Wednesday, April 29, 2015

8 Cadangan 'Cepatkan Pinjaman Rumah'

Cepatkan Pinajaman Rumah
Rumah Sewa Kami Di Sanjo-machi, Sendai, Jepun. 

PELABURAN RUMAH

Antara penulis buku tempatan yang 'mencelikkan' saya  berkaitan pengurusan kewangan dan konsep pelaburan adalah Saudara AZIZI ALI. Kini terdapat beberapa judul buku hasil tulisan beliau yang boleh dijadikan panduan sebelum seseorang itu berjinak-jinak dalam sesuatu perlaburan. Kali ini saya ingin kongsikan beberapa kaedah yang dicadangkan oleh AZIZI ALI dalam mempercepatkan tempoh pinjaman perumahan. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada 2 SITUASI RUMAH di mana seseorang itu berhasrat untuk mempercepatkan tempoh pinjaman sesebuah rumah yang dimiliki. 

2 SITUASI

Situasi #1 - Rumah Sendiri 

Jika sesebuah rumah tersebut untuk didiami atau tinggal bersama keluarga sebaiknya tempoh pinjaman baharu bagi rumah tersebut dikurangkan dari 30 kepada 15 tahun atau daripada 20 ke 10 tahun. Ini kerana, jika tempoh pinjaman rumah tersebut lebih pendek maka faedah (interest) yang dikenakan oleh bank terhadap rumah tersebut akan dapat dikurangkan. 

Situasi #2 - Rumah Sewa

Jika rumah tersebut merupakan rumah untuk disewakan atau pelaburan yang berupaya menghasilkan 'pendapatan pasif' bulanan yang positif tiada masalah untuk untuk melewatkan pinjaman perumahan tersebut. Ini kerana, bayaran faedah (interest) rumah tersebut dibayar oleh penyewa rumah yang baik hati. Syaratnya, rumah tersebut boleh menghasilkan 'pendapatan pasif' yang positif! Sebagai contoh, jika bayaran bulanan rumah sewa yang kita miliki dibank adalah RM400 sebulan. Tetapi, kita berupaya menyewakan rumah tersebut dengan kadar sewa sebanyak RM700 sebulan maka kita secara langsung telah berupaya menghasilkan pendapatan pasif yang positif sebanyak RM300.
Buku Jutawan dari Planet Jupiter
Buku Jutawan dari Planet Jupiter
Secara umum, terdapat 8 CADANGAN AZIZI ALI yang boleh digunakan untuk mempercepatkan atau melangsaikan hutang rumah dengan cepat. Perlu diingatkan, kaedah yang dicadangkan ini asalnya daripada AZIZI ALI penulis buku 'Jutawan Dari Planet Jupiter' dan buku-buku lain berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan. Namun, saya menulis mengikut kefahaman saya. Digalakkan untuk melabur dalam ILMU sebelum membuat pelaburan dalam mana-mana mekanisme pelaburan seperti mana perkongsian saya sebelum ini di dalam 7 NASIHAT 'RICH DAD, POOR DAD'. 

8 CADANGAN KAEDAH 'CEPATKAN PINJAMAN RUMAH'

KAEDAH #1 - GENAPKAN NOMBOR BULAT

Peringkat permulaan dicadangkan untuk membayar lebih pada setiap bulan. Sebagai contoh, jika bayaran bulanan di bank RM545.00 sebulan digalakkan untuk dijadikan nombor bulat seperti RM550.00 atau lebih baik terus genapkan RM600.00 sebulan. 

KAEDAH #2 - GAJI NAIK, LEBIHKAN BAYARAN

Bagi mereka bekerja 'makan gaji' dan benar-benar ingin melangsaikan pinjaman perumahan dengan tempoh yang cepat dicadangkan untuk menggunakan kenaikan gaji tahunan untuk menambah bayaran bulanan rumah di bank. Sebagai contoh, jika kenaikan gaji tahunan RM250 bolehlah menggunakan RM100 daripada kenaikan tersebut untuk 'top up' bayaran bulanan rumah di bank. Baki RM150 daripada kenaikan gaji tersebut digunakan untuk simpanan seperti simpanan emas atau boleh juga dijadikan modal untuk membeli aset hartanah lain pada masa hadapan.

Pastikan Beli Emas Dapat Emas Tulen
Pastikan Beli Emas Dapat Emas Tulen

KAEDAH #3 - DUIT LEBIH, BAYAR LEBIH

Jika mendapat 'duit lebih' seperti hasil daripada perniagaan, bonus, hadiah atau saguhati perkhidmatan cemerlang, wang pusaka, lebihan cukai pendapatan, hadiah pertandingan/peraduan dan sebagainya dicadangkan untuk menggunakan duit tersebut bagi mempercepatkan bayaran pinjaman perumahan. 

KAEDAH #4 - MASUK GAJI 'CEPAT-CEPAT' BAYAR

Jadual Gaji Kakitangan Awam Tahun 2015
Umumnya terdapat mereka yang memperolehi gaji pada setiap 25 haribulan atau lebih awal. Oleh itu, dicadangkan untuk membayar dengan kadar segera apabila memperolehi gaji dan sedaya-upaya untuk tidak melenggahkan sehingga ke hujung bulan atau lebih teruk lagi menunda sehingga bulan berikutnya. Melalui kaedah ini caj faedah (interest) dapat dijimatkan untuk beberapa hari daripada membuat bayaran hingga akhir bulan atau setiap 30 haribulan. Bahasa yang mudah, buat bayaran perumahan lebih awal iaitu sebelum tarikh akhir atau akhir bulan. 

KAEDAH #5 - BANK MINTA KURANG, KITA BAYAR LEBIH 

Bagi mereka yang membuat pinjaman perumahan konvensional di bank kebiasaanya pihak bank akan mengeluarkan surat untuk meminta bayaran lebih atau dikurangkan bayaran bulanan berikutan penurunan Base Lending Rate (BLR). Jika bank telah meminta bayaran bulanan lebih maka perlu membuat bayaran lebih. Namun, sekiranya pihak bank mencadangkan bayaran diturun atau dikurangkan sebaiknya membuat bayaran seperti biasa atau lebih baik membuat bayaran lebih kepada pihak bank. Ini kerana, jika kita membayar kurang mengikut nasihat pihak bank, maka bank akan terus mendapat keuntungan dengan tidak mengurangkan nilai sebenar pinjaman (principal) bagi terus menjana keuntungan yang optimum daripada faedah yang dikenakan terhadap peminjam. Sebaiknya, elakkan pinjaman konvensional dan pilihlah pinjaman yang patuh syariah. 

KAEDAH #6 - BAYAR SEBULAN 2 KALI

Turut dicadangkan untuk membuat bayaran bulanan rumah kepada 2 kali sebulan. Sebagai contoh, jika bayaran bulanan di bank RM1000 buat pecahan kepada 2 iaitu RM500 dan bayar setiap 2 minggu sekali. Bayaran pertama sebelum 15 haribulan dan bayaran kedua dibuat sebelum 30 haribulan. Mengikut kefahaman saya ia sama sepertimana jika seseorang itu membuat lebihan bayaran sebanyak 13 bulan dan bukannya 12 bulan setahun. Kaedah #6 ini saya tidak pernah gunakan dan mungkin mereka yang diluar sana boleh berkongsi pengalaman mereka menggunakan kaedah ini. Saya secara peribadi lebih suka kaedah, dahulukan duit di awal bulan. Sebagai contoh, bayaran rumah RM1000 saya akan bayar 2 kali iaitu RM1000 di awal bulan dan RM1000 lagi di akhir bulan. Maknanya, setiap bulan akan membayar seganda bayaran bulanan yang sepatutnya bayar di bank.    

KAEDAH #7 - TAK GUNA 'JUAL' 

Turut dicadangkan untuk menjual barang-barang yang tidak digunakan di dalam rumah untuk dijual bagi menampung tambahan bayaran bulanan di bank. Sebagai contoh, baju-baju lama yang lama tidak digunakan di dalam almari bolehlah dijual dengan harga yang murah untuk mendapat duit tambahan bagi menambah bayaran bulanan di bank.

KAEDAH #8 - PEMBIAYAAN SEMULA (REFINANCE) 

Kaedah pembiayaan semula (refinance) ini memerlukan kajian dibuat sebaik-baiknya sebelum keputusan dibuat. Pastikan kadar faedah yang diberikan lebih rendah daripada pinjaman asal dan semua caj-caj seperti MRTA/ MRTT, yuran guaman dan sebagainya betul-betul dikaji. Pengalaman rakan-rakan saya yang pernah membuat pembiayaan semula ini kebanyakan mereka lebih bermotifkan untuk mendapat lebihan wang dan mengurangkan kadar bayaran bulanan di bank. Namun, tempoh pinjaman tidak kurang malah lebih meningkat setelah dibuat pembiayaan semula. Jika tempoh bayaran bulanan semakin kurang dan kadar faedah (interest) juga dapat  dikurangkan ia dilihat salah sebagai salah satu strategi yang baik untuk melangsaikan hutang rumah dengan cepat.

Kesimpulannya, kesemua kaedah yang dicadangkan menjurus kepada bayaran bulanan yang lebih bagi setiap bulan. Sebaiknya, sebelum melaksanakan mana-mana kaedah yang dicadangkan di atas seseorang itu perlulah membuat kajian terlebih dahulu dan janganlah 'terikut-ikut' dan dapatkan juga pandangan daripada mereka yang pakar.

Semoga bermanfaat!

Related Posts

8 Cadangan 'Cepatkan Pinjaman Rumah'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
September 2, 2015 at 9:25 AM

Bagus tips ni. Terima kasih berkongsi info.

Reply
avatar
September 2, 2015 at 12:27 PM

Terima kasih Ros kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat.

Reply

Tudung kanak-kanak