Sunday, April 19, 2015

8 Strategi Pengurusan Kewangan Graduan Muslim

Selamat Bergraduasi
Tamat Pengajian dan Bergraduasi

BERGRADUAN 

Ramai bekas pelajar saya kini telah bekerja sama ada di organisasi dan tidak kurang juga yang menjadi usahawan. Seronok dan saya juga turut gembira melihat kejayaan mereka dari kejauhan. Kini bermulalah cabaran sebenar setelah mereka bergraduan dan mulai berada di alam realiti yang pastinya berbeza semasa mereka bergelar pelajar. Diusia muda ini, saya pasti seseorang itu akan memberikan komitmen yang tinggi terhadap kerjaya mereka. Ada di kalangan mereka yang akan bekerja sehingga lewat malam dan ada juga yang akan mengatur strategi untuk mencapai jualan tertinggi, bonus, anugerah pekerja cemerlang, pekerja terbaik dan sebagainya. 

ILMU PENGURUSAN KEWANGAN 

Bagi saya ilmu 'Pengurusan Kewangan' yang tidak diajar secara formal dalam silibus pengajian merupakan ilmu penting bagi memastikan duit atau hasil yang diterima tidak lebur dan sia-sia. Apa guna kerja kuat sehingga ke lewat malam tetapi langsung tiada simpanan. Apa guna kerja bertahun-tahun, tetapi tiada harta. Apa juga guna kerja sehingga tertekan, tetapi bila ingin berkahwin bertambah tertekan kerana tiadanya duit simpanan untuk berkahwin. Ini yang biasa berlaku dan saya sendiri telah melihat rakan-rakan saya mengalami situasi tersebut sebelum ini. 

8 STRATEGI PENGURUSAN KEWANGAN GRADUAN MUSLIM 

Sekadar cadangan dan perkongsian pengalaman berkaitan pengurusan kewangan yang saya rasa boleh diamalkan oleh Graduan Muslim setelah tamat pengajian. Berikut 8 Strategi yang boleh diamalkan: 

Strategi #1 - Pemberian Kepada Ibu/Bapa

Sudah tiba masanya untuk kita membalas jasa baik dan pengorbanan ibu/bapa yang telah membesarkan kita selama ini. Barangkali boleh untuk kita letakkan anggaran 5% - 10% sebulan daripada gaji bersih kita untuk diberikan kepada mereka. Sebagai contoh mudah, jika gaji bersih RM2000 x 0.05 = RM100 sebulan sahaja untuk diberikan kepada mereka. Saya yakin paling tidak RM50 sebulan tidak akan membebankan kita berbanding bayaran bulanan telefon bimbit canggih yang kita beli, bayaran bulanan kereta dan pelbagai perbelanjaan lain. Bukanlah nilai duit yang menjadi ukuran tetapi pemberian tersebut menjadi asbab untuk doa daripada ibu/bapa kita. Sungguhpun ibu/bapa kita menolak untuk menerima, berikanlah jua dan mohonlah doa daripada mereka agar dipermudahkan urusan kita dalam mencari rezeki.

Strategi #2 - Daftar Tabung Haji

Simpanan di Tabung Haji
Simpanan Tabung Haji

Turut digalakkan bagi mereka yang belum mendaftar haji di Tabung Haji sebaiknya mendaftar dengan segera. Ini kerana, lagi lewat mendaftar maka semakin lewat tarikh untuk giliran menunaikan haji jika masih memilih pakej yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Tidak ada masalah untuk memilih pakej lain (swasta) pada masa hadapan, sekurang-kurangnya niat untuk menunaikan haji telah tersemat di dalam hati. Umumnya, apabila kita mendaftar haji sekarang, setelah 35 tahun pihak Tabung Haji menetapkan giliran seseorang itu bagi menunaikan haji. Kini, dengan hanya RM1300 sudah boleh mendaftar haji di Tabung Haji.

Strategi #3 - Bayar Diri Sendiri

Bacalah mana-mana buku berkaitan ilmu pengurusan kewangan. Hampir kesemua pakar kewangan dan juga mereka yang mahir dalam bidang pengurusan kewangan ini akan mencadangkan untuk seseorang itu membayar diri mereka sendiri. Kebiasaannya dicadangkan untuk membayar diri sendiri sebanyak 10% daripada gaji bersih yang diperolehi setiap bulan. Sebagai contoh, gaji sebulan RM2000 x 10% = RM200 tersebut menjadi simpanan tetap dan dianggap bayaran kepada diri sendiri setiap bulan. RM200 tersebut terus diasingkan daripada akaun semasa dan boleh jadikan akaun simpanan Tabung Haji sebagai tempat menyimpan. Sebaiknya buat potongan daripada gaji kita dan terus disimpan di dalam akaun Tabung Haji. Duit ini boleh digunakan di kala kecemasan jika sangat-sangat memerlukan. 

Strategi #4 - Tangguhkan Pembelian Kereta

Kereta: Keperluan atau Kehendak?
Kereta: Keperluan atau Kehendak?

Jika tidak terlalu 'mendesak' sebaiknya tangguhkan dulu pembelian sesebuah kereta. Ini kerana dengan memiliki kereta, seseorang itu juga terpaksa mengeluarkan wang untuk pembanyaran ansuran bulanan, servis enjin, tukar tayar, ganti minyak enjin, ganti wiper, minyak gear, cukai jalan, takaful setiap tahun dan lain-lain lagi. Perlu fahami kereta adalah liabiliti dan bukannya aset. Bila sepatutnya beli? Bila ia telah benar-benar menjadi keperluan, barulah kereta tersebut sepatutnya dibeli. Fahami konsep "keperluan" dan "kehendak". 

Strategi #5 - Tingkatkan Simpanan

Tingkatkan Simpanan
Tingkatkan Simpanan

Belajar teknik-teknik untuk menambah simpanan atau pendapatan. Dalam usia yang muda, tingkatkan kemahiran diri dan belajar untuk menjana pendapatan lain bagi meningkatkan simpanan. Gunakan laman sosial seperti facebook, twitter, WhatsApp dan pelbagai lagi untuk menjana pendapatan tambahan. Gunakan kemahiran yang dimiliki seperti kemahiran menulis, kebolehan mengajar dan sebagainya untuk menjana pendapatan tambahan dan seterusnya meningkatkan simpanan. Pelbagaikan tabung simpanan anda. 

Strategi #6 - Jangan Bermewah

Sentiasa ingat diri untuk tidak bermewah-mewah dan membazir. Jangan terikut-ikut dengan apa yang rakan-rakan atau orang di sekeliling kita bergaya. Jangan mengamalkan konsep "biar papa, asal bergaya". 

Strategi #7 - Elakkan Kad Kredit

Sebaiknya berbelanja secara tunai. Penggunakan kad kredit jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah hutang kad kredit. Saya pernah menerima 2 kad kredit sekaligus daripada pihak bank secara percuma. Oleh kerana saya merasakan tidak perlu, maka saya telah memotong kedua-dua kad kredit tersebut dan menyerahkan semula kepada pihak bank. Saya lebih suka menggunakan kad debit yang mempunyai kelebihan Visa sepertimana kad kredit yang lain. Melalui kad debit kita boleh mengawal perbelanjaan kita. 

Strategi #8 - Kumpul Harta Bukan Kumpul Hutang

Simpan Emas Untuk Elak Berbelanja
Simpan Emas Untuk Elak Berbelanja

Strategi terakhir, letakkan dalam minda untuk terus mengumpul harta dan bukannya mengumpul hutang. Sebagai contoh, elakkan hutang pinjaman peribadi, hutang kad kredit, membeli barang elektrik dan keperluan rumah secara berhutang mahupun bayaran ansuran, hutang dengan rakan-rakan dan lain-lain. Kumpulkan sebanyak harta seperti pembelian rumah, hartanah dan lain-lain. Hutang beli rumah atau hartanah merupakan 'hutang baik' dalam menjana aset. Sebagai permulaan, anda boleh beli aset-aset kecil seperti emas untuk simpanan di masa hadapan. Lagi banyak harta dan simpanan, semakin kita dekat kita untuk bebas daripada masalah kewangan. 

Related Posts

8 Strategi Pengurusan Kewangan Graduan Muslim
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

6 comments

Write comments
avatar
Anonymous
April 21, 2015 at 5:44 AM

Perkongsian dan peringatan yang baik. Terima kasih.

Reply
avatar
Anonymous
April 29, 2015 at 1:58 PM

Sentiasa ingat, biarlah kumpul harta dan bukannya kumpul hutang.

Reply
avatar
Anonymous
September 29, 2015 at 1:58 PM

bagi ibubapa lebih insya Allah rezeki kita akan cukup.

Reply
avatar
September 29, 2015 at 4:58 PM

Betul tu, maaf lewat reply. Tak perasan. Sebaiknya kumpul harta (aset) daripada kumpul hutang.

Reply
avatar
September 29, 2015 at 5:00 PM

Itulah yang sebaiknya, jangan lupa untuk berikan pada ibu bapa. InsyaAllah akan diberikan balasan yang baik dan dipermudahkan rezeki olehNya. Amin

Reply

Tudung kanak-kanak