak Beli
Selalunya apabila emosi mengawal diri, maka solusi tidak ditemui. Kesannya, kehendak mengatasi keperluan dan ada yang beranggapan "biarlah menyesal membeli, daripada menyesal tidak membeli".

PERIUK, BERAS DAN KERAK

Akhir kata, jika periuk dianggap sebagai 'gaya hidup', beras dianggap sebagai 'duit/ pendapatan' dan kerak pula dianggap sebagai 'perbelanjaan'. Apabila difokus kepada solusi, maka kerak (perbelanjaan) akan dapat dikurangkan. Sebagai contoh, bagi mereka yang memperolehi beras (duit/ pendapatan) yang besar pada tahun ini barangkali boleh memberikan fokus kepada periuk (gaya hidup) yang sederhana atau beralih kepada 'hidup di bawah kemampuan'. Saya juga percaya jika ada beras (duit/ pendapatan) yang mencukupi dan dijadikan simpanan (berduit), bukan sahaja kita tidak akan lapar bahkan peluang-peluang yang terbaik untuk pelaburan sentiasa ada dan terbuka luas. Namun, apabila tidak berduit, kerak (perbelanjaan) dan hutang semakin menebal, 'gaya hidup' tingkatkan 'sara hidup', serta terbeban dengan masalah kewangan, maka akan membuat kita beremosi dan tidak tenang. Ini bertepatan dengan hadis Rasullulah SAW yang bermaksud:
"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari"
(Direkodkan oleh Imam Baihaqi) 

Sentiasa juga ingatkan diri, InsyaAllah peluang-peluang terbaik sentiasa menanti apabila kita berduit dan berusaha mengelakkan hutang mahu. Hakikatnya, kita perlu fokus kepada solusi, elakkan beremosi, berusaha dan terus bersabar dalam mencari kekayaan milikNya. 

Friday, January 8, 2016

Fukubukuro: Simpan Dulu, Baru Labur

Fukubukuro: Simpan Dulu, Baru Labur
Fukubukuro: Simpan Dulu, Baru Labur

FUKUBUKURO

Pada setiap awal tahun bermula 31 Disember sehingga 3 Januari, kebanyakan pusat membeli-belah di Jepun akan menawarkan jualan istimewa yang dikenali sebagai Fukubukuro (福袋). Bahasa yang mudah 'Fukubukuro' merujuk kepada 'Beg Bertuah' atau 'Beg Misteri'. Kebiasaannya, beg-beg ini mengandungi barangan yang dijual di premis tersebut dengan tawaran harga lebih rendah sehinggakan ada yang mencecah potongan sebanyak 50%. Umumnya, harga barang-barang yang dijual dalam 'Beg Misteri' ini lebih murah daripada harga biasa. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan barang-barang yang dijual murah ini merupakan stok lama atau 'out-season'. Walau bagaimanapun, ia dikira masih berbaloi khususnya buat mereka yang terlalu 'mengidam' atau menginginkan sesuatu produk yang telah lama dihajati. 

2 KATEGORI

Berdasarkan pengalaman saya di sini, 'Fukubukuro' boleh dibahagikan kepada 2 kategori:

Fukubukuro #1: Tahu dan Jelas
Kategori pertama dikategorikan sebagai 'Fukubukuro' yang jelas dan bakal pembeli boleh mengetahui isi kandungan sebenar di dalam beg yang dijual. Sebagai contoh, terdapat premis yang menjual 'Fukubukuro' di dalam plastik bungkusan jernih bagi memudahkan bakal pembeli mengetahui isi di dalam beg yang ditawarkan. Terdapat juga kedai yang membuat senarai barangan yang terkandung dalam 'Beg Misteri' yang dijual. Sebagai contoh, bagi kedai yang menjual pakaian ada yang meletakkan saiz baju, warna dan bilangan baju dalam beg tersebut. Oleh itu, bakal pembeli boleh membuat 'kira-kira' sama ada pembelian 'Fukubukuro' tersebut berbaloi ataupun tidak.

Fukubukuro
Sumber: http://www.dannychoo.com

Fukubukuro #2: Misteri dan Nasib
Namun, terdapat juga situasi dimana 'Fukubukuro' yang ditawarkan tidak jelas dan diklasifikasikan sebagai misteri. Bakal pembeli khususnya pengguna Muslim dinasihatkan untuk menggelakkan diri daripada membeli 'Fukubukuro' dalam kategori ini. Ia bukan sahaja merugikan pembeli, malah dikhuatiri pendekatan pembelian produk yang 'tidak jelas' dan 'ragu-ragu' ini tidak menepati muamalah Islam. Terdapat situasi rakan saya nihonjin (orang Jepun) yang membeli 'Fukubukuro' dalam kategori ini seakan menyesal kerana produk yang dibeli telahpun dimiliki dan tidak sesuai dengannya. Oleh itu, dinasihatkan agar khususnya pengguna Muslim menjauhi 'Fukubukuro' dalam kategori ke dua (#2) ini. Ini bertepatan dengan salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang Rasullulah SAW bersabda:
"Rasullulah SAW melarang jual beli al-hashah (dengan melempar batu) dan jual beli gharar"
(HR Muslim) 

Dimaklumkan terdapat banyak lagi hadis mengenai larangan Rasullulah SAW berkaitan urusan jual-beli bersifat gharar (tidak jelas, samar-samar). Barangkali boleh merujuk ustaz atau mereka yang lebih arif dalam membicarakan mengenai muamalah Islam berkaitan isu ini.  

3 PENGAJARAN

Terdapat 3 pengajaran daripada tradisi 'Fukubukuro' yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan khususnya dalam pengurusan kewangan peribadi:

Pengajaran #1: Tangguhkan Kehendak
Umumnya bagi mereka yang berupaya membuat penangguhan pembelian buat sementara biasanya lebih menguntungkan. Penangguhan pembelian ini sangat bersesuaian bagi pembelian yang bersifat 'Kehendak' dan bukannya 'Keperluan'. Sebagai contoh, ada mereka mendapat harga yang murah bagi pakaian berjenama. Walaupun, barangan yang dibeli sudah sedikit 'out-dated', namun jika difikirkan ia masih berbaloi dan tidak merugikan pembeli. Ia bukan sahaja membuktikan bahawa tanpa memiliki barangan tersebut beberapa bulan, kita masih 'hidup' dan ceria sehingga kini. Selalunya, mereka yang sukar untuk menangguhkan kehendak akan mudah terjebak ke lembah 'Hutang Mahu'. Pernah saya kongsikan sebelum ini di 'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu'

Pengajaran #2: Jauhi Perkara 'Misteri' dan 'Nasib'
Bukan sahaja dalam pembelian 'Fukubukuro' dinasihatkan untuk kita menjauhi jualan yang hanya bergantung kepada nasib atau membeli beg-beg misteri yang tidak diketahui isinya. Begitu juga dalam pelaburan dan pengurusan kewangan seharusnya sedaya-upaya kita cuba jauhi skim-skim pelaburan yang kita sendiri tidak jelas ke mana duit kita akan dilaburkan. Sebagai contoh, terdapat banyak pelaburan sama 'off-line' ataupun 'on-line' yang menjanjikan keuntungan luar biasa tinggi. Kebiasaannya, skim-skim ini hanya memberikan fokus kepada pulangan yang bakal diperolehi dan mencanangkan untung besar yang bakal diperolehi. Lebih misteri, pelaburan dijanjikan tidak akan rugi! Oleh itu, pelabur yang bijak dan berprinsip akan lari jauh-jauh daripada konsep pelaburan sebegini. Barangkali perkongsian SCAM: Inspirasi dan Informasi ini boleh dijadikan panduan.

Sumber: http://tokyofashion.com

Pengajaran #3: Simpan Dulu, Baru Labur
Di permulaan tahun baru ini kelihatan ramai yang meletakkan azam untuk melabur sama ada membeli rumah, hartanah, saham dan tidak kurang juga yang berhasrat untuk keluar daripada 'zon hutang'. Namun, ramai juga yang terlupa asas untuk melabur mahupun keluar daripada 'zon hutang' mestilah bermula dengan membuat simpanan. Ada mereka yang mempunyai hajat yang menggunung tinggi untuk melabur, tetapi hakikatnya tiada simpanan. Kesannya, ada yang sanggup menjerat diri dengan membuat pinjaman untuk melabur. Apalah guna kenaikan gaji diperolehi setiap tahun dan pendapatan yang tinggi pada tahun ini, tetapi terus merungut gaji tak pernah cukup. Pernah saya kongsikan sebelum ini di 6 Sebab Gaji Tak 'Cukup-Cukup'. 

PELUANG BAIK

Akhir kata, bagi mereka yang berada dalam kategori 'biasa-biasa' dan tidak mewarisi harta yang melimpah-ruah, bersamalah kita dalam menambah dan membuat simpanan agar tidak terlepas peluang untuk melabur di kemudian hari. Sentiasalah ingatkan diri, jika kita mempunyai simpanan dan 'berduit', InsyaAllah peluang-peluang baik akan kita temui. Semoga tradisi 'Fukubukuro' ini juga boleh dijadikan panduan dan pengajaran dalam menguruskan kewangan kita.

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Semoga berjumpa lagi!  
Tudung kanak-kanak