Beli Kereta di Jepun |
Kadang-kala terfikir sama ada perlu atau tidak untuk membeli kereta semasa berada di Jepun. Ada yang berpandangan tidak perlu kerana sistem pengangkutan awam di Jepun sangat baik. Sememangnya, tidak dinafikan secara umum pengangkutan awam di Jepun boleh dikatakan terbaik dengan sistem berjadual dan selalunya akan menepati masa yang telah ditetapkan.
ANAK RAMAI
Bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai kadang-kala saya merasakan perlunya sesebuah kenderaan. Ini kerana, anak yang berusia 6 tahun ke atas perlu membayar separuh harga tambang. Ini tidak termasuk lagi dengan masa yang agak panjang untuk ke suatu destinasi. Sebagai contoh, masa untuk ke satu tempat menarik di Sendai hanya 30 minit jika menaiki kenderaan sendiri. Tetapi jika menaiki bas, perjalanan ke tempat tersebut boleh mengambil masa 3 jam perjalanan. Ini kerana, tiada bas atau pengangkutan awam yang menawarkan perkhidmatan terus ke destinasi tersebut.
KERETA TERPAKAI
Secara umum, harga kereta di Jepun khususnya kereta terpakai sangat rendah berbanding di Malaysia. Namun, pemilikan kenderaan di Jepun perlu juga mengambil kira faktor-faktor lain. Oleh kerana sifat kenderaan adalah liabiliti, maka keputusan untuk memiliki di Jepun perlu juga mengambil kira faktor-faktor lain. Selain daripada kos penyelenggaraan, kos seperti 'parking', 'shaken', 'insuran' dan cukai kereta perlu dimasukkan dalam budget.
BAYARAN 'PARKING'
Oleh kerana, penempatan di Jepun agak padat maka tempat untuk meletakkan kenderaan walaupun di rumah sewa boleh dikatakan terhad. Oleh itu, bayaran 'parking' untuk meletakkan kenderaan perlu dimasukkan dalam kos memiliki kenderaan. Kos bayaran parking sebulan di antara 5000 - 10000 yen sebulan. Rumah saya di sini, kos sewaan rumah telah termasuk sekali bayaran parking. Ini bermakna, samada mempunyai kereta atau tidak bayaran sewa rumah tetap sama. Jika tidak, saya boleh menawarkan perkhidmatan menyewa 'parking' kereta di rumah saya. Itu tidak termasuk lagi kos bayaran parking yang dikenakan tempat-tempat yang kita lawati.
SHAKEN
Suka saya mengambarkan 'Shaken' seperti 'PUSPAKOM' di Malaysia. Keperluan shaken bagi mengesahkan kenderaan tersebut selamat digunakan. Sebagai contoh, kenderaan yang telah tamat shaken perlu pergi ke mana-mana bengkel kenderaan yang menawarkan perkhidmatan membuat shaken. Secara umum, kos yang perlu dibayar hampir 100 000 yen. Namun, kos ini boleh meningkat jika semasa pemeriksaan kenderaan tersebut terdapat banyak bahagian kenderaan yang perlu diganti. Pihak mekanik yang dilantik akan memastikan kereta tersebut benar-benar selamat sebelum di hantar untuk membuat shaken. Tempoh sah laku shaken hanyalah 2 tahun. Oleh itu, setiap 2 tahun perlu memperbaharui shaken dan kos ini perlu turut dimasukkan dalam budget.Seharusnya, apabila ingin membeli kenderaan di sini perlu memastikan kenderaan tersebut masih mempunyai tempoh shaken yang panjang dan sebaik-baiknya 2 tahun!
TAKAFUL/INSURAN KERETA
Selain kos penyelenggaraan (maintainance), parking dan shaken, kos yang dirasakan penting adalah kos bayaran insuran atau perlindungan kenderaan. Masyarakat Jepun, sangat mengambil serius dan sukar untuk bertolak-ansur jika melibatkan kemalangan ataupun terlanggar sedikit kenderaan mereka. Lebih-lebih lagi jika melibatkan orang luar, walaupun tercalar sedikit kenderaan mereka akan melibatkan kes polis. Oleh itu, kos insuran (perlindungan) kenderaan di antara 5000 - 8000 yen sebulan turut perlu dimasukkan dalam budget apabila memiliki kenderaan di sini. Di Jeoun tiada pilihan untuk memilih Takaful.
CUKAI KENDERAAN
Terakhir sekali, cukai kenderaan juga yang perlu dibayar setiap tahun perlu dimasukkan dalam budget pemilikan kenderaan di sini. Oleh itu, sebelum memiliki sesebuah kereta perlulah memikirkan beberapa faktor-faktor dan kos-kos lain.
Selamat memandu dan semoga perjalanan kami di sini dipermudahkan olehNya. Amin.
Beli Kereta Atau Tidak Di Jepun??
4
/
5
Oleh
semadi78