Pilihan di Tangan Kita |
SEKADAR PERKONGSIAN
Tak sangka apabila perkongsian 8 Strategi Pengurusan Kewangan Graduan Muslim di dalam facebook saya mendapat maklum-balas positif daripada bekas pelajar-pelajar saya. Ada yang bertanya secara peribadi (inbox) kepada saya berkaitan masalah kewangan. Ada juga yang berkongsi (share) tulisan tersebut dengan rakan-rakan facebook mereka yang lain. Terasa puas dapat memberikan nasihat walaupun melalui alam maya dan media sosial. Secara peribadi, penulisan saya ini hanya sekadar berkongsi pandangan dan pengalaman. Selama hampir 13 tahun bersama pelajar, banyak cerita suka-duka saya bersama mereka termasuklah berkaitan kisah 'kewangan'. Kini, apabila saya 'cuti belajar' sepenuhnya, saya hanya dapat melihat perkembangan dan mampu memberikan nasihat dari kejauhan.
NASIHAT KEWANGAN
Ramai orang boleh memberikan nasihat berkaitan kewangan. Jika bertanya kepada ibu bapa kita, pastinya mereka juga boleh berkongsi cerita dan tips dalam menguruskan kewangan. Begitu juga penulis-penulis buku pengurusan kewangan ataupun mereka yang berpengalaman dalam bidang ini akan turut memberikan pelbagai nasihat kewangan berdasarkan kepakaran, pengalaman dan analisis yang mereka ketahui. Tidak dinafikan kesemua nasihat dan analisis teknikal yang diberikan bagus belaka. Persoalannya, adakah kita sanggup menghadapinya dan pendekatan tersebut benar-benar bersesuaian dengan diri kita?
PILIHAN DI TANGAN KITA
Kita selalu mendengar peribahasa "ukur baju di badan sendiri". Begitulah juga dalam memilih nasihat yang terbaik dalam pengurusan kewangan kita sangat bergantung kepada kedudukan kewangan kita sendiri. Bagi saya, nasihat-nasihat ini bukannya seharusnya 100% perlu diikuti. Ia lebih kepada yang 'Pilihan Nasihat dan Cadangan'. Seseorang itu perlu membuat penilaian dan analisis sendiri dan akhirnya pilihan keputusan di tangan kita. Pastinya setiap pilihan yang dibuat akan memberikan impak positif dan negatif yang kita sendiri akan tempohi.
SALAH KE BERBELANJA?
Situasi #1
SALAHKAH seseorang itu membeli kereta baru secara hutang dengan bayaran ansuran RM600 selama 9 tahun? Tujuan pembelian kereta ini untuk kegunaan pergi dan balik ke tempat kerja serta pulang ke kampung menziarah 'orang tua' di kampung. Kenapa perlu beli kereta terpakai yang mana tahap keselamatannya diragui semata-mata untuk berjimat?
Pilihan Lain #1
Beli kereta baru, bayaran bulanan lebih kecil dan membuat 'kira-kira' kos penggunaan minyak dan penyelengaraan yang murah. Peringkat awal perkahwinan, barangkali MPV dan SUV bukan pilihan yang terbaik.
Situasi #2
SALAHKAH saya membeli pakaian yang cantik-cantik dan berjenama? Sedangkan kerjaya saya sentiasa berhadapan dengan pelanggan (client) yang memerlukan saya sentiasa kelihatan kemas dan berkeyakinan.
Pilihan Lain #2
Banyak pilihan baju lain yang tidak berjenama dan terlalu mahal. Tidak semestinya memakai baju murah kita tidak kelihatan kemas dan berkeyakinan.
Situasi #3
SALAHKAH saya pergi makan di restoran yang mahal? Ini kerana saya sudah berkerja keras seharian dan sudah tiba masa untuk saya berikan 'ganjaran' buat diri saya sendiri. Takkan nak 'berjimat' sahaja!
Pilihan Lain #3
Masih boleh pergi ke restoran yang mahal bukannya setiap minggu tetapi sebulan sekali atau di kala mendapat bonus atau juga semasa meraikan sesuatu pencapaian dan kejayaan.
Situasi #4
SALAHKAH saya nak pergi melancong melihat keindahan alam? Melancong dan melihat keindahan alam akan dapat mengurangkan tekanan bekerja dan membolehkan saya menimba pengalaman baru dalam kehidupan.
Pilihan Lain #4
Melancong setelah simpanan untuk melancong telah dipenuhi. Duit gaji yang diasingkan dan disimpan setiap bulan digunakan untuk melancong dan melihat keindahan alam. Tekanan bekerja juga boleh dikurangkan dengan melihat keindahan alam tempat-tempat yang berhampiran tanpa pergi ke luar negara.
SITUASI DAN PILIHAN
Maka, berdasarkan situasi dan pilihan tersebut, mengambarkan tidak semua tips dan nasihat kewangan bersesuaian dengan setiap orang. Namun, apabila kita banyak membaca dan mendapatkan nasihat kita berupaya untuk menjana lebih banyak pilihan. Pelbagai pilihan ini memberikan kita panduan dalam membuat keputusan yang terbaik. Sentiasa ingat, pilihan ditangan kita. Kita boleh memilih untuk:
- 'Susah' atau 'Senang'
- 'Lapang' atau 'Sempit'
- 'Jimat' atau 'Boros'
- 'Sikit' atau 'Banyak'
- 'Mewah' atau 'Bersederhana'
- 'Bebas Hutang' atau 'Terus Berhutang'
- 'Keperluan' atau 'Kehendak'
- 'Ada Simpanan' atau 'Zero Simpanan'
- dan pelbagai pilihan lagi.
PILIHAN TERBAIK
Kesimpulannya, berbelanja tidak salah, yang salah apabila membuat pilihan yang salah sedangkan banyak lagi pilihan lain yang terbaik. Lebih teruk lagi, apabila telah diberikan nasihat dan membaca pengalaman orang yang pernah gagal dalam kewangan mereka tetapi kita masih mengikuti jejak kegagalan mereka dan kini kita ulangi kegagalan yang sama.
Sentiasa ingatkan diri sendiri, "life is all about choices". Semoga bermanfaat.
Salah Ke Berbelanja?
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsMenarik! "Life is all about choices!"
ReplySaya juga sentiasa ingatkan diri saya bahawa 'life is all about choices'.
Reply