Monday, April 20, 2015

8 Tip Sebelum Berlepas Ke Sendai, Jepun

8 Tip Sebelum Berlepas Ke Sendai, Jepun
Rumah sewa saya di Sanjo-machi. 
Minggu lepas saya ada menerima e-mail daripada seseorang yang baru dikenali dan bertanyakan mengenai kehidupan di Sendai, Jepun. Dimaklumkan beliau juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian PhD beliau di sini. Sepertimana saya dahulu, beliau turut melahirkan rasa kerisauan lebih-lebih lagi apabila mempunyai keluarga dan anak yang ramai. 

Berikut saya cadangkan 8 Tip Sebelum Berlepas ke Sendai, Jepun. Tip-tip ini berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan yang lain. Tip-tip ini bersesuaian bagi mereka yang telah mendapat penyelia (supervisor), mendapat surat tawaran rasmi universiti dan telah membuat keputusan muktamad untuk memilih Tohoku University sebagai destinasi pilihan menyambung pengajian mereka. 

TIP #1 - MAKLUMKAN PENYELIA (SUPERVISOR)

Logo Tohoku University, Japan.
Logo Tohoku University, Japan.


Sebelum berlepas maklumkan terlebih dahulu penyelia (supervisor) tarikh anda ke sini. Sebaiknya buat temujanji dengan penyelia anda. Ini bagi membolehkan penyelia anda membuat persediaan bagi menempatkan pelajar yang akan berada di bawahnya nanti. Sebagai contoh, penyelia saya telah menyediakan meja, kerusi dan seorang tutor yang boleh membantu saya bagi urusan pentadbiran diperingkat awal. Malah, saya juga turut disediakan laptop dan screen monitor baru bagi keperluan pengajian saya. Laptop dan screen monitor itu juga diberikan hadiah selepas tamat pengajian PhD nanti. 

TIP #2 - BINA JARINGAN (NETWORKING) 

Bina Jaringan Melalui Facebook
Bina Jaringan Melalui Facebook







Sebelum ke sini sebaiknya bina jaringan (networking) terlebih dahulu dengan rakan-rakan disini. Perkenalan yang terjalin melalui blog, facebook dan sebagainya saya pasti dapat membantu seseorang memperolehi maklumat awal di sini. Sekurang-kurangnya maklumat ini dapatlah mengurangkan kerisauan lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan menetap di sini dalam tempoh yang lama. Sebaiknya perkenalkan diri anda dahulu dalam membina jaringan dan ukhuwah fillah.

TIP #3 - PILIHLAH RUMAH UNIVERSITI (KAIKAN)

Pilihlah 'International House Sanjo 1'
Sewa rumah ini 58,000 yen termasuk parking.
Bagi mereka yang terus membawa keluarga datang ke sini adalah sangat digalakkan untuk memohon asrama/rumah universiti (kaikan). Ini kerana untuk mencari penempatan luar (rumah sewa) berdasarkan pengalaman rakan-rakan lain boleh dikatakan agak sukar. Terdapat situasi fudousan (tuan rumah/agen) yang  tidak mahu menerima meraka yang tidak tahu berbahasa Jepun, orang luar (gaijin) dan mempunyai anak yang ramai. 

TIP #4 - MOHON LESEN MEMANDU ANTARABANGSA

Contoh Lesen Memandu Antarabangsa (Malaysia)
Contoh Lesen Memandu Antarabangsa (Malaysia)
Sekiranya berkesempatan, mohon lesen memandu antarabangsa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Lesen memandu antarabangsa membolehkan kita memandu di Jepun dalam tempoh 1 tahun dan sebaiknya juga passport lama turut dibawa ke sini. Passport tersebut kemungkinan akan diperlukan semasa kita hendak menukar lesen antarabangsa kita ke lesen memandu Jepun. 

TIP #5 - AKTIFKAN WIFI

Aplikasi seperti facebook messenger, WhatsApp, LINE dan sebagainya boleh dicapai melalui WIFI di lapangan terbang Narita dan Sendai. Ini bagi memastikan komunikasi anda tidak terputus dan anda boleh bertanya sebarang kemusykilan semasa dalam perjalanan ke sini nanti. 

TIP #6 - KEMUDAHAN ATM VISA

Jika perlu, pastikan kemudahan ATM VISA boleh digunakan sebelum ke sini. Ini bagi membolehkan pengeluaran wang tunai dapat dibuat di kala kecemasan. Sebaiknya, dapatkan juga anggaran budget perbelanjaan permulaan bagi memastikan wang tunai yang dibawa benar-benar mencukupi.

TIP #7 - BAWA UBAT YANG PENTING

Bagi mereka yang ada anak-anak kecil adalah digalakkan untuk membawa ubat-ubatan yang penting. Semasa saya ke sini, isteri saya membawa sekali ubat demam, selsema, cirit-birit, batuk, antibotik, krim pelembab dan mungkin juga jika perlu 'minyak panas' atau 'minyak urut' boleh dibawa sekali. Saya sendiri ada membawa stok ubat batuk yang biasa saya gunakan semasa di Malaysia. Kuantiti yang perlu dibawa terpulang kepada keperluan, dan jika banyak sebaiknya dapatkan surat keterangan (prescription) daripada doktor di Malaysia. Surat tersebut mungkin boleh memudahkan kita jika ditanya oleh pihak imigresen Jepun kelak. 

TIP #8 - BAWA STOK MAKANAN

Bawalah Stok Makanan Buat Anak-Anak
Bawalah Stok Makanan Buat Anak-Anak

Bawa sekali roti, KFC, burger dan lain-lain yang mudah dimakan sebelum berlepas ke sini. Berdasarkan pengalaman, stok makanan seperti ini dapat membantu bagi mengalas perut kita dan anak-anak sebelum kita menemui restoran halal. Peringkat awal agak sukar untuk memasak kerana peralatan memasak tidak disediakan semasa seseorang memasuki kaikan (asrama/rumah universiti). Perlu diingat KFC, McD dan lain di sini tidak halal. Ia sama, tapi tak serupa!

Semoga 8 Tip ini dapat membantu rakan-rakan yang bakal ke sini. Ganbatte!

Related Posts

8 Tip Sebelum Berlepas Ke Sendai, Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak